Hanya Yang Cemerlang Dapat Lebih

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH


AZALINA (kanan) menjawab soalan wakil media di MSN semalam.

SUKAN yang memperlihatkan prestasi cemerlang sepanjang tahun 2008 bakal menerima peruntukan yang lebih besar.

Itu jaminan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN).

Ia turut melibatkan sukan yang tidak dikategorikan sebagai sukan teras kerana yang penting mereka memperlihatkan kecemerlangan.

Menurut Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said, pada masa ini kerajaan memperuntukkan RM35 juta setahun bagi menampung kos pembangunan 26 jenis sukan di negara ini termasuk lapan sukan teras.

Katanya, peruntukan tersebut nampaknya tidak mencukupi jika dilihat kepada aspek pembangunan atlet elit dan pelapis yang diuruskan MSN.

“Bajet RM35 juta untuk membangunkan 26 jenis sukan ini sebenarnya masih tidak mencukupi kerana KBS dan MSN terpaksa membahagikan peruntukan tersebut kepada lapan sukan teras, 18 sukan biasa dan juga skim insentif dan elaun latihan atlet elit dan pelapis,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke MSN semalam.

“Malah, pembelanjaan tersebut adalah tiga kali ganda daripada biasa kerana tumpuan sudah pasti diberikan kepada lapan sukan teras ini, kemudian barulah 18 sukan lain termasuk juga elaun dan skim insentif kepada atlet elit dan pelapis.

“Jadi tahun ini, kami memutuskan untuk memberi peruntukan yang lebih hanya kepada sukan yang mempamerkan prestasi cemerlang sahaja, walaupun ia tidak disenaraikan dalam sukan teras,” jelasnya.

Justeru, Azalina berkata bahawa adalah penting bagi semua persatuan sukan tanah air untuk mempamerkan prestasi yang lebih baik pada tahun ini supaya mereka layak menerima peruntukan yang setimpal dengan kecemerlangan mereka.

“Sebelum ini semua persatuan sukan menerima peruntukan mengikut keutamaan mereka. Jadi kali ini jika sesebuah persatuan itu tidak mempamerkan prestasi seperti yang diharapkan, mereka tidak boleh salahkan KBS dan MSN lagi.

“Tugas sebenar KBS dan MSN ialah melahir dan menjaga kebajikan atlet negara sahaja, bukan memberi peruntukan kepada pembangunan persatuan mereka. Tanggungjawab tersebut sebenarnya dipikul oleh persatuan itu sendiri.

“Begitupun, KBS akan membentangkan kembali bajet dan strategi pembelanjaan pembangunan sukan tahun ini kepada kabinet pada Februari depan supaya peruntukan itu dapat dinilai semula oleh kerajaan terutamanya peruntukan yang melibatkan lapan sukan teras negara,” tambah Azalina.

Sementara itu, Azalina turut mengumumkan penubuhan satu Jawatankuasa Khas Sukan Olimpik Beijing bagi menilai persediaan dan isu-isu yang berkaitan dengan jenis sukan yang akan disertai oleh negara pada temasya di Beijing itu Ogos depan.

“Jawatankuasa khas ini akan mula bermesyuarat minggu depan dan antara objektifnya ialah untuk menilai persediaan atlet kita, mengatur semula strategi baru selain menangani beberapa isu berkaitan Sukan Olimpik yang mungkin akan timbul nanti,” kata Azalina.

Jawatnkuasa khas yang akan dipengerusikan oleh Azalina itu turut dianggotai Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong, Ketua Pengarah Institut Sukan Negara, Datuk Ramlan Aziz, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Imran Tunku Ja’afar, Ketua Kontinjen Negara ke Sukan Olimpik, Datuk Ho Koh Chye serta tiga ahli lembaga pengarah dari MSN dan MOM.

Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: