PHM Kemuka Laporan Kepada MSN


PEMAIN hoki negara sekadar menghuni kedudukan ketiga pada kempen kelayakan Sukan Olimpik di Jepun.

PERSEKUTUAN Hoki Malaysia (PHM) akan menghantar satu laporan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai prestasi skuad hoki kebangsaan selepas gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik buat kali kedua berturut-turut.

Menurut setiausaha PHM, Hashim Mohamed Yusof, laporan tersebut akan dihantar kepada MSN pada minggu depan selepas satu mesyuarat di antara ahli lembaga PHM selesai diadakan di Johor Bahru, Sabtu ini.

“MSN sudah meminta kami menyediakan laporan mengenai prestasi skuad muda kita dan kami (PHM) akan menghantarnya selepas membincangkannya dalam satu mesyuarat di Johor Bahru Sabtu ini,” kata Hashim pada sidang media mengenai Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Bukit Jalil semalam.

“Mesyuarat tersebut akan dipengerusikan oleh Tengku Bendahara Johor, Tunku Abdul Majid Idris Sultan Iskandar yang juga Timbalan Presiden PHM.

“Setakat ini saya tidak mahu komen apa-apa mengenai kegagalan kita ke Olimpik tahun ini. Malah saya sendiri belum lagi jumpa jurulatih Sarjit Singh. Jadi biarlah PHM bermesyuarat dulu dan kami akan mengeluarkan kenyataan kemudian,” kata Hashim lagi.

Pada kejohanan Kelayakan Olimpik Beijing di Kakamigahara, Jepun minggu lalu, skuad negara hanya mampu menduduki tempat ketiga peringkat kumpulan, sekali gus gagal menepati sasaran awal iaitu mara ke perlawanan penentuan bertemu Jerman.

Empat tahun lalu, skuad negara yang dibimbing bekas jurulatih Wallace Tan turut gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2004 di Athens selepas mengalami nasib yang sama pada pusingan kelayakan di Madrid, Sepanyol.

Mengenai komen Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja’afar yang mahu PHM mengkaji semula struktur dan program badan induk hoki negara itu, Hashim berkata setakat ini tiada sebarang masalah yang timbul dalam pihak pengurusan PHM.

“Saya rasa ia satu pandangan peribadi beliau. Setakat ini tiada sebarang masalah dalam pihak pengurusan dan juga perjalanan program PHM, jika tidak masakan MOM beri kami rating empat bintang baru-baru ini.

“Tapi kami (PHM) tetap hormati pandangan Tunku Imran kerana beliau adalah orang lama dalam sukan negara. Begitupun kami akan buat bedah siasat dan sediakan laporan selepas mesyuarat itu nanti. Kita tunggu saja,” kata Hashim lagi.

Sementara itu, mengenai Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah, Hashim memberitahu skuad hoki negara menetapkan sasaran untuk muncul juara selepas juara bertahan Australia tidak menyertai kejohanan edisi tahun ini kerana terlibat dalam persiapan Olimpik Beijing 2008.

“Pada kejohanan kali ini kita menetapkan sasaran untuk memperbaiki pencapaian muncul naib juara tahun lalu.

“Persaingan kali ini tetap sengit meskipun tanpa kehadiran Australia kerana pasukan-pasukan lain yang mempunyai ranking sepuluh pasukan terbaik dunia turut menyertai kejohanan kali ini,” kata Hashim.

Selain Malaysia sebagai tuan rumah, pasukan lain yang akan menyertai kejohanan ini ialah Pakistan (No. 6 dalam ranking dunia), New Zealand (10), Belgium (12), Kanada (15) Argentina (7) dan India (9).

Kejohanan Piala Sultan Azlan Ahah edisi ke-17 yang diadakan bersempena Ulang Tahun Keputeraan ke-80 Sultan Perak, Sultan Azlan Shah akan bermula pada 8 sehingga 18 Mei depan di Ipoh, Perak.

Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: