Ibarat Melepas Batuk Di Tangga

Oleh MUSTAPA LAKAWA mustapa@kosmo.com.my

ROBANI terlepas peluang untuk melepasi had kelayakan Sukan Olimpik dalam acara 110m lari berpagar.

BERAKHIRNYA Kejohanan Olahraga Pra-Olimpik Kebangsaan kelmarin bermakna berakhirlah sudah impian Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) untuk melihat pertambahan atlet ke Sukan Olimpik di Beijing, Ogos ini.

Hakikat kegagalan itu perlu diterima, walaupun ada sinar baru yang hadir menerusi kejayaan jaguh 110 meter lari berpagar, Mohd. Robani Hassan.

Robani berjaya mencatat rekod baru kejohanan dengan catatan 13.85 saat, iaitu lebih 0.13s daripada had kelayakan Sukan Olimpik bagi kategori B.

Namun, dengan tarikh turut penyertaan ke Sukan Olimpik hanya berbaki 15 hari, alternatif segera KOAM iaitu menghantar Robani beraksi di luar negara juga seakan-akan sudah terlambat.

“Kita masih mempunyai masa kerana tarikh tutup penyertaan bagi acara olahraga ke Sukan Olimpik adalah pada 23 Julai ini,” jelas Timbalan Presiden KOAM, Karim Ibrahim.

Sementara itu, harapan yang diberikan kepada jaguh muda dari Sabah, Rayzam Shah Wan Sofian pula tidak kesampaian apabila pemenang pingat emas Sukan SEA 2007 itu gagal menamatkan larian gara-gara masalah teknikal.

Pertaruhan lain seperti Zaiful Zainal Abidin, Mohd. Zafril Zuslaini, Mohd. Noor Imran, Amran Raj dan Noraseela Khalid juga turut gagal.

Kini, KOAM khasnya dan Malaysia amnya terpaksa menyandarkan harapan kepada tiga wakilnya, Roslinda Samsu (lompat bergalah), Yuan Yufang (jalan kaki) dan Lee Hup Wei (lompat tinggi) yang telah pun mengesahkan tempat ke sukan berprestij itu Ogos ini.

Begitupun, penganjuran kejohanan selama dua hari di Stadium Nasional Bukit Jalil itu seperti menampakkan kecelaruan terutamanya melibatkan aspek penyertaan atlet.

Walaupun diperhebatkan dengan kehadiran atlet luar seperti dari Botswana, Thailand, Singapura, Taiwan, India dan Brunei, namun penyertaan daripada kalangan persatuan negeri cukup mengecewakan.

Bukti paling jelas dapat dilihat apabila ada acara yang hanya menampilkan dua penyertaan termasuklah dalam acara tumpuan seperti 4x100m.

Situasi itu sekali gus menjadikan kejohanan Pra-Olimpik anjuran KOAM ini sebagai kejohanan yang kurang kompetitif terutamanya yang melibatkan pemburuan tiket ke Sukan Olimpik.

“Saya sangat terkilan kerana kejohanan yang menjadi medan untuk layak ke Olimpik ini tidak cukup kompetitif. Tiada saingan separuh akhir, turun saja terus beraksi ke final,” jelas Robani yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA 2005 di Manila.

Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: