Archive for the ‘Olimpik Beijing’ Category

43 Rekod Dunia Lebur Di Olimpik Beijing

August 26, 2008

- Utusan

BEIJING – China seperti dijangka dari awal mendahului senarai pungutan pingat, menutup tirai temasya Beijing, kelmarin dengan 51 emas, 21 perak dan 28 gangsa sekali gus dinobat juara keseluruhan dengan jumlah 100 pingat.

Angka paling cantik itu juga merupakan catatan rekod paling besar dalam sejarah jumlah kutipan pingat selepas kali terakhir bekas negara Kesatuan Soviet (USSR) meraih sebanyak 55 emas pada temasya Seoul 1988 di Korea Selatan.

Amerika Syarikat (AS) pula buat pertama kali berada di tempat kedua pungutan emas terbanyak sejak temasya Barcelona 1992, sekali gus mengatasi rekod jumlah pencapaian sendiri.

Temasya Beijing juga menyaksikan AS mengumpul 110 pingat, lebih 10 butir mengatasi pencapaian China dan melebihi dua pingat mengatasi jumlah pungutannya di Olimpik 1992.

Sepanjang 17 hari temasya berprestij ini berlangsung, sebanyak 43 rekod dunia lebur manakala 120 rekod Olimpik baru dicatatkan.

Pencapaian Olimpik Beijing yang dianggap antara terbaik yang pernah diadakan turut menarik perhatian Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (OIC), Jacques Rogge yang memuji China pada penutup tirai temasya, kelmarin.

”Terima kasih rakyat China. Juga terima kasih kepada tenaga sukarelawan dan jawatankuasa (BOGOC) yang menjayakan temasya ini,” katanya.

Sementara itu, para pemimpin China turut tidak putus-putus mengucapkan tahniah kepada atlet mereka yang kini menjadi kebanggaan negara dan rakyatnya.

Kejayaan China di temasya Olimpik membuka lembaran baru bagi pembangunan sukan di negara itu dan pelengkap kepada kejayaan melaksanakan tanggungjawab sebagai tuan rumah.

Apa sekali pun, kejayaan China mengungguli pungutan pingat tidak dilihat berseorangan kerana setiap negara yang mengambil bahagian turut mempunyai alasan untuk meraikannya terutama bagi yang menang pingat pertama kali di temasya Olimpik.

Britain, misalnya yang ceria kerana bakal menjadi tuan rumah temasya London 2012, turut mempunyai sebab lain untuk bergembira apabila jumlah pungutan pingatnya di Beijing, 47 butir adalah yang terbaik sepanjang sejarah penyertaannya ke Olimpik.

Temasya Beijing juga menyaksikan sebanyak 87 negara berjaya membawa pulang pingat berbanding hanya 80 buah di Sydney 2000.

Benua Afrika sahaja membawa pulang sebanyak 40 pingat – satu sejarah termasuklah kejayaan Togo, Mauritius dan Sudan meraih pingat pertamanya dalam sejarah penyertaannya di Olimpik.

Panama pula memperoleh emas pertamanya dalam sejarah Olimpik dalam acara lompat jauh manakala Mongolia bagi acara judo.

Malaysia turut tidak ketinggalan membawa pulang satu pingat perak dalam acara badminton lelaki menerusi, Lee Chong Wei selepas kali terakhir berbuat demikian dalam temasya Atlanta 1996 daripada pasangan beregu, Yap Kim Hock-Cheah Soon Kit.

Malaysia memperoleh pingat pertama Olimpik menerusi gandingan beregu, Razif dan Jalani Sidek yang meraih gangsa di Barcelona 1992 sebelum Rashid menghadiahkan pingat yang sama di Atlanta 1996 daripada acara perseorangan.

Utusan Malaysia

Olimpik Labuh Tirai, Jumpa Di London

August 25, 2008


percikan bunga api membentuk lambang Sukan Olimpik semasa upacara penutup di Stadium Kebangsaan di Beijing, semalam. – AP

BEIJING – Sukan Olimpik Beijing melabuhkan tirainya secara rasmi, semalam dengan menyaksikan Malaysia kekal dengan satu pingat perak menerusi badminton untuk menduduki tangga ke-71; satu pencapaian dianggap baik berbanding temasya Athens 2004.

Di Sukan Olimpik Athens 2004, tidak seorang pun daripada sebanyak 26 atlet negara yang mengambil bahagian dalam 11 acara membawa pulang pingat.

Thailand pula muncul negara dari Asia Tenggara paling cemerlang dengan membawa pulang dua emas dan perak untuk menduduki tangga ke-31 manakala Indonesia meraih kedudukan ke-42 dengan membawa pulang satu emas dan perak serta tiga gangsa.

Jiran terdekat, Singapura pula hanya berkongsi kedudukan dengan Malaysia di tangga ke-71 dengan meraih satu gangsa.

Sepanjang hampir tiga minggu sukan berprestij itu berlangsung, hanya pemain perseorangan, Lee Chong Wei yang paling menyerlah di samping acara berbasikal trek menyaksikan peningkatan apabila pelumbanya berjaya menempatkan diri dalam 10 terbaik dunia.

Josiah Ng, Mohd. Azizulhasni Awang dan Mohd. Rizal Tisin masing-masing berjaya memperbaiki rekod kebangsaan dalam acara pecut berpasukan apabila menduduki ketujuh daripada 10 terbaik dunia.

Sementara Josiah dan pelumba berbakat, Azizulhasni pula mencuri tumpuan ramai apabila kehadiran mereka jelas mengancam saingan lain meskipun menamatkan pertarungan di tempat kesembilan dan 10.

Trio memanah negara yang turun buat pertama kali di temasya ini juga boleh dibanggakan pencapaian mereka sekalipun gagal membawa pulang pingat namun telah melakukan kejutan dalam acara berpasukan dan saingan recurve individu apabila mara ke saingan suku akhir.

Sementara bagi acara angkat berat, olahraga, taekwondo, renang, terjun, menembak dan kapal layar masih perlu diberikan perhatian yang sewajarnya apabila wakil negara yang bertanding belum mampu menyaingi pencapaian yang sepatutnya dalam temasya Olimpik.

Ada antara mereka yang masih kaku dan langsung tidak mencapai standard dunia. Mereka tidak sepatutnya datang ke Beijing, sebaliknya ke peringkat lebih rendah seperti Sukan SEA atau Sukan Komanwel.

Pencapaian beregu badminton negara turut memerlukan post mortem apabila gandingan kita sekadar bertahan sekerat jalan sebelum episod duka berulang dengan menjadikan tekanan sebagai alasan untuk kalah.

Selain Chong Wei, pujian juga seharusnya diberikan kepada wakil wanita, Wong Mew Choo yang menunjukkan angin perubahan apabila mara sehingga ke suku akhir yang sudahpun dianggap satu permulaan baik.

Acara renang dan olahraga yang terperap di tangga corot sebenarnya bukan tandingan Malaysia untuk bersaing di Olimpik yang kebanyakannya membariskan juara dan pemegang rekod dunia yang mustahil dikalahkan.

Jika dilihat persembahan keseluruhan atlet negara, masih banyak ruang dan kelemahan yang perlu diperbaiki dari sekarang sementara menunggu temasya London dalam empat tahun lagi.

Malah, dalam sesetengah disiplin tertentu, segelintir atletnya sudah menjangkau lewat usia malah persembahan mereka mulai menurun dan tidak sehebat dulu untuk menyaingi lawan yang segar dan muda.

Mungkin sudah tiba masanya mereka memberi laluan kepada muka baru yang lebih berdaya saing dalam persediaan ke temasya London 2012.

Apa jua perancangan yang hendak dicaturkan perlu dimulakan sekarang kerana tempoh empat tahun bukan jangka masa yang lama, malah untuk membina seorang atlet yang benar-benar mantap adakalanya memakan masa bertahun-tahun lamanya.

Di samping itu, atlet juga perlu didedahkan dengan lebih banyak kejohanan antarabangsa bagi membiasakan diri mereka bersaing dengan lawan bertaraf dunia di samping mencari pengalaman lebih luas.

Jika tidak, atlet kita akan kekal seperti apa yang kita saksikan sepanjang temasya berprestij ini. Mereka sering hilang fokus dan kaku untuk beraksi menyebabkan segala latihan dan pelaburan yang dibuat ke atas mereka selama ini lebur dalam sekelip mata.

- Utusan

Utusan Malaysia

Marathon Milik Kenya

August 25, 2008

LURUAN pelari Kenya, Samuel Kamau Wanjiru pada beberapa kilometer terakhir marathon semalam membolehkan namanya terukir dalam sejarah negaranya sebagai warga Kenya pertama yang berjaya menguasai marathon Olimpik Beijing.

Pelari berusia 21 tahun itu berjaya menamatkan larian sejauh 42.15 kilometer menyusuri jalan raya Beijing untuk mencatat rekod Olimpik dalam tempoh 2 jam, 6 minit 32 saat.

Perlumbaan tersebut hanyalah penyertaan ketiga Wanjiru dalam acara marathon yang pernah meleburkan dua rekod dunia separa-marathon tahun lepas.

Juara dunia dua kali, Jaouad Gharib dari Maghribi berjaya menghabiskan perlawanan dalam tempoh 2:07.16s untuk mendapat perak manakala Tsegay Kebede dari Ethiopia mendapat gangsa dengan catatan masa 2:10.00s.

Deriba Merga dari Ethiopia mendahului hampir keseluruhan perlumbaan namun prestasinya merosot dan hanya berjaya mendapat tempat keempat.

Wanjiru juga adalah pemenang Marathon Antarabangsa Fukuoka di Jepun pada Disember lepas dan Marathon London April lepas.

“Saya perlu membina rentak untuk mendahului pelari lain, saya terpaksa berusaha mendahului rentak larian kerana saya akan segera penat jika memperlahankan larian,” kata Wanjiru.

Dalam perlumbaan pagi semalam, Wanjiru menerima sorakan gemuruh sebaik sahaja memasuki Stadium Sarang Burung lantas terus melambai tangan kirinya dan menepuk tangan beberapa kali.

Sebaik saja sampai ke garisan penamat selepas menghabiskan satu pusingan, beliau terus melutut dan membuat pangkahan di dadanya beberapa kali.

Pelari tersebut telah memecahkan rekod Olimpik, 2:09.21s yang dibuat oleh pelari dari Portugal, Carlos Lopes pada Olimpik 1984 di Los Angeles.

Semasa Wanjiru masih lagi berlutut, Gharib yang juga berjaya memecahkan rekod yang sama melepasi garisan penamat untuk memenangi perak.

Perlumbaan tersebut bermula pada pukul 7.30 pagi dalam keadaan cuaca bersuhu 24 darjah celsius dengan kelembapan 52 peratus yang meningkat sehingga 30 darjah celsius di hujung perlumbaan.

Utusan Malaysia

Dokumen Gimnas China ‘Ok’ – Rogge

August 25, 2008

DOKUMEN yang dikemukakan oleh China bagi membuktikan gimnas negara itu berusia lebih 16 tahun disifatkan sebagai ‘okey’ buat masa ini, kata presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Jacques Rogge semalam.

Sebelum ini wujud tuduhan bahawa China melanggar peraturan apabila menurunkan gimnas yang belum mencapai umur 16 tahun seperti yang disyaratkan.

Peraturan umur atlet yang dibenarkan beraksi di Sukan Olimpik telah diperkenalkan pada 1997 bagi melindungi hak kemanusiaan atlet muda.

Tuduhan tertumpu kepada gimnas wanita China iaitu He Kexin, Jiang Yuyuan, Li Shanshan, Deng Linlin dan Yang Yilin sehingga menyebabkan IOC mengarahkan Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG) menjalankan siasatan.

Bertindak atas arahan tersebut FIG telah mengadakan mesyuarat agung luar biasa kelmarin dan China segera menyerahkan salinan dokumen termasuk pasport dan kad pengenalan atlet tersebut bagi menyokong dakwaan mereka.

Rogge berkata, dokumen tersebut kemudian dianalisis dan pada tahap ini ia kelihatan sahih.

“Kami mendengar pelbagai tuduhan di media mengenai keraguan tentang umur atlet terbabit dan kami memandang serius perkara ini dengan meminta FIG supaya menjalankan siasatan mereka sendiri.

“Umur atlet yang dibenarkan beraksi di Sukan Olimpik adalah tanggungjawab FIG bukan IOC namun kita tetap menganggap ia isu yang sangat serius.

“FIG meminta semua dokumen, seperti dokumen keluarga dan sekolah dan lain-lain perkara berkaitan dan semua itu telah kami terima.

“Pada pandangan awal kami semuanya kelihatan okey. Bagaimanapun FIG akan mengkaji semua dokumen tersebut kerana ia berada di China dan FIG akan melaporkannya secepat yang mungkin,” katanya pada hari terakhir Sukan Olimpik Beijing, semalam.

Secara spesifik IOC merujuk kes itu kepada He selepas pakar komputer Amerika Syarikat mendakwa wujud dokumen di China yang membuktikan bahawa He lahir pada 1994 atau baru berusia 14 tahun.

China menguasai acara gimnastik pada Olimpik Beijing dengan memenangi sembilan daripada 14 pingat emas yang ditawarkan iaitu yang kedua tertinggi selepas USSR memenangi 10 emas pada Olimpik Seoul pada 1988.

He meraih dua emas iaitu dalam acara berpasukan wanita dan palang seimbang di mana dia mengetepikan bintang Amerika Syarikat Nastia Liukin.

Utusan Malaysia

MERIAH…

August 25, 2008

Stadium Kebangsaan yang juga dikenali sebagai Sarang Burung di Beijing, malam tadi bermandikan cahaya lampu dan percikan bunga api yang menjadikan upacara penutup Sukan Olimpik paling unik dan meriah. Gambar kecil pula menunjukkan menara di tengah-tengah stadium itu dibentuk oleh susunan manusia secara bertingkat-tingkat.

BEIJING – Sukan Olimpik Beijing melabuhkan tirainya secara rasmi, semalam dengan menyaksikan Malaysia kekal dengan satu pingat perak menerusi badminton untuk menduduki tangga ke-71; satu pencapaian dianggap baik berbanding temasya Athens 2004.

Di Sukan Olimpik Athens 2004, tidak seorang pun daripada sebanyak 26 atlet negara yang mengambil bahagian dalam 11 acara membawa pulang pingat.

Thailand pula muncul negara dari Asia Tenggara paling cemerlang dengan membawa pulang dua emas dan perak untuk menduduki tangga ke-31 manakala Indonesia meraih kedudukan ke-42 dengan membawa pulang satu emas dan perak serta tiga gangsa.

Jiran terdekat, Singapura pula hanya berkongsi kedudukan dengan Malaysia di tangga ke-71 dengan meraih satu gangsa.

Sepanjang hampir tiga minggu sukan berprestij itu berlangsung, hanya pemain perseorangan, Lee Chong Wei yang paling menyerlah di samping acara berbasikal trek menyaksikan peningkatan apabila pelumbanya berjaya menempatkan diri dalam 10 terbaik dunia.

Josiah Ng, Mohd. Azizulhasni Awang dan Mohd. Rizal Tisin masing-masing berjaya memperbaiki rekod kebangsaan dalam acara pecut berpasukan apabila menduduki ketujuh daripada 10 terbaik dunia.

Sementara Josiah dan pelumba berbakat, Azizulhasni pula mencuri tumpuan ramai apabila kehadiran mereka jelas mengancam saingan lain meskipun menamatkan pertarungan di tempat kesembilan dan 10.

Trio memanah negara yang turun buat pertama kali di temasya ini juga boleh dibanggakan pencapaian mereka sekalipun gagal membawa pulang pingat namun telah melakukan kejutan dalam acara berpasukan dan saingan recurve individu apabila mara ke saingan suku akhir.

Sementara bagi acara angkat berat, olahraga, taekwondo, renang, terjun, menembak dan kapal layar masih perlu diberikan perhatian yang sewajarnya apabila wakil negara yang bertanding belum mampu menyaingi pencapaian yang sepatutnya dalam temasya Olimpik.

Ada antara mereka yang masih kaku dan langsung tidak mencapai standard dunia. Mereka tidak sepatutnya datang ke Beijing, sebaliknya ke peringkat lebih rendah seperti Sukan SEA atau Sukan Komanwel.

Pencapaian beregu badminton negara turut memerlukan post mortem apabila gandingan kita sekadar bertahan sekerat jalan sebelum episod duka berulang dengan menjadikan tekanan sebagai alasan untuk kalah.

Selain Chong Wei, pujian juga seharusnya diberikan kepada wakil wanita, Wong Mew Choo yang menunjukkan angin perubahan apabila mara sehingga ke suku akhir yang sudahpun dianggap satu permulaan baik.

Acara renang dan olahraga yang terperap di tangga corot sebenarnya bukan tandingan Malaysia untuk bersaing di Olimpik yang kebanyakannya membariskan juara dan pemegang rekod dunia yang mustahil dikalahkan.

Jika dilihat persembahan keseluruhan atlet negara, masih banyak ruang dan kelemahan yang perlu diperbaiki dari sekarang sementara menunggu temasya London dalam empat tahun lagi.

Malah, dalam sesetengah disiplin tertentu, segelintir atletnya sudah menjangkau lewat usia malah persembahan mereka mulai menurun dan tidak sehebat dulu untuk menyaingi lawan yang segar dan muda.

Mungkin sudah tiba masanya mereka memberi laluan kepada muka baru yang lebih berdaya saing dalam persediaan ke temasya London 2012.

Apa jua perancangan yang hendak dicaturkan perlu dimulakan sekarang kerana tempoh empat tahun bukan jangka masa yang lama, malah untuk membina seorang atlet yang benar-benar mantap adakalanya memakan masa bertahun-tahun lamanya.

Di samping itu, atlet juga perlu didedahkan dengan lebih banyak kejohanan antarabangsa bagi membiasakan diri mereka bersaing dengan lawan bertaraf dunia di samping mencari pengalaman lebih luas.

Jika tidak, atlet kita akan kekal seperti apa yang kita saksikan sepanjang temasya berprestij ini. Mereka sering hilang fokus dan kaku untuk beraksi menyebabkan segala latihan dan pelaburan yang dibuat ke atas mereka selama ini lebur dalam sekelip mata.

- Utusan

Utusan Malaysia

Misbun Wajar Terima ‘Datuk’ – Jalani

August 25, 2008

misbun sidek (kiri) bukan sahaja melatih Lee Chong Wei tetapi juga sering memberi semangat untuk anak didiknya itu mencapai kejayaan.

KUALA LUMPUR – Dengan sumbangannya membantu Malaysia merangkul dua pingat Olimpik, malah pernah menjadi pemain digeruni, gelaran Datuk yang diterima jurulatih badminton negara, Misbun Sidek, merupakan satu penghormatan yang wajar, kata pemenang pingat gangsa Olimpik 1992, Jalani Sidek.

Jalani, yang juga adik kepada Misbun turut melihat penghormatan yang diterima abangnya itu merupakan pengiktirafan buat badminton, kerana ia menyusul beberapa hari selepas Lee Chong Wei menerima gelaran yang serupa daripada kerajaan Pulau Pinang dan bulan lalu, bekas jaguh beregu, Ng Boon Bee menerima gelaran Datuk daripada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.

Misbun, 48, yang dilahirkan di Banting, Selangor bakal dianugerahkan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) daripada kerajaan Negeri Melaka yang akan membawa kepada gelaran Datuk pada Khamis ini.

“Pada zamannya sebagai pemain, Misbun seorang yang gigih dan telah menempa nama sebagai lawan digeruni. Bila menjadi jurulatih, beliau berjaya membawa pemainnya ke peringkat tertinggi dengan memenangi dua pingat Olimpik. Jadi saya fikir beliau memang berhak mendapat pengiktirafan ini.

“Malah, sumbangan Misbun kepada badminton tanah air tidak sekadar melatih Lee Chong Wei dan pemain kebangsaan lain, beliau juga aktif membantu pembangunan pemain di peringkat akar umbi. Hari ini (semalam) beliau berada di Pulau Pinang menganjurkan klinik badminton untuk kanak-kanak walaupun sedang sibuk,” kata Jalani.

Sebagai jurulatih, selain telah membawa Chong Wei memenangi pingat perak pada Sukan Olimpik Beijing, Misbun juga pernah membimbang adiknya, Rashid Sidek meraih gangsa di Temasya Atlanta 1996.

Misbun juga adalah orang yang bertanggungjawab membawa Muhammad Hafiz Hashim merangkul gelaran Seluruh England 2003, pernah membawa Roslin Hashim bergelar pemain nombor satu dunia pada 2001, malah pernah menjadikan Chong Wei pemain nombor satu.

Sebagai pemain pula, beliau adalah juara kebangsaan 1981, 1982, 1983, 1984, 1986 dan 1987, pernah memenangi emas Sukan SEA Manila 1981, selain pernah menjuarai kejohanan terbuka seperti Terbuka Singapura, Taiwan, Jerman, Sweden dan Kanada.

Dilahirkan di Kancung Darat, Banting pada 17 Februari, 1960, Misbun juga merupakan naib juara Piala Dunia 1982, naib juara Seluruh England 1986 dan membawa cabaran Malaysia ketika muncul naib juara Piala Thomas 1988.

Utusan Malaysia

Sukan Olimpik: Kenya Atasi Habsyah Dalam Saingan Kuasa Afrika

August 25, 2008


JUARA: Wanjiru menuju garis penamat untuk meraih emas acara maraton lelaki di Beijing, semalam.

PERSAINGAN untuk muncul kuasa utama benua Afrika di Olimpik Beijing ditentukan semalam apabila cabaran atlit Habsyah, Deriba Merga layu dalam cuaca pagi terik ketika pelari Kenya, Samuel Wanjiru meluru untuk memenangi acara maraton.

Memasuki hari terakhir Olimpik, dua negara jiran itu terikat dengan masing-masing punya empat pingat emas, biarpun Habsyah punya dua bintang utama di trek, Kenenisa Bekele dan Tirunesh Dibaba yang masing-masing memenangi gelaran berganda acara 5,000 dan 10,000m.

Wanjiru kemudiannya hadir memenangi emas sulung Kenya dalam maraton, acara di mana legenda Habsyah, Haile Gebrselassie sepatutnya menyerlah jika tidak memutuskan menarik diri dalam acara dikuasainya angkara bimbang pencemaran udara di Beijing.

Sebaliknya, pelari Kenya itu hebat dalam keadaan langit cerah, memenangi acara itu dengan rekod baru Olimpik pada catatan dua jam, enam minit dan 32 saat.

“Bagus rasanya melakar sejarah di sini. Memang saya rasa bagus dapat melakar sejarah untuk Kenya,” kata Wanjiru.

Keseluruhannya, Kenya menang 14 pingat, sekali ganda daripada jumlah pada temasya Athens 2004. Habsyah menamatkan cabaran dengan jumlah keseluruhan tujuh pingat.

Pencapaian terbaik Kenya itu terhasil di sebalik keadaan kacau bilau dan rusuhan yang membunuh beratus-ratus rakyat itu selain menjejaskan persiapan kontinjen Kenya sejak tahun lalu.

Dan dengan ramai atlit meninggalkan Kenya untuk menukar kerakyatan di negara Arab yang kaya atau Amerika Syarikat, jumlah pungutan itu nyata mengejutkan, terutama dibantu kebangkitan barisan atlit negara itu. – AP

Berita Harian

Misbun Dapat Ganjaran Wang Tunai RM60,000

August 25, 2008

25/08/2008 3:33pm

KUALA LUMPUR 25 Ogos – Jurulatih badminton negara, Misbun Sidek akan menerima ganjaran wang tunai berjumlah RM60,000 daripada Majlis Sukan Negara (MSN) kerana berjaya melatih pemain kebangsaan, Lee Chong Wei sehingga berjaya merangkul pingat perak pada Sukan Olimpik Beijing baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, ganjaran tersebut merupakan penghargaan dan insentif kementerian kepada Misbun yang berjaya menggilap bakat Chong Wei.

“Kita akan serahkan ganjaran tersebut tidak lama lagi. Mengenai gelaran datuk pula, Misbun sememangnya layak mendapatnya,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini. – Utusan.

Utusan Malaysia

Phelps, Bolt Curi Tumpuan

August 25, 2008


BEIJING: Tuan rumah, China mengesahkan kehadiran mereka selaku pencabar utama sukan dunia tetapi tumpuan terarah kepada Michael Phelps dan Usain Bolt yang cemerlang sepanjang temasya Olimpik Beijing selama 17 hari itu.

Phelps, atlit dari Amerika Syarikat (AS), mengejutkan banyak pihak di Water Cube dengan memintas rekod 36 tahun milik rakan senegara, Mark Spitz, yang merangkul tujuh emas dan Phelps memenangi lapan emas – tujuh dilakukan dengan rekod baru dunia.

Selain itu, atlit berusia 23 tahun itu mengatasi catatan rekod sembilan emas Olimpik sepanjang karier yang dilakukan ikon Olimpik, Spitz, Paavo Nurmi, Carl Lewis dan Larysa Latynina. Phelps kini mengumpul 14 emas termasuk enam yang dimenanginya di Athens.

“Anda tidak dapat menterjemahkan melalui kata-kata mengenai apa yang dilakukannya di temasya kali ini,” kata atlit Australia, Grant Hackett. “Apa yang dilakukannya memang menakjubkan dan saya tidak mungkin dapat melihatnya sekali lagi.”

Selepas saingan renang selama sembilan hari itu tamat, Phelps menyerahkan sanjungan kepada Bolt yang mempamer aksi paling membanggakan di Stadium Kebangsaan Sarang Burung.

Atlit Jamaica yang merayakan hari lahir ke-22 di Beijing, merangkul emas dan mencatat rekod dunia dalam acara 100m, 200m dan 4x100m.

Kejayaan berganda dalam acara pecut adalah ulangan kepada kejayaan yang dicatat atlit AS, Lewis pada temasya Los Angeles 1984.

“Dia bukan manusia biasa,” kata atlit veteran St Kitts dan Nevis, Kim Collins. “Ia sesuatu yang tidak masuk akal.” – AFP

Harian Metro

Pro&Kontra: Konvensyen Cari Ramuan Elak Kehambaran Sukan

August 25, 2008

Oleh Raja Ahmad Zainuddin

SAYA sering menegaskan bahawa perkongsian dan percambahan idea bagi mencari jalan memajukan sukan negara adalah langkah terbaik, dan seperti juga di kalangan Ahli Parlimen yang mengadakan percambahan idea dengan pemimpin tertinggi, pemimpin badan sukan dan orang perseorangan yang berminat dalam bidang sukan juga perlu duduk semeja.

Saya mengalu-alukan usaha Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakub yang mengumumkan bahawa Konvensyen Sukan akan diwujudkan semula selepas lebih sedekad berehat.

Pengumuman itu pasti melegakan banyak pihak dan walau dalam apa bentuk sekalipun, pasti menjadi medan penting untuk berkongsi pendapat, apalagi dalam kedudukan negara yang agak ketinggalan selepas melihat pencapaian hambar Malaysia pada Sukan Olimpik Beijing yang berakhir semalam.

Dengan kata lain, konvensyen ini akan menjadi landasan penting bagi mencari jalan serta menentukan hala tuju sukan negara.

Jika tidak silap, konvensyen kali terakhir diadakan pada April 1996 di Pulau Langkawi dengan penyertaan lebih 260 tokoh dan pendukung utama sukan negara dan ia berjaya menilai semula prestasi Malaysia sambil mengorak langkah untuk Sukan Olimpik Sydney 2000, selain Sukan Komanwel 1998.

Saya lihat melalui konvensyen yang akan diadakan nanti, kita mampu menilai punca kemerosotan di Olimpik Beijing, walaupun sebutir perak dicapai melalui badminton. Soal penting ialah kita perlu ada wadah untuk menghadapi Olimpik London 2012.

Konvensyen yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur Oktober depan mampu mengumpulkan semula mereka yang terbabit secara langsung dan tidak langsung dalam kemajuan sukan negara.

Saya bersetuju dengan Ismail Sabri bahawa setiap pihak mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat masing-masing. Yang penting, hasil konvensyen jangan diperap di kementerian dan pejabat persatuan sukan kerana ia sebenarnya adalah ramuan penting bagi mengubati barah sukan selain menentukan hala tuju sukan di Malaysia selepas ini.

Apapun kita tidak boleh menuding jari sewenang-wenangnya kepada pihak yang gagal di Beijing kerana kita sendiri pun hanya mensasarkan harapan kepada badminton, berbasikal dan memanah saja.

Namun, rakyat Malaysia tetap berbangga dengan ganjaran RM300,000 dan pingat perak di Olimpik Beijing kerana ia menamatkan kemarau pingat negara dalam temasya berkenaan sejak 1996.

Bagi kontinjen Sukan Paralimpik ke-13 Beijing 2008 yang membabitkan 11 atlit paralimpik negara yang mula bertanding 8 September ini, saya ucapkan selamat berjuang dan dengan ganjaran RM300,000 ditawarkan kepada pemenang emas, perak (RM200,000) dan gangsa (RM100,000), saya yakin ia akan menjadi pembakar semangat dan harapan untuk kita berjaya dalam lima acara yang disertai iaitu renang, angkat berat, memanah, olahraga dan perahu layar.

Berita Harian


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.