Dana Tidak Hiraukan Ketegangan Untuk Beijing

BAGHDAD – Pelari pecut wanita Iraq, Dana Hussein memerlukan lebih daripada keazaman sukan untuk ke Olimpik Beijing.

Dia terpaksa mengharungi serangan bom, pertelagahan puak juga penembak curi.

Minggu ini pelari 100m dan 200m itu akan menjadi pelari pecut wanita ketiga Iraq yang beraksi di Olimpik selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menarik balik penggantungan negara itu daripada menyertai Olimpik.

Keputusan IOC itu membolehkan Dana dan empat rakan sepasukannya beraksi di ibu negara China itu.

“Sukan Olimpik amat cantik dan ini kali pertama saya boleh menyertainya,” katanya dalam keadaan bimbang tetapi gembira kepada AFP di padang Universiti Baghdad, tempat di mana dia nyaris terkena tembakan oleh penembak curi

“Saya ditembak di sini oleh penembak curi dan nyaris maut kerananya, syukur kepada tuhan, ketika kejadian saya sedang menjalani latihan,” katanya.

Menurut atlet berusia 21 tahun itu, dia mula berlatih di padang di situ sejak empat tahun lalu.

Yousif Abdel-Rahman, jurulatih Dana berusia 46 tahun dan bekas juara 400m kebangsaan, berkata walaupun anak didiknya itu terselamat dalam kejadian tersebut, keganasan berlaku di seluruh Iraq sejak penaklukan oleh Amerika Syarikat pada 2003.

Namun suasana itu menyebabkan Dana lebih berani.

“Terdapat banyak cubaan membunuh di sepanjang jalan kami pulang ke rumah seperti letupan bom,” kata Abdel-Rahman yang setiap hari menemani Dana ke kawasan perumahan kelas pertengahan di Baghdad, Al-Saydiyah selepas latihan.

“Kerap kali ketika kami memandu untuk pulang, kami diekori oleh kumpulan bersenjata yang menembak ke arah kami.

”Kesungguhan beliau yang menyebabkan saya terus melatihnya. Dia seorang gadis yang sangat berani,” katanya.

Keganasan di Iraq sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan penduduk apabila lebih 10,000 orang terkorban akibat serangan dan pertelagahan di antara puak Syiah dan Sunah sejak penaklukan Amerika lima tahun lalu.

Bagi Dana dari puak Syiah dan Abdel-Rahman dari puak Sunah, mereka amat berharap sukan dapat menghalang pertelagahan puak.

“Menyertai Olimpik membawa banyak makna pada saya kerana saya mewakili negara saya, bukan sahaja diri saya,” kata Dana.

Walaupun ada atlet Olimpik lain yang berdepan cabaran sama seperti yang dilalui Dana, sebenarnya politik dan bukannya keganasan hampir membunuh peluang Dana bertanding di Olimpik.

Jun lalu IOC telah menggantung penyertaan Iraq kerana ‘campur tangan politik’ dalam Jawatankuasa Olimpik negara itu.

Ahli jawatankuasa tersebut disingkir pada Mei lalu dan diganti oleh anggota panel baru yang diterajui oleh Menteri Belia dan Sukan, Jassem Jaafar.

IOC berkata jawatankuasa tersebut tidak cukup korum dan tidak mengadakan pemilihan dalam tempoh lebih lima tahun.

Keputusan itu menyebabkan Dana dan rakan sepasukan tidak dapat menyertai sukan Olimpik.

Rayuan oleh para pegawai Iraq dalam mesyuarat selama 11 jam dengan IOC akhirnya membolehkan lima atlet negara itu, iaitu dua atlet olahraga, dua pendayung dan seorang pemanah akhirnya berpeluang ke Beijing.

Agak malang bagi atlet angkat berat dan judo apabila gagal menghantar permohonan penyertaan pada tarikh yang ditetapkan.

“Apabila saya mendengar mengenai penyingkiran kami ke Olimpik di televisyen, saya menangis selama dua jam.

“Saya sangat kecewa kerana saya rasa segala yang saya usahakan selama ini, berlatih dalam keadaan sukar sia-sia sahaja.

“Tetapi selepas kami dibenarkan menyertai sukan Olimpik, saya gembira seperti seorang kanak-kanak,” jelas Dana.

Perlumbaan pertama Dana ialah lima tahun lalu dan pantas mencuri tumpuan apabila dia memenangi banyak kejohanan di Arab dan peringkat Asia.

Popularitinya menyebabkan majalah Time menyenaraikan dia sebagai antara 100 atlet yang perlu diberi perhatian di Olimpik walaupun dia berada pada senarai ke-99.

Walaupun harapan pingat jauh dari jangkauannya, dia yakin mampu mengatasi rekod kebangsaan 100m dan 200m.

– AFP

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: