Bukit Jalil Gelanggang Terakhir

Oleh DRAHMAN BAHARUN


BEGO sudah layak ke Olimpik Beijing.

SKUAD renang negara masih mempunyai peluang untuk menambah bilangan atletnya beraksi pada temasya Sukan Olimpik 2008 di Beijing, China Ogos ini.

Meskipun beberapa atlet sudah mengesahkan tempat ke Beijing, namun Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) masih yakin beberapa atlet negara mampu ke temasya sukan paling berprestij itu.

Setakat ini, tiga atlet renang sudah mengesahkan tiket ke Beijing iaitu Daniel Bego, Siow Yi Ting dan Khoo Chai Lin.

Manakala acara terjun pula menyaksikan Bryan Nickson Lomas, Leong Mun Yee, Elizabeth Jimie dan Pandelela Rinong.

Kejohanan Akuatik Terbuka Malaysia yang berlangsung pada 1 hingga 4 Mei di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil dianggap sebagai gelanggang terakhir atlet renang untuk mara ke Sukan Olimpik Beijing Ogos ini.

Beberapa atlet yang bertanding pada temasya Sukan SEA Korat Thailand tahun lalu adalah antara yang bakal berpeluang mara.

Atlet renang yang menyertai temasya Sukan SEA tahun lalu ialah Melvin Chua Bao Quan, Yap See Tuan, Kevin Lim Kar Meng, Clement David Leong, Daniel David Leong, Eric Chang, Lau Zheng Fong, Linvern Lim, Kevin Yeap Soon Choy, Luisa Los-Santos, Chu Lai Kwan, Chan Kah Yan, Hii Siew Siew, Marellyn Liew, Leung Chii Lin, Lew Yih Wey, Raja Azlina Izzah Raja Shahrom, Chai Sook Fun, Heidi Gan dan Ong Ming Xiu.

Yi Ting

Naib Presiden ASUM, Zainal Othman berkata, dia yakin ramai lagi atlet negara akan layak ke Beijing sekiranya mereka mempamerkan aksi cemerlang pada kejohanan Terbuka Kebangsaan nanti.

“Mereka ini (atlet yang menyertai temasya Sukan SEA) mempunyai pengalaman luas serta berpeluang menempah tiket ke Olimpik. Pada kejohanan kelayakan baru-baru ini, mereka kurang bernasib.

“Saya menaruh harapan tinggi mereka akan layak dan mencatatkan masa yang terbaik,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Ditanya kriteria kelayakan ke temasya Olimpik, Zainal berkata: “Yang penting, mereka mampu mengatasi masa kelayakan yang ditetapkan oleh Majlis Olimpik Antarabangsa.

“Selain itu, mereka perlu bersaing dengan beberapa atlet lain yang akan beraksi pada kejohanan ini nanti,” ujarnya.

Menurutnya, beberapa negeri akan menghantar atlet mereka untuk menyertai kejohanan kali ini yang turut mengintai tempat untuk ke Olimpik.

“Meskipun peluang atlet dari negeri-negeri termasuk atlet pelapis tipis, namun mereka juga mempunyai peluang.

“Asalkan mereka bekerja keras, maka tidak mustahil mereka dapat melakukannya.

Chai Lin

“Kejohanan ini juga sebagai pendedahan kepada atlet muda kerana atlet dari luar negara juga turut bertanding,” katanya.

Menurutnya, penyertaan beberapa atlet yang sudah layak ke temasya Olimpik pada kejohanan ini dilihat sebagai medan terbaik buat atlet lain untuk mencatatkan masa yang terbaik.

Antara negara yang turut menyertai kejohanan kali ini termasuk Singapura, Thailand, Brunei, Vietnam dan Hong Kong.

Mengenai persediaan atlet yang layak menyertai Olimpik, Zainal berkata: “Selepas kejohanan kebangsaan, kami akan menghantar mereka ke China untuk mengikuti latihan intensif.

“Setakat ini, mereka menjalani latihan intensif di bawah jurulatih Paul Birmingham dari Australia.

“Kami akan berbincang dengan jawatankuasa kerja untuk menghantar mereka ke China selepas Kejohanan Terbuka Malaysia nanti. Latihan di China sebagai latihan terakhir buat mereka.”

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Edwin Chong berkata, kecuali Yi Ting yang berada di Amerika Syarikat, keenam-enam atlet (dua atlet renang dan empat terjun) yang lain sedang menjalani latihan intensif di Bukit Jalil di bawah bimbingan jurulatih Paul.

“Kita sedang memantau prestasi setiap atlet terbabit supaya mereka menunjukkan peningkatan memberansangkan sebelum ke Beijing.

“Walaupun kita tidak menetapkan sasaran pingat, namun harapan tetap disandarkan kepada mereka untuk melakukan yang terbaik,” katanya.

Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: