Gempa Mungkin Dapat ‘Selamatkan’ Sukan Olimpik Beijing

BEIJING 24 Mei – Gempa bumi yang melanda China pada 12 Mei lalu, mungkin dapat menyelamatkan sukan Olimpik Beijing daripada kecaman hebat pelbagai pihak termasuk berhubung krisis Tibet.

Beberapa minggu sebelum itu, Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Jacques Rogge menggambarkan kejohanan itu sedang berhadapan dengan krisis berikutan protes yang dilakukan oleh kumpulan pro-Tibet, keadaan kesihatan akibat pencemaran yang berlaku di Beijing serta tindakan boikot berikutan langkah China menyokong Sudan.

“Saya meminta maaf kerana mengeluarkan kenyataan ini, tetapi kejadian gempa bumi yang berlaku pada 12 Mei lalu telah mengubah segalanya,” kata seorang anggota pengarah IOC dan pengarah pemasaran, Gerhard Heiberg.

Selepas tragedi yang berlaku di wilayah Sichuan itu, kejohanan ini dilihat sedang menuju ke arah yang lebih positif, sesuatu yang gagal dilakukan oleh agensi propaganda kerajaan sejak beberapa bulan lalu.

Bagaimanapun masih terdapat 11 minggu lagi sebelum kejohanan itu bermula pada 8 Ogos ini dan sebarang kejadian yang tidak disangka mampu mengubah keadaan.

Keadaan politik masih agak kelam dan mungkin beberapa atlet akan menggunakan kejohanan ini untuk membangkitkan beberapa isu politik semasa seperti isu di Darfur, Sudan dan Tibet.

“Akibat tragedi ini, ia telah mengubah laporan media mengenai persediaan Olimpik.

“Media kini menumpukan kepada tragedi kemanusiaan yang berlaku di Sichuan dan akan ada ruang untuk cerita dan laporan lain,” kata seorang penyelidik dari Human Right Watch yang beroperasi di Hong Kong, Phelim Kine.

Stadium utama kejohanan olimpik yang dikenali sebagai “Stadium Sarang Burung” kini digunakan sebagai kawasan pembahagian bantuan kepada mangsa gempa bumi.

Media negara ini yang dikawal kerajaan mula dilihat melaporkan berita dengan lebih bebas berhubung gempa bumi yang telah meragut 55,000 nyawa, malah kerajaan tidak lagi menapis maklumat mengenai bencana itu melalui internet dan perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) secara ketat.

– AP

Langkah kerajaan China itu turut mendapat pujian dari masyarakat antarabangsa.

Bagi mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh penduduk terutama di wilayah Sichuan, pemenang pingat emas Olimpik bagi acara terjun dan ping pong, Gao Ming dan Deng Yaping yang turut mendapat latihan dalam bidang psikologi, telah melawat mereka yang dirawat di hospital serta kem kanak-kanak yang menjadi yatim piatu akibat bencana itu.

“Kami tidak nampak bahawa kami dipinggirkan oleh kerajaan dan kejadian gempa bumi ini merupakan sesuatu yang dahsyat dan tidak boleh dijangka,” kata jurucakap Kempen Pembebasan Tibet, Matt Whitticase.

Sementara itu, pegawai IOC mengadakan pertemuan minggu ini bagi percambahan idea tentang kemungkinan satu majlis memperingati kejadian gempa bumi itu akan diadakan sempena majlis perasmian sukan itu nanti.

Langkah serupa pernah diadakan pada Sukan Olimpik 2002 di Salt City Amerika Syarikat apabila bendera Pusat Dagangan Dunia ditayangkan bagi mengingati mereka yang terkorban dalam kejadian rempuhan dua pesawat di bangunan itu pada 9, September 2001.

“Bagaimanapun majlis memperingati ini perlu mendapat persetujuan IOC dan pihak penganjur kerana protokol untuk majlis sebegini selalunya diadakan dalam keadaan formal dan rigid,” kata Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Koordinasi IOC, Kevan Gosper. – AP

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: