Terus Pupuk Bakat

August 26, 2008 by Putera Emas

Oleh Nor Hairulnizam Wahid
hairulnizam@hmetro.com.my

CABARAN Olimpik Beijing sudah berakhir tetapi Majlis Sukan Negara (MSN) tidak mahu melelapkan mata, sebaliknya berhasrat memantapkan barisan atlit harapan untuk berdepan Sukan Olimpik London 2012.

Meskipun sekadar membawa pulang perak menerusi badminton, bagi Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong, ia permulaan terbaik selepas kali terakhir membawa pulang pingat perak dan gangsa di Sukan Olimpik 1996, Atlanta.

Malah Olimpik ini katanya, turut bersejarah apabila sukan seperti basikal dan memanah semakin hampir menjadi sukan yang mampu membuahkan pingat dengan atlit seperti Mohd Azizulhasni Awang dan Cheng Chu Sian mula mencuri perhatian.

Malah beberapa atlit seperti Amirul Hamizan Ibrahim, Daniel Bego, Siow Yi Ting serta pasukan memanah dan basikal turut memecah rekod kebangsaan hinggakan ada yang berjaya mara ke suku akhir, menyebabkan Zolkples mahu bakat ini terus dipupuk untuk persediaan ke London kelak.

“Kita tidak jangka mereka akan pergi sejauh ini dengan pendedahan serta latihan yang mereka terima tetapi sukan seperti basikal dan memanah semakin menyerlah berbanding harapan yang sebelum ini hanya diletakkan kepada badminton.

“Kebanyakan atlit kita masih muda dan kurang berpengalaman, justeru kita perlu mempersiapkan mereka untuk 2012,” katanya.

Hakikatnya, meskipun MSN puas hati dengan pencapaian atlit ketika ini, Zolkples mahu beberapa kelemahan ketara seperti ketelusan pengalaman serta kelemahan aspek mental diatasi jika mahu memperbaiki keputusan di Beijing.

Justeru katanya, apa yang akan dilakukan selepas ini adalah memberi tumpuan terhadap atlit dan sukan berpotensi untuk Olimpik meskipun pada masa sama tidak akan mengetepikan Sukan Komanwel dan Asia yang tidak kurang pentingnya dalam melahirkan jaguh sukan seperti bowling dan boling padang.

Malah kejohanan Mini Olimpik yang diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob mungkin antara langkah terbaik untuk memperkasakan skuad Olimpik negara selepas ini.

“Paling penting di sini ialah setiap atlit perlu berusaha keras meningkatkan prestasi masing-masing, memandangkan pada masa sama atlit negara lain juga melakukan perkara sama.

“Pada masa sama, saya juga mengharapkan hoki mampu melayakkan diri ke Olimpik. Kita akan menyiasat kelemahan yang ada memandangkan kita tidak pernah terlepas ke Olimpik melainkan pada dua edisi terakhir ini,” katanya.

Harian Metro

Real Madrid Juara Supercup Sepanyol

August 26, 2008 by Putera Emas

- AFP

pEMAIN Real Madrid meraikan kejayaan memenangi Supercup Sepanyol ke atas Valencia selepas pertembungan akhir pusingan kedua di Stadium Santiago Bernabeu, Madrid, kelmarin. – AP

MADRID – Real Madrid berjaya melakar sejarah bola sepaknya yang tersendiri apabila menjuarai Supercup Sepanyol setelah menewaskan Valencia, 4-2 di tempat sendiri, setelah kali pertama menjuarai kejohanan itu pada 2003.

Gol-gol kemenangan Madrid disumbangkan oleh Ruud van Nistelrooy, Sergio Ramos, Ruben de la Red dan Gonzalo Higuian.

Pasukan juara Sepanyol itu menuju ke kejohanan tersebut dengan defisit kemenangan sebanyak 3-2 berbanding Valencia.

Kejuaraan Supercup Sepanyol adalah perlawanan yang melibatkan juara liga tempatan dengan pemenang Piala Raja (King Cup).

Pemain tengah Valencia yang membantu Sepanyol memenangi Euro 2008, David Silva berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-32 menerusi tendangan tepat ke arah gol, setelah dia mendapat bola hasil kesilapan penjaga gol Madrid, Iker Casillas.

Empat minit sebelum masa pertama tamat, penyerang sensasi Madrid, van Nistelrooy menyamakan kedudukan menerusi tendangan penalti, selepas dia berjaya memperdayakan penjaga gol Valencia, Timo Hildebrand.

Juara Sepanyol itu dianugerahkan sepakan penalti kerana kejadian gol di atas garisan yang melibatkan pemain pertahanan Valencia, Raul Albiol.

Madrid menambah jaringan pada minit ke-77 melalui jaringan yang mengelirukan oleh pemain pertahanan, Sergio Ramos pada jarak dekat.

De la Reg mengukuhkan kedudukan melalui jaringan cantik pada jarak 35 meter di minit ke-85 dan empat minit kemudian, Higuain membantu Madrid mendapat gol keempat.

Morientes berjaya mendapatkan gol kedua untuk Valencia pada saat-saat akhir perlawanan setelah mendapat hantaran daripada David Villa.

Semua pemain dan penonton berdiam diri selama seminit sebelum perlawanan dimulakan bagi memberi penghormatan kepada kejadian nahas jet Spanair di lapangan terbang Madrid, yang menyebabkan kematian 154 orang, Rabu lalu.

Kejadian itu adalah kemalangan pengangkutan udara terburuk di Sepanyol sejak 25 tahun lalu. Kejadian itu turut meragut nyawa ibu kepada pemain pasukan remaja Madrid, Martin Kozhuharova, 15, yang berasal dari Bulgaria.

Pada perlawanan tersebut, jurulatih Madrid, Bernd Schuster tidak dapat mengguna khidmat beberapa pemain utamanya seperti Wesley Sneijder, Fabio Cannavaro, Javier Saviola, Michel Salgado dan Christoph Metzelder kerana kecederaan.

Selain itu, Schuster juga terpaksa melupakan hasrat menggunakan tenaga pemain tengah Argentina, Fernando Gago dan pemain pertahanan Brazil, Marcelo kerana kedua-duanya masih belum pulang daripada Sukan Olimpik Beijing.

Pada perlawanan tersebut, Schuster masih menurunkan penyerang Brazil, Robinho meskipun pemain itu tidak diletakkan dalam senarai 11 pemain utama dan dikaitkan dengan perpindahan ke Chelsea.

Penyerang Brazil itu diejek sekumpulan penyokong Madrid ketika pasukan itu meninggalkan hotel dan masih menerima ejekan apabila sampai di stadium Bernabeu.

Utusan Malaysia

Olimpik Landasan China Bertukar Demokrasi

August 26, 2008 by Putera Emas

BEIJING: Jepun berharap kegemilangan Sukan Olimpik akan dapat membantu meletakkan negara komunis di ‘landasan yang tepat’ ke arah demokrasi, kata jurucakap kerajaan, semalam.

“Penganjuran Olimpik adalah perkara yang baik bagi China supaya mereka lebih terbuka terutama dalam mengamalkan demokrasi. Kami percaya, ini adalah landasan tepat,” kata Ketua Setiausaha Kabinet, Nobutaka Machimura pada hari ke-16 sukan itu yang ditutup, kelmarin.

“Ketika perubahan, dasar pintu terbuka dikatakan dalam proses pelaksanaan di China, ia tidak selalunya menampakkan perubahan ketara,” kata Machimura kepada pemberita.

Katanya, penganjuran Sukan Olimpik seharusnya membolehkan rakyat China ‘menyedari tindakan normal atau sebaliknya yang dilakukan mereka pada pandangan antarabangsa’.

Dia berkata demikian sebagai mengulas layanan China terhadap golongan etnik minoriti – kebimbangan utama masyarakat antarabangsa yang mencetuskan demonstrasi di luar negara terhadap Olimpik Beijing.

Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Beijing semalam berkata, China mengusir lapan warga AS yang ditangkap di bandar itu minggu lalu ketika bantahan pro-Tibet.

Olimpik Beijing mengundang perbandingan dengan Olimpik Tokyo pada 1964 yang menjadi simbol kelahiran semula Jepun daripada kesan Perang Dunia Kedua kepada negara berkuasa besar ekonomi. – AFP

Berita Harian

–>Post-Mortem Nilai Prestasi

August 26, 2008 by Putera Emas


KEMENTERIAN Belia dan Sukan akan menjalankan post-mortem bagi menilai prestasi atlit negara pada Sukan Olimpik Beijing yang berakhir kelmarin, terutama bagi mengenalpasti punca ramai yang tidak menyerlah pada temasya sukan terbesar dunia itu.

“Kita akan mengadakan post-mortem segera untuk melihat sejauh mana prestasi mereka, sama ada bertambah baik atau merosot,” kata menterinya, Datuk Ismail Sabri Yaakob, semalam.

Walaupun gembira dengan kejayaan pemain badminton, Lee Chong Wei merangkul pingat perak perseorangan lelaki setelah ditewaskan pemain China, Lin Dan, Ismail Sabri menyatakan kekecewaannya terhadap atlit yang gagal memberikan persembahan terbaik mereka.

“Saya tidak puas hati dengan atlit yang prestasi mereka telah menurun, kurang memuaskan berbanding dengan Olimpik 2004,” katanya.

Beliau berkata walaupun negara tidak mengharapkan mereka membawa pulang pingat, sekurang-kurangnya mereka perlu memperbaiki rekod peribadi masing-masing.

“Bagi sesetengah acara, kita berharap Olimpik menjadi platform pendedahan untuk mereka dan memperbaiki rekod diri. Ada pula acara lain yang kita ada ranking dan harapan untuk memungut pingat seperti badminton, tetapi tidak dapat,” katanya.

Beberapa atlit negara, misalnya daripada acara berbasikal, akuatik dan badminton beregu menampilkan persembahan yang hambar pada Sukan Olimpik di Beijing baru-baru ini.

Malaysia menghantar 33 atlit ke Sukan Olimpik di Beijing.

Harian Metro

Olimpik Cemerlang Jika Kurang Aspek Politik

August 26, 2008 by Putera Emas

- AFP

SYDNEY – Akhbar Australia memuji kehebatan penganjuran Sukan Olimpik Beijing, tetapi perubahan perlu dilakukan dari segi politik di China yang terlalu mengongkong kejohanan itu.

Akhbar harian nombor satu, The Australian berkata, China telah kembali menunjukkan kehebatan mereka di Olimpik, apabila menjadi negara yang paling berkuasa di dalam sukan selepas memungut 100 pingat termasuk 51 pingat emas.

”Bermula dengan penyalaan obor Olimpik di Stadium Sarang Burung pada 8 Ogos sehinggalah majlis penutupan rasmi, masyarakat China berjaya menjadikan kejohanan itu yang paling meriah dan hebat setakat ini,” katanya.

Tetapi akhbar itu berkata, situasi politik yang terarah kepada negara Komunis menjadikannya sebagai satu prospek yang jauh dan kejohanan itu juga terlalu dikongkong.

”Seperti mana yang diketahui umum slogan aman dan harmoni, menjangkakan Sukan Olimpik Beijing ini akan menjadi lebih terbuka dan menghormati hak asasi manusia, namun China gagal untuk menterjemahkannya.

”Sama ada di dalam dan di luar gelanggang, masih ada ruang kecil untuk ia berlaku secara spontan atau kemanusiaan sekurang-kurangnya di kalangan atlet China dan penonton yang hadir,” katanya.

Akhbar itu berkata, Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengambil risiko memberi peluang kepada Beijing untuk menganjurkan kejohanan itu tetapi harapan acara sukan terbesar itu mampu untuk mengubah hak asasi manusia ‘rupanya hanya menjadi angan-angan’.

The Sydney Morning Herald pula berkata tema yang bergema memberi kejayaan kepada China, tetapi bukan kepada semua.

”Seluruh dunia berasa hairan bagaimana organisasi kemahiran dan kewangan berhempas pulas untuk meningkatkan pemodenan China, gelanggang-gelanggang baru acara sukan dan bangunan utama serta upacara-upacara mewah sepanjang kejohanan.

”Perjalanan acara sukan telah berlangsung dengan begitu cekap, adil dan bebas dari sebarang skandal.

”Sementara itu, terlampau banyak peraturan yang merosakkan kejohanan di hadapan penonton,” katanya.

Utusan Malaysia

Tuan Rumah Elak Projek ‘Gajah Putih’

August 26, 2008 by Putera Emas

Beijing yakin gelanggang tidak bernasib malang

BEIJING: Bekas tuan rumah Olimpik biasanya dipenuhi projek ‘gajah putih’ yang dibina untuk temasya itu, tetapi Beijing yakin gelanggang hebatnya tidak akan mengalami nasib malang sama.

Masalah itu digambarkan oleh Athens, di mana hampir semua gelanggang dibina untuk Olimpik 2004 kini ditinggalkan kosong dan terus memakan jutaan ringgit untuk kos penyenggaraan setiap tahun, sekali gus mencemarkan legasi Olimpik bandaraya itu.

Keperluan membina gelanggang yang berkekalan dan boleh terus digunakan kini jadi elemen penting kepada proses penawaran Olimpik, dan Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Jacques Rogge, berkata Beijing berjaya menanganinya.

Dia berkata banyak gelanggang dibina di dalam universiti, memastikan penggunaan berterusan pada masa depan, malah untuk kegunaan harian.

“Ia bermakna tiada projek gajah putih yang dibina,” katanya kepada wartawan pada hari terakhir temasya, kelmarin.

Terdapat 31 gelanggang untuk Olimpik Beijing, tetapi hanya 12 yang baru dibina. Lapan adalah gelanggang sementara dan enam dibina di dalam kawasan universiti.

Pakar-pakar bersetuju dengan pendapat Rogge, biarpun mereka berkata cabarannya masih ada untuk dua gelanggang termahal dan paling memikat perhatian – Stadium Sarang Burung dan Pusat Akuatik Nasional, juga dikenali sebagai Kiub Air.- AFP

Berita Harian

Elak Status ‘Gajah Putih’

August 26, 2008 by Putera Emas


BEIJING: Bekas bandar raya tuan rumah Olimpik kini dipenuhi bangunan ‘gajah putih’ yang dibina bagi memenuhi keperluan sebelum Sukan Olimpik tetapi Beijing yakin, venue hebatnya tidak akan mengalami nasib yang sama.

Cabaran itu dapat dilihat di Athens apabila hampir semua venue yang dibina untuk Sukan Olimpik 2004 kini lengang dan memerlukan berjuta ringgit untuk kerja penyelenggaraan setiap tahun, menambah beban kepada peninggalan bandar raya Olimpik itu.

Keperluan untuk membina venue yang berdaya saing dan boleh diguna semula kini menjadi perkara penting dalam proses bidaan Olimpik, dan Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Jacques Rogge berkata Beijing berjaya melaksanakannya.

Katanya banyak venue diserap kepada universiti bagi memastikan fungsi berterusan mereka pada masa depan, ada kalanya digunakan secara harian.

“Ia bermaksud tiada bangunan gajah putih dibina. Ia akan dimanfaatkan,” katanya pada hari terakhir Sukan Olimpik Beijing.

Terdapat 31 venue di Sukan Olimpik Beijing tetapi hanya 12 daripadanya adalah bangunan baru. Lapan bangunan berstatus sementara dan enam lagi dibina di dalam universiti.

Golongan pakar bersetuju dengan pandangan Rogge biarpun wujud cabaran bagi dua venue paling gah dan paling mahal, Stadium Nasional ‘Bird Nest’ dan Pusat Akuatik Nasional “Water Cube”.

“Biarpun saiz stadium berkenaan menjadi ukuran, populasi rakyat Beijing yang begitu besar memungkinkan potensi untuk diguna sepenuhnya selepas tempoh penyesuaian,” kata Susan Brownell, pakar sukan di China. – AFP

Harian Metro

43 Rekod Dunia Lebur Di Olimpik Beijing

August 26, 2008 by Putera Emas

- Utusan

BEIJING – China seperti dijangka dari awal mendahului senarai pungutan pingat, menutup tirai temasya Beijing, kelmarin dengan 51 emas, 21 perak dan 28 gangsa sekali gus dinobat juara keseluruhan dengan jumlah 100 pingat.

Angka paling cantik itu juga merupakan catatan rekod paling besar dalam sejarah jumlah kutipan pingat selepas kali terakhir bekas negara Kesatuan Soviet (USSR) meraih sebanyak 55 emas pada temasya Seoul 1988 di Korea Selatan.

Amerika Syarikat (AS) pula buat pertama kali berada di tempat kedua pungutan emas terbanyak sejak temasya Barcelona 1992, sekali gus mengatasi rekod jumlah pencapaian sendiri.

Temasya Beijing juga menyaksikan AS mengumpul 110 pingat, lebih 10 butir mengatasi pencapaian China dan melebihi dua pingat mengatasi jumlah pungutannya di Olimpik 1992.

Sepanjang 17 hari temasya berprestij ini berlangsung, sebanyak 43 rekod dunia lebur manakala 120 rekod Olimpik baru dicatatkan.

Pencapaian Olimpik Beijing yang dianggap antara terbaik yang pernah diadakan turut menarik perhatian Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (OIC), Jacques Rogge yang memuji China pada penutup tirai temasya, kelmarin.

”Terima kasih rakyat China. Juga terima kasih kepada tenaga sukarelawan dan jawatankuasa (BOGOC) yang menjayakan temasya ini,” katanya.

Sementara itu, para pemimpin China turut tidak putus-putus mengucapkan tahniah kepada atlet mereka yang kini menjadi kebanggaan negara dan rakyatnya.

Kejayaan China di temasya Olimpik membuka lembaran baru bagi pembangunan sukan di negara itu dan pelengkap kepada kejayaan melaksanakan tanggungjawab sebagai tuan rumah.

Apa sekali pun, kejayaan China mengungguli pungutan pingat tidak dilihat berseorangan kerana setiap negara yang mengambil bahagian turut mempunyai alasan untuk meraikannya terutama bagi yang menang pingat pertama kali di temasya Olimpik.

Britain, misalnya yang ceria kerana bakal menjadi tuan rumah temasya London 2012, turut mempunyai sebab lain untuk bergembira apabila jumlah pungutan pingatnya di Beijing, 47 butir adalah yang terbaik sepanjang sejarah penyertaannya ke Olimpik.

Temasya Beijing juga menyaksikan sebanyak 87 negara berjaya membawa pulang pingat berbanding hanya 80 buah di Sydney 2000.

Benua Afrika sahaja membawa pulang sebanyak 40 pingat – satu sejarah termasuklah kejayaan Togo, Mauritius dan Sudan meraih pingat pertamanya dalam sejarah penyertaannya di Olimpik.

Panama pula memperoleh emas pertamanya dalam sejarah Olimpik dalam acara lompat jauh manakala Mongolia bagi acara judo.

Malaysia turut tidak ketinggalan membawa pulang satu pingat perak dalam acara badminton lelaki menerusi, Lee Chong Wei selepas kali terakhir berbuat demikian dalam temasya Atlanta 1996 daripada pasangan beregu, Yap Kim Hock-Cheah Soon Kit.

Malaysia memperoleh pingat pertama Olimpik menerusi gandingan beregu, Razif dan Jalani Sidek yang meraih gangsa di Barcelona 1992 sebelum Rashid menghadiahkan pingat yang sama di Atlanta 1996 daripada acara perseorangan.

Utusan Malaysia

Emas Milik AS ‘ Bola Tampar

August 25, 2008 by Putera Emas

BEIJING – Pasukan bola tampar lelaki Amerika Syarikat memenangi pingat emas Olimpik, selepas mengalahkan juara bertahan Brazil untuk melengkapkan kehebatan mereka dalam acara itu yang dibayangi serangan di kawasan tumpuan pelancong di Beijing.

Amerika Syarikat memastikan emas ketiga dalam acara itu selepas menang 20-25, 25-22, 25-21, 25-23 dalam perlawanan akhir. Brazil yang berkedudukan nombor satu dunia dan pemenang pingat emas sebanyak dua kali, hanya berpuas hati dengan pingat perak.

Pasukan Amerika Syarikat tiba selepas bapa mertua jurulatih mereka Hugh McCutcheon ditikam di Beijing sehari sebelum pertandingan itu bermula.

McCutcheon terlepas dalam tiga perlawanan awal untuk bersama isterinya, bekas atlet Olimpik bola tampar di mana ibunya juga cedera dalam serangan tersebut.

Selepas mata akhir McCuthcheon memeluk penolongnya. Dia kemudiannya meletakkan kedua-dua tangan di kepala dan berjalan keluar dari gelanggang. Dia tidak kembali dalam masa yang lama dan selepas dia masuk semula dia terus memeluk pemain veteran Lloy Ball.

Rusia memenangi pingat gangsa sebelum itu selepas mengalahkan Itali tiga set.

Amerika Syarikat memenangi pingat emas pada 1984 dan 1988 sebelum memperoleh pingat gangsa di Barcelona. Mereka mendapat tempat keempat di Athens 2004.

Sehari sebelum perlawanan antara Amerika Syarikat dan Brazil, pasukan wanita Amerika Syarikat berpuas hati dengan pingat perak selepas mereka tewas 3-1 kepada Brazil.

Ini adalah kali pertama sejak Sukan Olimpik Los Angeles 1984 kedua-dua pasukan lelaki dan wanita Amerika Syarikat layak ke perlawanan akhir Olimpik.

Kemenangan pasukan Amerika Syarikat dijelmakan oleh Clayton Stanley yang merejam bola ke arah bintang Brazil Giba, yang hanya mampu mengangkat bola keluar garisan.

Giba merangkak di atas lantai dengan perasaan tidak percaya dan pasukan Amerika Syarikat meluru ke dalam gelanggang untuk merai kemenangan mereka. Ball, yang bermain sebanyak empat kali dalam Sukan Olimpik melompat ke arah tempat duduk penonton untuk memeluk anaknya berusia tujuh tahun dan isterinya.

McCutcheon mengangkat tangannya di atas kemenangan Amerika Syarikat ketika majlis penyampaian pingat.

- AP

Utusan Malaysia

Sukan Olimpik: Argentina Bukti Kejaguhan

August 25, 2008 by Putera Emas


MEGAH: Skuad Argentinadipimpin Messi (kiri) mendengar lagu kebangsaan mereka berkumandang selepas menerima pingat emas bola sepak lelaki, kelmarin.

Isu Messi dihalang Barca beraksi di Beijing jelas satu rahmat buat pasukan

DETIK gembira Argentina memenangi pingat emas bola sepak kedua berturut-turut menggambarkan mengenai keutamaan yang mereka meletakkan beraksi di kancah Sukan Olimpik.

Tatkala negara Eropah secara keseluruhannya merendahkan nilai emas Olimpik, kuasa bola sepak Amerika Selatan, Argentina dan Brazil bersama-sama dengan jaguh Afrika Nigeria, memberikan segala-galanya dalam merangkul kejuaraan di Beijing.

Argentina terbabit dalam pertelingkahan tarik tali dengan gergasi bola sepak Sepanyol, Barcelona untuk melepaskan pemain tengah sensasinya, Lionel Messi untuk temasya ini.

Kelab ternama Eropah ini turut memenangi rayuan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) terhadap keputusan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) yang mensyaratkan kelab ini perlu melepaskan semua pemain bawah 23 tahun, termasuk Messi.

Akhirnya, Barcelona memberikan Messi bermain di Olimpik, dilaporkan selepas mencapai kata sepakat dengan Persekutuan Bola Sepak Argentina.

Messi terbukti begitu bernilai tatkala Argentina mengalahkan Brazil 3-0 di separuh akhir dan menundukkan bekas juara Nigeria 1-0 dalam perlawanan akhir untuk muncul negara pertama dalam 40 tahun sejak Hungary untuk memenangi emas berturutan pingat emas Olimpik.

Pemain Argentina begitu meraikan kejayaan mereka selepas wisel penamat dan begitu seronok dengan suasana menakjubkan memenangi emas Olimpik di hadapi 89,102 penonton di Stadium Sarang Burung.

Malah, pemain veteran dan kapten Juan Riquelme, salah seorang daripada lima pemain senior dalam pasukan Olimpik Argentina, begitu terpegun dengan pengalaman Beijing.

“Saya cukup gembira kerana ini adalah peluang terakhir buat saya untuk bermain di Temasya Olimpik,” kata Riquelme. “Saya akan memakai pingat ini ketika perjalanan pulang dalam kapal terbang. Saya tidak mengeluarkannya untuk sesiapa.” – AFP

Berita Harian