Empat Sukan Suntik Semangat Atlet Beijing

Oleh HAMDAN AHMAD

TIDAK sampai dua minggu lagi, 33 atlet negara akan beraksi di Sukan Olimpik Beijing setelah membuat persiapan rapi dan menjalani latihan serius beberapa bulan sebelumnya.

Dikatakan semangat para atlet kita yang akan ke Beijing adalah tinggi dan dijangkakan ada di kalangan atlet mampu mempamerkan prestasi terbaik dan meraih pingat yang disediakan oleh penganjur.

Bak kata Misbun Sidek, prestasi yang akan ditunjukkan oleh seseorang atlet bergantung pada mood atlet terbabit pada hari ia bertarung. Pendapat Misbun mungkin ada benarnya kerana beliau sendiri telah pernah mengalami situasi tersebut.

Apabila pemain atau atlet tiada mood atau moodnya turun naik, sudah tentu boleh menjejaskan rentak permainan pemain berkenaan. Tidak ramai pemain atau atlet mampu menaikkan kembali moodnya jika dirinya berada dalam keadaan tidak terkawal.

Jika atlet dapat mengekalkan moodnya dalam keadaan baik dan terkawal, ini memberikan kelebihan bermain dengan tenang dan boleh menaruh harapan untuk memenangi perlawanan yang dihadapinya. Secara ringkas, akhirnya pemainlah yang dipertanggungjawabkan sama ada ia mampu keluar juara atau sebaliknya.

Ada kalanya atlet memerlukan suntikan tambahan sebelum Olimpik bermula. Suntikan ini bukan datang dari diri atlet sendiri tetapi suntikan semangat dan perangsang oleh atlet lain yang tidak beraksi di Olimpik Beijing juga.

Tempoh tidak sampai dua minggu sebelum Olimpik Beijing bermula dilihat suatu tempoh kritikal, lebih-lebih lagi ketika pertandingan menjelang. Perasaan bimbang, tidak yakin dan perasaan lain bercampur baur akan bermain di kepala atlet yang akan ke Beijing.

Apa yang atlet perlu lakukan mulai hari ini hingga ke hari pertandingan ialah mengawal perasaan bimbang dan menggantikannya dengan perasaan tenang.

Ketenangan boleh datang dari dalam diri atlet sendiri dan dari sumber pelbagai. Antaranya apabila menerima berita gembira dari rakan-rakan dan keluarga dan lebih-lebih lagi berita kejayaan atlet negara yang tidak beraksi di Beijing.

Baru-baru ini peminat sukan tanah air disajikan dengan empat kejayaan besar oleh ahli sukan negara dalam pertandingan sukan bertaraf dunia. Keempat-empat sukan yang dimaksudkan ialah kejayaan Datuk Nichol Davids (kali keempat juara) dan Ong Beng Hee menjuarai Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia kategori wanita dan lelaki; Ong Beng Leong di Kejohanan Golf Masters Mercedes-Benz; pasukan Formula Future mempertahankan gelaran juara dunia di Kejohanan Formula Future Dunia di Ravenna, Itali; pasukan boling negara dan Aaron Kong memenangi Kejohanan Boling Belia Dunia di Orlando, Amerika Syarikat.

Pencapaian tersebut merupakan suatu kejayaan besar yang amat memberangsangkan buat ahli sukan negara walau pun mereka tidak berkesempatan beraksi di Olimpik Beijing kerana kesemua sukan itu masih belum tersenarai untuk dipertandingkan.

Sungguh pun begitu berita gembira kejayaan besar para atlet negara ini dijangka dapat memberi suntikan semangat baru kepada 33 atlet negara yang akan beraksi di Olimpik Beijing bulan Ogos ini.

Kejayaan mereka sedikit sebanyak mampu menyuntik semangat baru kepada para atlet Beijing ini berdasarkan kebolehan mereka mengalahkan atlet dari negara lain.

Sebagai contoh pasukan Formula Future negara berjaya mengenepikan cabaran enam negara dari Eropah seperti Jerman, Itali, Slovakia, Great Britain, Rusia dan Republik Czech.

Lebih menarik lagi mereka mampu mengalahkan pencabarnya di kejohanan yang diadakan di luar negara. Begitu juga dengan para pemain boling negara yang beraksi di Orlando, Amerika Syarikat.

Kejayaan yang dicapai oleh para atlet keempat-empat sukan di atas dianggap kena pada masanya dalam konteks memberi rangsangan dan motivasi yang amat diperlukan oleh para atlet Olimpik kita. Diharapkan para atlet yang akan beraksi di Beijing nanti mampu meraih sesuatu kejayaan serta membuat kejutan ketika beraksi di sana.

Kita juga percaya semangat dan motivasi tinggi dapat memberikan kelebihan pada para atlet kita untuk beraksi cemerlang di Beijing nanti. Sudah sampai masanya para atlet negara membuktikan akan kebolehan mereka dan berharap harapan negara tidak dihampakan sama sekali.

Kehadiran para atlet di Beijing membawa amanat penting rakyat dan negara dalam meraih kejayaan yang selama ini kita impikan dalam usaha mendapatkan pingat emas pertama negara. Ia merupakan suatu misi penting untuk para atlet negara ketika berada di Beijing nanti.

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: