Obor Teknologi Angkasa Di Everest


PARA pendaki China membawa obor Sukan Olimpik menuju ke puncak tertinggi Gunung Everest di Tibet semalam.

OBOR Sukan Olimpik Beijing akhirnya tiba di puncak Gunung Everest semalam dalam suasana penuh emosi dan dramatik serta disambut dengan meriah oleh seluruh rakyat China.

Kejayaan sekumpulan pendaki China menawan puncak tertinggi di dunia tersebut menggambarkan keazaman China untuk menjadikan Sukan Olimpik Beijing pada Ogos ini sebagai acara paling berjaya pernah dianjurkan.

Kumpulan pendaki itu membawa obor yang menggunakan teknologi roket angkasa lepas bagi membolehkan api terus menyala disepanjang laluan berais menuju ke puncak setinggi 8,848 meter tersebut.

Para pendaki yang kegirangan mengibarkan bendera kecil China dan Olimpik diakhir pendakian mereka yang disiarkan secara langsung di seluruh negara.

“Satu dunia, satu impian,” kata ketua pendaki, Nyima Cering yang melaungkan slogan Sukan Olimpik Beijing sebaik sahaja obor dinyalakan.

Kumpulan 19 pendaki yang memakai baju merah dan mempunyai logo Olimpik itu berjaya sampai ke puncak Everest, enam jam selepas meninggalkan kem terakhir mereka.

Menyalakan obor itu di puncak Everest merupakan acara kemuncak larian obor Sukan Olimpik Beijing yang merupakan terpanjang dalam sejarah.

Walaupun dicemari oleh bantahan berhubung isu Tibet, obor temasya sukan paling berprestij di dunia itu melawat 19 negara sebelum tiba di Hong Kong pada minggu lepas.

Obor itu juga akan dibawa ke seluruh rantau dan wilayah di China sebelum kembali ke Beijing pada 6 Ogos nanti iaitu dua hari sebelum majlis pembukaan.

Api yang digunakan dalam pendakian Gunung Everest itu diasingkan daripada obor utama yang kini berada di wilayah perindustrian Guangdong tenggara China.

Acara larian di bandar Shenshen di wilayah itu yang dijadualkan semalam juga ditangguhkan sehingga tengah hari bagi memberi peluang nyalaan obor di puncak Everest.

Obor utama tidak dibawa ke puncak Everest kerana bimbang cuaca buruk yang mungkin mengakibatkan acara itu tertangguh sekali gus menganggu keseluruhan jadual larian obor itu.

Obor yang dibawa ke Gunung Everest itu menggunakan bahan bakar propana bagi membolehkan api terus menyala ketika angin kuat dan dalam keadaan kurang oksigen.

Agensi berita Xinhua melaporkan bahawa obor itu direka oleh sebuah firma China dan ia menggunakan teknologi canggih angkasa lepas yang membolehkan roket berfungsi di orbit.

Ketua jurutera projek itu, Liu Xingzou berkata, obor itu mempunyai satu injap tekanan tinggi bagi membolehkan ia bertahan dalam keadaan cuaca ekstrem.

“Api obor itu mampu menahan angin selaju 65 kilometer sejam, hujan dan suhu sejuk sehingga 40 darjah celsius di bawah paras beku,” katanya.

Sepanjang pendakian api itu dibawa dengan menggunakan satu bekas logam khas sebelum para pendaki menggunakan sebatang tongkat kecil untuk menyalakan obor.

Para pendaki juga dilihat sukar untuk bernafas ketika secara bergilir-gilir menyerahkan api itu sebelum ia dinyalakan pada obor.


PESERTA mengibarkan bendera Sukan Olimpik setelah berjaya sampai ke puncak Everest di Tibet semalam.

Pembawa obor terakhir iaitu seorang wanita yang berasal dari Tibet, Cering Wangmo dilihat berdiri dengan tegak dan kaku ketika rakan-rakannya yang lain girang mengibarkan bendera.

Mereka kemudiannya berpeluk sesama sendiri sebelum bersorak “Kita berjaya, Beijing kini kami datang,”. – AP

Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: