China Hampiri Olimpik 2008

OLEH NORZIE MOHD. KHASBI


STADIUM Nasional atau ‘sarang burung’ yang menjadi lokasi utama acara sudah bersedia.

HANYA 34 hari dari sekarang, Beijing bakal mempersembahkan aksi sukan bertaraf dunia, yang berlangsung di gelanggang berteknologi tinggi dengan seni bina yang menakjubkan apabila Sukan Olimpik 2008 membuka tirai pada 8 hingga 24 Ogos ini.

Walaupun pada awalnya berdepan pelbagai ancaman, kemungkinan diboikot kerana protes kemanusiaan Tibet, selain berdepan isu alam sekitar, China berjaya mengatasi segala ujian dan bersedia merealisasikan Beijing sebagai “temasya terbaik dalam sejarah Olimpik”.

China bukan saja tidak sabar untuk mempertontonkan kepada dunia kehebatan mereka membina gelanggang berteknologi tinggi yang dihalusi seni bina indah, malah atlet mereka memasang sasaran untuk menyingkirkan Amerika Syarikat sebagai kuasa sukan dunia.

Pada Sukan Olimpik terakhir di Athens 2004, negara itu menduduki tempat kedua pungutan pingat di belakang Amerika selepas mengutip 32 emas, 17 perak dan 14 gangsa.

Bagaimanapun kali ini, mereka menggandakan kekuatan dengan menampilkan hampir 600 atlet yang kesemuanya diberikan persiapan intensif paling maksimum untuk menjadikan China sebagai kuasa sukan dunia yang baru.

Peluang untuk menumbangkan AS amat realistik kerana China juga sudah meningkat dalam acara ‘reben biru’ yang sebelum ini dikuasai Amerika seperti olahraga dan renang.

Ia adalah satu kelebihan buat tuan rumah pada ketika Amerika pula masih gagal untuk menguasai acara yang didominasi China seperti pingpong, badminton, gimnastik atau terjun.

Malah, China juga sudah berani memasang sasaran untuk meraih emas dalam sukan yang selama ini dianggap berprofil rendah di negara itu, iaitu kenu, renang berirama, tinju dan bola tampar pantai.

Selain boleh mengharapkan deretan rekod dunia dan Olimpik dipecahkan sepanjang temasya, para pengunjung di Beijing juga pasti akan dipukau dengan gabungan teknologi dan seni bina gelanggang yang mungkin menjangkaui imaginasi mereka.

Tumpuan utama pastinya kepada Stadium Nasional atau digelar ‘sarang burung’ kerana reka bentuknya yang menyerupai sarang burung dan akan menjadi gelanggang olahraga, bola sepak, upacara pembukaan serta upacara penutup.

Menelan kos AS$500.2 juta (RM1.6 bilion), stadium yang memiliki kapasiti 91,000 itu adalah gelanggang terakhir disiapkan tetapi yang terbaik di kalangan 12 gelanggang yang baru dibina. Keseluruhannya 37 gelanggang akan digunakan, namun 11 daripadanya hanya dinaik taraf.

Gelanggang yang dibentuk daripada kerangka kelui itu menggunakan teknologi simulasi komputer, di mana semua operasi boleh dikawal secara serentak, dan dengan tepat.

Selain ‘sarang burung’ , stadium akuatik atau ‘kiub air’ juga bakal menerbitkan rasa kagum pengunjung, dengan strukturnya yang indah di dalam dan di luar, pada siang atau malam hari.

Bakal menjadi gelanggang acara renang, terjun dan renang berirama, ‘kiub air’ yang sekali imbas seperti buih-buih berwarna biru mengambil masa empat tahun untuk dibina.

Struktur bangunan dibina daripada teknologi ethylene tetrafluoroethylene atau ringkasnya ETFE, iaitu sejenis bahan ringan yang biasa digunakan dalam pembuatan plastik, sekali gus menjadikan projek pembinaan stadium tersebut sebagai yang paling sukar dan rumit di dunia.

Kehangatan Olimpik Beijing juga semakin dirasai apabila penganjur pada minggu lalu secara rasmi menerima 3,000 pingat emas, perak dan gangsa yang akan ditawarkan sepanjang temasya.

Sebanyak 302 acara daripada 28 jenis sukan dipertandingkan, lebih satu acara berbanding Sukan Olimpik di Athens.

Temasya Beijing juga bakal dimeriahkan dengan kehadiran pembesar dunia yang sudah mengesahkan kehadiran seperti Presiden AS George W. Bush, Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd, Perdana Menteri Jepun, Yasuo Fukuda, Perdana Menteri Finland, Matti Vanhanen dan Raja Norodom Sihamoni dari Kemboja.

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: