Perlu Bangkit Hadapi Sukan Olimpik

JAKARTA – Misi skuad negara di Jakarta sudah berakhir.


MEW CHOO menjadi sandaran negara pada Sukan Olimpik Ogos ini.

Kini tumpuan sudah pasti terarah kepada persiapan bagi menghadapi Sukan Olimpik di Beijing Ogos depan.

Kurang tiga bulan sahaja lagi sebelum berlangsungnya temasya berprestij itu, skuad negara seharusnya segera melupakan kegagalan di Jakarta, sebaliknya memberi lebih fokus kepada persediaan menghadapi Sukan Olimpik yang dijadualkan membuka tirainya pada 8 hingga 24 Ogos.

“Mereka (pemain lelaki negara) kini perlu bangkit daripada kegagalan pada Piala Thomas sebelum menghadapi Sukan Olimpik yang akan berlangsung beberapa bulan lagi.

“Sekarang ini apa yang lebih penting ialah bagaimana untuk kita semua (jurulatih dan pemain) mencari metodologi terbaik bagi menghadapi Sukan Olimpik di Beijing,” kata Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Nadzmi Mohd. Salleh.

Kelmarin barisan lelaki negara terlepas peluang mara ke perlawanan akhir Piala Thomas apabila tewas 2-3 kepada China dalam pertarungan separuh akhir.

Biarpun suatu ketika tiket perlawanan akhir seakan-akan hampir berada dalam genggaman, namun mereka terpaksa menelan hakikat bahawa juara bertahan itu lebih berhak melangkah ke pentas akhir.

Sebelum itu, skuad wanita menutup kempen mereka lebih awal apabila disingkirkan pada peringkat suku akhir selepas tewas 1-3 kepada Korea Selatan.

Namun kegagalan skuad lelaki lebih dirasai kerana kepada mereka diletakkan harapan yang cukup tinggi untuk membawa pulang Piala Thomas ke tanah air selepas kali terakhir muncul juara pada edisi 1992 di Kuala Lumpur.

Biarpun skuad lelaki dianggap berjaya mencapai sasaran mereka dengan sekurang-kurangnya menempatkan diri ke peringkat separuh akhir, namun masih ada beberapa perkara yang harus diselesaikan segera oleh barisan kejurulatihan negara sebelum bermulanya temasya Olimpik.

Sebagai contoh, prestasi tidak menentu beregu harapan negara, Koo Kien Keat-Tan Boong Heong.

Mereka menjadi taruhan terbaik negara untuk meraih pingat emas pada Sukan Olimpik di Beijing, namun prestasi ala yo-yo yang ditampilkan oleh beregu emas negara itu sejak kebelakangan ini pasti mencetuskan kegelisahan ramai pihak.

Hakikat itu turut diakui jurulatih beregu negara, Rexy Mainaky yang menegaskan anak buahnya itu perlu berubah sekiranya berhajat meraih pingat pada temasya di Beijing nanti.

“Mereka harus berubah sikap. Jika perkara ini berterusan, bagaimana mereka mampu menampilkan permainan terbaik.

“Saya juga sentiasa mengingatkan mereka agar tidak terlalu besar kepala dan menasihatkan mereka sentiasa mengekalkan prestasi sebelum Sukan Olimpik.

“Itu sebabnya, saya perlu duduk semeja dengan mereka dan berbincang dari hati ke hati. Saya masih percaya mereka ini masih merupakan antara beregu terbaik dunia,” kata Rexy yang berpasangan dengan Ricky Subagja untuk memenangi pingat emas acara beregu lelaki pada Sukan Olimpik 1996 di Atlanta.

Berdasarkan ranking terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Antarabangsa (BWF), Kien Keat-Boon Heong kini merupakan beregu No. 5 dunia.

Selain mereka, pasangan veteran, Choong Tan Fook-Lee Wan Wah yang berada pada ranking keempat dunia serta beregu muda, Mohd. Zakry Abdul Latif-Mohd. Fairuzzizuan Tazari (13) turut layak secara merit untuk beraksi pada Sukan Olimpik.

Bagaimanapun BAM dijangka membuat keputusan sebelum hujung bulan ini bagi memutuskan dua beregu negara yang akan beraksi di Beijing nanti.


PRESTASI Kien Keat (kiri) dan Boon Heong mencetuskan kebimbangan BAM.

Dalam acara perseorangan lelaki, Malaysia pasti menyandarkan harapan kepada pemain No. 2 dunia, Lee Chong Wei selain pemenang pingat emas Sukan Komanwel 1998, Wong Choong Hann (13).

“Jika dilihat prestasi terkini, adalah tidak mustahil bagi Chong Wei menghadiahkan sesuatu buat Malaysia pada Sukan Olimpik nanti.

“Saya lihat, permainannya juga sudah banyak meningkat dan dia akan menjadi aset Malaysia untuk menyumbang pingat di Beijing,” kata ketua jurulatih skuad badminton negara, Yap Kim Hock.

Ketika tumpuan lebih terarah kepada pemain lelaki, ratu badminton negara, Wong Mew Choo serta beregu No. 10 dunia, Wong Pei Tty-Chin Eei Hui turut menggalas cabaran negara di Beijing.

Walaupun pemain wanita negara tidak diletakkan harapan untuk meraih pingat di Beijing, namun keupayaan Mew Choo khususnya tidak harus diperkecilkan.

Andai kejayaan Mew Choo menjuarai Terbuka China tahun lalu dijadikan ukuran, pemain kelahiran Ipoh, Perak itu dilihat masih mempunyai peluang membawa pulang pingat Sukan Olimpik ke tanah air.

Dalam laluannya menjuarai Terbuka China tahun lalu, Mew Choo berjaya menyingkirkan tiga pemain utama China, bermula dengan Zhu Lin diikuti Zhang Ning, ratu badminton negara itu berjaya menundukkan pemain No. 1 dunia, Xie Xingfang pada perlawanan akhir.

“Kejayaan muncul juara Terbuka China tahun lalu merupakan satu detik yang cukup manis dalam karier saya. Bukan mudah untuk menang di China, lebih-lebih lagi bergelar juara.

“Kini saya sudah bersedia bagi menghadapi Sukan Olimpik dan saya hanya berharap dapat mempamerkan aksi yang sama ketika menjuarai Terbuka China,” kata Mew Choo yang muncul pemain kedua bukan kalangan pemain China yang menjuarai Terbuka China.

Untuk rekod, bekas jaguh badminton negara, Razif-Jailani Sidek merupakan pemenang pingat pertama Sukan Olimpik selepas mereka meraih gangsa pada temasya 1992 di Barcelona.

Empat tahun kemudian di Atlanta, Kim Hock-Cheah Soon Kit berjaya meraih pingat perak sementara Rashid Sidek menyumbang pingat gangsa.

Apa yang pasti, perlu ada langkah segera untuk mengatasi kelemahan yang dikenal pasti pada kempen Piala Thomas ini kerana jika tidak, ia akan berterusan.

Hasilnya, impian untuk melakar sejarah pada Sukan Olimpik tidak akan kesampaian.

Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: