Permulaan Baik Atlet Negara Ke Olimpik Beijing

Oleh HAMDAN AHMAD

TIDAK sampai dua bulan dari sekarang akan berlangsungnya Sukan Olimpik Beijing 2008 – sukan berprestij dunia di mana akan berkumpulnya lebih daripada 10,000 orang atlet seluruh dunia bagi mempamerkan kehebatan masing-masing bagi memenangi pingat yang disediakan oleh pihak penganjur.

Kemenangan pingat tidak kira warna di Olimpik Beijing nanti merupakan kemuncak kepada persiapan rapi segala bentuk latihan dan program yang telah disusun dan dilalui oleh para atlet negara.

Atlet yang terpilih mewakili negara boleh dianggap bertuah dan sudah tentu akan cuba sedaya upaya menunjukkan keupayaan masing-masing ketika beraksi di Beijing bulan Ogos ini.

Mereka bertuah untuk ke Olimpik mewakili negara bukan kerana dipilih secara pilih kasih tetapi berdasarkan prestasi yang telah ditunjukkan ketika sesi kelayakan dijalankan seperti mana yang ditetapkan oleh Majlis Sukan Olimpik.

Mewakili negara dianggap sudah cukup bagus, lebih-lebih lagi apabila memenangi pingat kelak – maklum sahaja para atlet dunia yang akan bertanding di Beijing bukan calang-calang atlet.

Para atlet yang mewakili negara sebenarnya membawa misi penting iaitu membawa bendera dan juga maruah negara secara tidak langsung. Itu yang harus mereka buktikan kepada rakyat dan negara ini.

Seperti juga para atlet negara lain, atlet Malaysia turut membuat persiapan awal sejak beberapa bulan lalu bagi menghadapi Olimpik Beijing. Antara atlet negara yang akan ke Beijing nanti terdiri daripada para atlet renang dan terjun papan anjal, pemanah, pemain badminton, pelompat tinggi bergalah wanita dan juga beberapa orang pelumba basikal.

Dari apa yang dipaparkan dalam akhbar, gandingan trio pemanah negara, pemain perseorangan badminton negara – Lee Chong Wei dan gandingan pelumba basikal negara setakat ini telah menunjukkan prestasi amat memberangsangkan sebelum Olimpik Beijing bermula.

Ini suatu petanda baik bahawa para atlet kita mempunyai peluang cerah untuk meraih pingat ketika beraksi di Beijing nanti.

Gandingan trio pemanah negara yang terdiri daripada Mohd Marbawi Sulaiman, Cheng Chu Sian dan Wan Khalmizam Wan Abdul Aziz telah mendapat pingat perak di Kejohanan Memanah Dunia yang berlangsung di Antalya, Turki beberapa minggu lalu dengan mengalahkan beberapa pasukan handalan termasuk Belanda, Turki dan China.

Ia merupakan pingat pertama yang pernah dimenangi oleh pasukan pemanah negara di kejohanan peringkat dunia. Prestasi gandingan pemanah Chu Sian, Marbawi dan Khalmizam telah meningkat sejak kebelakangan ini berdasarkan kebolehan mereka memenangi pingat perak dalam acara ujian Olimpik di Beijing dan juga di Kejohanan Asia, Xian, China tahun lepas. Pencapaian tersebut telah meletak mereka dalam kelompok sepuluh terbaik dunia.

Begitu juga dengan prestasi Lee Chong Wei yang kini dilihat berada di tahap terbaik – tidak pernah kalah ketika Kejohanan Piala Thomas berlangsung di Indonesia, juara Terbuka Malaysia 2008 dan yang terbaru memenangi Terbuka Aviva Singapura 2008 baru-baru ini.

Di samping itu, pelumba trek muda negara, Azizulhasni Awang turut memberi harapan besar kepada kontinjen Olimpik Malaysia apabila menewaskan pelumba Olimpik Australia untuk muncul juara acara keirin pada satu perlumbaan ujian di Vodafone Arena Melbourne, Australia baru-baru ini.

Antara yang menjadi mangsa Azizulhasni adalah pemenang pingat emas keirin Sukan Olimpik Athens 2004, Ryan Bayley disamping dua pelumba berpengalaman Australia, Shane Kelly dan Mark French.

Azizulhasni turut membantu pasukan negara menjuarai acara Olimpik berpasukan (team sprint) berpasangan dengan Josiah Ng dan Mohd Rizal Tisin. Gandingan trio negara menewaskan gandingan French, Bayley dan Daniel Ellis.

Selain itu, Azizulhasni juga berjaya menduduki tempat ketiga acara 200 meter pecut di belakang dua pelumba Australia, Bayley (juara Olimpik 2004) dan French.

Diharapkan prestasi baik yang ditunjukkan oleh Lee Chong Wei, gandingan pemanah trio – Marbawi, Chu Sian, Wan Khalmizam dan pelumba trek berbasikal – Azizulhasni dan rakan lain dapat dikekalkan dan ditingkatkan sebelum menjelang Olimpik Beijing kurang dua bulan dari sekarang.

Kesemua atlet yang akan ke Beijing perlu memastikan tahap kesihatan dan psikologi mereka berada di tahap terbaik dan cuba mengelakkan daripada sebarang kemalangan menimpa diri.

Untuk tempoh yang dianggap kritikal sebelum Olimpik bermula, pegawai yang mengendalikan semua atlet di bawah jagaan mereka perlu memastikan yang para atlet tidak menghadapi sebarang masalah peribadi dan keluarga kerana ini boleh menjejaskan tumpuan mereka ketika bertanding di Beijing nanti.

Kita hendak melihat para atlet negara berada di tahap terbaik ketika di Beijing. ‘Perang besar’ para atlet lebih kepada mengatasi kebimbangan diri dan mewujudkan keyakinan pada diri atlet itu sendiri daripada faktor-faktor yang lain.

Oleh yang demikian, kita penuh percaya dan berharapan besar bahawa prestasi awalan yang ditunjukkan oleh gandingan trio pemanah, pemain perseorangan badminton dan juga pelumba trek basikal dapat membawa pingat yang kita semua harapkan selama ini.

Prestasi awalan yang amat memberangsangkan ditunjukkan oleh mereka juga diharap dapat menjadi pendorong kuat kepada para atlet Olimpik lain untuk turut serta beraksi cemerlang di Beijing nanti.

Prestasi ini merupakan suatu permulaan yang baik dan diharap ia akan menjadi kenyataan dalam usaha untuk memungut pingat Olimpik. Diharap permulaan yang baik ini akan berterusan dan akan menjadi katalis buat atlet negara mempamerkan aksi hebat dan meyakinkan ketika beraksi di Beijing nanti.

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: