Oleh WANDA IDRIS
PENGGEMAR sukan pastinya kini menantikan kehadiran Sukan Olimpik Musim Sejuk Torino 2006 yang bakal berlangsung di Turin, Itali bermula esok sehingga 27 Februari ini.
Menariknya, buat julung kalinya, Astro melalui saluran Astro SuperSport akan membuat liputan secara menyeluruh sukan berprestij itu.
Menurut Ketua Bahagian Sukan, Program Antarabangsa Astro, Lee Choong Khay, pihaknya memperuntukkan lebih 450 jam siaran langsung dan siaran tertunda sukan tersebut.
Ini termasuk siaran langsung majlis pembukaannya malam ini pada pukul 3 pagi serta majlis penutup pada 27 Februari pada masa yang sama.
“Sebenarnya ini bukan kali pertama kami menyiarkan liputan sukan ini di Astro. Semasa sukan Olimpik Musim Sejuk di Utah, Amerika Syarikat empat tahun lalu, kami turut membuat liputan.
“Bagaimanapun, ketika itu kami hanya menyiarkan liputan tumpuan harian dengan jumlah keseluruhan siaran hanya kira-kira 20 jam,” jelasnya pada satu majlis memperkenalkan perantaranya di Astro Studio, Measat Teleport & Broadcast Centre, Cyberjaya.
Tiga perantara yang dipilih untuk mengendalikan siaran langsung sukan itu ialah Raymond Goh, Joseph Gonzales dan Mesh Nair.
Choong Khay berkata, pelanggan setia Astro berpeluang menyaksikan kesemua tujuh sukan berbeza dengan 15 disiplin termasuk biathlon, bobsleigh, hoki ais, speed skating, figure skating, ski jumping dan banyak lagi acara menarik yang menawarkan sejumlah 84 pingat pada sukan itu.
Pada majlis itu juga, Choong Khay turut membawa pihak media melawat bilik kawalan utama yang bakal digunakan untuk menerima isyarat siaran dari Turin.
Katanya, para penonton di Astro berpeluang menonton acara berprestij itu setiap hari bermula pukul 4 petang hingga 4 pagi.
Setiap acara akan disiarkan menerusi tiga saluran khas yang disediakan di saluran 80 Astro SuperSport.
“Mereka hanya perlu menekan butang merah untuk menu interaktif yang menampilkan tiga siaran yang menyiarkan acara berbeza pada setiap masa.
“Liputan interaktif unik ini dibawakan khas kepada pelanggan pakej Astro Sport melalui Astro SuperSport di Saluran 80 tanpa bayaran tambahan,” tambahnya.
Menurut Choong Khay, Astro turut menyiarkan beberapa program khas berkaitan sukan Olimpik sebagai prelude kepada Sukan Olimpik Musim Sejuk Torino 2006.
Antara program yang menemui penonton sepanjang Februari ini termasuklah Golden Moments of the Olympic Games, Road To Glory, The Dream Teams, Stride To Glory, Olympic Destinies dan Reflections of Winter.
Mengenai perantaranya, Choong Khay berkata, ketiga-tiga mereka dipilih kerana mempunyai pengalaman luas dalam mengendalikan rancangan sukan.
Sementara itu, penerbit eksekutif program itu, Sooraj D. Nair berkata, produksi kali ini membabitkan lokasi di Cyberjaya.
Bukan sahaja setiap siaran disaring di bilik kawalan utama di bahagian bawah bangunan Measat Teleport & Broadcast Centre, perantara juga akan bertugas dari studio yang disediakan di pusat tersebut.
Empat tahun lalu semua operasi dan selenggaraan dibuat terus dari Bukit Jalil,” kata Sooraj yang merupakan Pengarah Penasihat Program Astro.
Bagaimanapun, media tidak dibenarkan melawat ke studio itu yang masih dalam selenggaraan atas sebab-sebab keselamatan.
Utusan Malaysia