KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan membuat kaji selidik bagi menilai prestasi atlit negara pada Sukan Olimpik Beijing yang berakhir, kelmarin – terutama bagi mengenalpasti punca ramai yang tidak menyerlah pada temasya sukan terbesar dunia itu.
“Kita akan mengadakan ‘post mortem’ segera untuk melihat sejauh mana prestasi mereka, sama ada sudah bertambah baik atau merosot,” kata Menterinya, Datuk Ismail Sabri Yaakob kepada wartawan di lobi Parlimen di Kuala Lumpur, semalam.
Walaupun gembira dengan kejayaan pemain badminton perseorangan lelaki, Lee Chong Wei merangkul pingat perak selepas ditewaskan oleh pemain China, Lin Dan pada peringkat akhir, Ismail Sabri menyatakan kekecewaannya terhadap atlit yang gagal memberikan persembahan terbaik mereka.
“Saya tidak berpuas hati dengan atlit yang prestasi mereka menurun, kurang memuaskan berbanding dengan Olimpik 2004,” katanya.
Beliau berkata walaupun negara tidak mengharapkan mereka untuk membawa pulang pingat, sekurang-kurangnya mereka perlu memperbaiki rekod peribadi masing-masing.
“Bagi sesetengah acara, kita berharap Olimpik menjadi platform pendedahan untuk mereka dan memperbaiki rekod diri. Ada pula acara lain yang kita ada ranking dan harapan untuk memungut pingat seperti badminton, tetapi tidak dapat,” kata Ismail Sabri.
Beberapa atlit negara, umpama daripada acara berbasikal, akuatik dan badminton beregu menampilkan persembahan yang hambar pada Sukan Olimpik di Beijing, baru-baru ini.
Malaysia menghantar 33 atlit ke Sukan Olimpik di Beijing. – Bernama
Berita Harian