BEIJING: Kemeriahan serta perayaan besar-besaran berikutan dua kemenangan pertama gelaran tinju China tidak mampu menyembunyikan hakikat betapa sukan itu memerlukan usaha beberapa lagi peringkat untuk mendapat penghormatan di kalangan ahli keluarga Olimpik seperti yang diharapkan.
Peninju light-flyweight, Zou Shiming dan light heavyweight, Zhang Xiaoping merangkul pingat emas tuan rumah bagi membantu pembentukannya sebagai negara tinju terkenal selepas aksi dua minggu yang dibelenggu pelbagai kontroversi mengenai standard penghakiman.
Ejekan daripada kontinjen kecil Ireland selepas Kenny Egan tewas kepada Zhang, kelmarin dijadikan peringatan bahawa wujud kritikan hebat yang berterusan terhadap kualiti pengadilan sepanjang pertandingan.
Presiden Persatuan Tinju Antarabangsa (AIBA), Wu Ching-kuo yang melancarkan perubahan drastik sebaik dilantik pada 2006, terutama mengubah peraturan pelantikan pengadil dan hakim, mengakui pengadilan menimbulkan masalah.
“Kami tidak meragui pengadilan dan penghakiman yang bersih, jujur dan telus tetapi kami memerlukan standard lebih tinggi,” kata Wu yang berhasrat membawa pegawai lebih muda pada Sukan Olimpik 2012 di London.
Wu berdepan masalah lain di Beijing apabila tuduhan daripada delegasi teknikal mendesak badan induk mendedahkan siasatan kemungkinan cubaan memanipulasi keputusan pertandingan oleh ahli persatuan atau pegawai pertandingan.
Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) sudah dimaklumkan mengenai hal itu dan menyediakan pemerhati bebas bagi memantau pertandingan di Beijing, yang mana AIBA berkeras mengatakan keputusan dibuat secara adil. – Reuters
Berita Harian