Messi Siap Sertai Argentina Di Beijing

Pemain akan pergi sebaik saja diizin Fifa tanpa menanti hasil rayuan Barcelona

MADRID: Bintang pemain penyerang Barcelona, Lionel Messi, sudah bersedia untuk menyertai rakan-rakannya dari Argentina di Sukan Olimpik Beijing.

Messi juga sudah bertekad untuk membantu Argentina mempertahan pingat emas Olimpik yang dimenangi mereka di Sukan Olimpik Athens, Greece, empat tahun lalu.

Malah, pemain itu menegaskan beliau tidak akan menanti sebarang keputusan rayuan Barcelona untuk menghalangnya daripada tampil di Beijing bagi menggunakan tenaganya dalam pusingan kelayakan Liga Juara-Juara.

Messi berkata: ‘Jika Fifa memutuskan saya kekal dengan Barcelona, saya tidak akan ke mana-mana. Jika saya diberitahu saya boleh pergi, saya akan menyertai skuad nasional dan tidak akan menanti sehingga keputusan rayuan mereka (Barcelona) di bincangkan.’

Kehadiran Messi dalam skuad Argentina dinanti-nantikan setiap peminat, yang mahu pasukan mereka mempertahan pingat emas Athens 2004.

Suatu mesyuarat tergempar Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) diadakan lewat malam kelmarin dan memutuskan bahawa wajib bagi setiap kelab melepaskan pemain berusia bawah 23 tahun untuk menyertai Sukan Olimpik Beijing.

Bagaimanapun, pegawai Barcelona menegaskan kelabnya akan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) jika keputusan tersebut tidak memihak kepada kelab itu.

Dalam masa yang sama, Messi turut melahirkan harapan agar semuanya berjalan dengan licin kerana beliau mahu mewakili Argentina di Olimpik.

‘Saya akan ke Beijing tanpa menanti keputusan rayuan Barcelona kerana saya mungkin tiba lewat untuk bersama rakan-rakan saya… tetapi jika saya berada di Beijing dan pihak CAS mengarahkan supaya saya pulang, saya akan pulang,’ katanya.

Jurulatih Argentina, Sergio Batista, lega dengan keputusan mahkamah CAS itu sambil berkata: ‘Adalah melegakan isu ini dapat diselesaikan dan memihak kepada kami selepas sekian lama berlaku tolak tarik antara kelab dengan negara.’

Tetapi dalam masa yang sama, Barcelona masih berusaha untuk mendapatkan Messi bagi dua perlawanan genting Liga Juara-Juara bulan ini dan akan terus membentangkan kes mereka kepada mahkamah CAS.

Presiden Barcelona, Joan Laporta, menekankan pihaknya tidak mahu isu itu meletakkan Messi pada kedudukan yang berbelah bahagi.

‘Kami menjangka Messi akan menyertai kami ke Amerika Syarikat. Apa yang tidak kami inginkan ialah merosakkan minatnya. Messi akan melakukan apa yang tertakluk dalam peraturan dan tentunya kami ingin beliau melakukan yang terbaik untuk Barcelona,’ kata Laporta.

Messi membuktikan betapa pentingnya beliau untuk Barcelona apabila beliau menyumbatkan hat-trick ketika mengatasi Dundee United dari Scotland 5-1 dalam perlawanan persahabatan Sabtu lalu.

Cyberita

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: