Masalah Jerebu Di Beijing


SEJUMLAH orang berjalan di sebuah jambatan untuk melihat Stadium National yang diselubungi jerebu di Beijing semalam.

ATLET-ATLET yang bertanding dalam Sukan Olimpik Beijing, China kini berdepan cabaran baru apabila bandar raya berkenaan diselubungi jerebu semalam, 11 hari sebelum temasya bermula.

Jurulatih pasukan bola sepak Belanda, Foppe De Haan berkata, pencemaran udara yang berlaku di China itu mencetuskan isu mental kepada atlet-atlet.

De Haan memberitahu satu sidang akhbar bahawa pemain-pemain beliau sudah menjalani latihan rapi untuk mendapatkan keadaan fizikal terbaik bagi menangani cuaca panas lembap.

Bagaimanapun, katanya, tiada apa yang dapat dilakukan untuk menyediakan diri mereka dalam menghadapi cabaran psikologi bermain di padang yang diselubungi jerebu tebal.

“Masalah jerebu bukan masalah fizikal, ia berkaitan dengan mental,” kata De Haan.

“Pada hari ini (semalam) saya mendengar bahawa anda tidak dapat melihat Stadium Beijing dari jarak 500 meter.

“Saya berpendapat ia teruk, tetapi tiada guna mengadu kerana ia sama untuk setiap atlet,” tambahnya.

Jurulatih berkenaan, yang membawa pasukannya menyertai kejohanan pemanas badan di Hong Kong diberikan amaran berhubung masalah yang bakal menanti mereka.

Beliau mengarahkan semua pemainnya menjalani latihan ketat selama sebulan termasuk duduk di dalam bilik panas lembap mirip keadaan cuaca di Beijing.

Menurutnya, dua pemain yang sebelum ini tidak menghadapi sebarang masalah asma mula menunjukkan simptom-simptom penyakit tersebut.

De Haan berkata, dua pemain yang tidak didedahkan nama mereka itu sudah melaporkan keadaan kesihatan mereka kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) sekiranya mereka perlu mengambil sebarang ubat ketika Sukan Olimpik berlangsung.

Dalam satu kenyataan, IOC menyatakan pihaknya mungkin menjadualkan semula acara-acara yang memerlukan daya ketahanan bagi mengelakkan risiko kesihatan kepada atlet jika pencemaran masih buruk.

Beijing pula menerima satu lagi tamparan semalam apabila Jawatankuasa Olimpik Australia (AOC) mengumumkan atlet negara itu dibenarkan menarik diri jika ancaman pencemaran udara berterusan.

Sehingga kini, ramai atlet menangguhkan ketibaan mereka di Beijing sehingga minit-minit terakhir untuk mengelakkan daripada menghirup udara tercemar.

Pemegang rekod dunia cara marathon, Haile Gebrselassie mengambil tindakan lebih drastik apabila menarik diri daripada acara berkenaan kerana bimbang kesihatannya terjejas.

Pegawai-pegawai Dewan Bandar Raya Beijing sebelum ini memberitahu, masalah jerebu yang melanda berpunca daripada keadaan cuaca panas lembap dan bukan pencemaran.


SEORANG pelawat merakamkan gambar Kota Larangan yang diliputi jerebu di Beijing semalam.

Selama empat hari sehingga semalam, penduduk bandar raya itu masih belum menyaksikan langit cerah walaupun indeks pencemaran, menurut bacaan nasional, menunjukkan kualiti udara baik.

Hong Kong yang menjadi tuan rumah sukan berkuda turut mengalami pencemaran udara semalam selepas seminggu mengalami cuaca cerah.

Seorang pegawai Biro Perlindungan Alam Sekitar Beijing, Li Xin memberitahu sebuah akhbar tempatan bahawa satu pelan kecemasan pencemaran akan diumumkan pada minggu ini.

Menurut beliau, kawalan ketat ke atas kenderaan dan kilang akan turut diperluaskan ke wilayah Hebei dan bandar pelabuhan Tianjin yang berjiran dengan Beijing.

Setakat ini, Beijing sudah mengambil beberapa langkah drastik bertujuan mengurangkan tahap pencemaran udara menjelang pembukaan Sukan Olimpik pada 8 Ogos ini. Ia melibatkan larangan penggunaan jalan raya melibatkan sebahagian besar daripada 3.3 juta kenderaan di ibu kota tersebut selain menghentikan kerja-kerja pembinaan dan operasi kilang.

Namun, seorang profesor di Universiti Peking yang juga penasihat kepada penganjur Sukan Olimpik, Zhu Tong berkata, keadaan cuaca panas lembap tanpa tiupan angin menyebabkan jerebu terperangkap. – Agensi

Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: