Memburu Emas Di Bumi Beijing

Oleh AZIZUL FAHMI


SKUAD badminton negara bergambar bersama peminat sebelum berlepas ke Beijing malam kelmarin.

MAMPUKAH kontinjen Malaysia meraih pingat emas pertama Sukan Olimpik? Itu persoalan yang terus menjadi tanda tanya di kalangan penggiat serta peminat sukan tanah air menjelang Sukan Olimpik XXIX di Beijing yang akan membuka tirai secara rasminya Jumaat ini.

Sebelum ini, rakyat Malaysia hanya berpuas hati melihat kejayaan skuad badminton meraih satu pingat perak dan dua gangsa pada temasya sukan paling berprestij di dunia itu.

Selepas pasangan adik beradik, Razif/Jailani Sidek meraih pingat gangsa pada temasya 1992 di Barcelona, seorang lagi jaguh dari keluarga Datuk Sidek Abdullah Kamar iaitu Rashid turut menyumbang gangsa pada Olimpik 1996 di Atlanta.

Manakala pingat perak hadir menerusi sumbangan pasangan, Cheah Soon Kit/Yap Kim Hock pada temasya yang sama di Atlanta.

Bagaimanapun selepas kejayaan yang dianggap penuh cemerlang di Atlanta, tiada lagi kejayaan dapat dijelmakan skuad badminton negara pada temasya Olimpik.

Empat tahun lalu ketika berlangsungnya Sukan Olimpik di Athens, skuad badminton negara pulang dengan tangan kosong.

Sekalipun menampilkan tiga pemain perseorangan lelaki, Lee Chong Wei, Wong Choong Hann, Roslin Hashim serta dua beregu lelaki, Choong Tan Fook/Lee Wan Wah dan Chan Chong Ming/Chew Choon Eng selain beregu wanita, Wong Pei Tty/Chin Eei Hui, skuad badminton negara gagal menyumbang pingat.

Kini tumpuan kembali terarah kepada skuad badminton negara yang sekali lagi menjadi taruhan utama dalam misi kontinjen Malaysia meraih emas pertama Sukan Olimpik.


KIEN KEAT (belakang) dan Boon Heong menjadi harapan dalam acara beregu lelaki.

Dengan sekali lagi mempertaruh Chong Wei, Choong Hann, Tan Fook/Wan Wah dan Pei Tty/Eei Hui selain penampilan sulung beregu muda, Koo Kien Keat/ Tan Boon Heong serta perseorangan wanita, Wong Mew Choo, skuad badminton negara dilihat berpeluang melakukan kejutan di bumi Beijing.

Sudah pasti sandaran utama diletakkan di bahu Chong Wei dalam misi kontinjen Malaysia meraih pingat emas pertama Sukan Olimpik.

Dengan reputasi selaku pemain No. 2 dunia, Chong Wei semenangnya menjadi taruhan terbaik kontinjen Malaysia pada temasya kali ini.

Namun Chong Wei sedar bahawa misinya di Beijing bukan satu tugas mudah kerana lawan yang bakal ditentang sudah pasti lebih terarah kepada bintang Ching yang diketuai pemain No. 1 dunia, Lin Dan, Bao Chun Lai (3) dan Chen Jin (4).

“Ketiga-tiga pemain China ini saya anggap sebagai lawan yang harus diberi perhatian walaupun Lin Dan disebut-sebut sebagai pilihan utama meraih pingat emas.

“Selain itu, apa yang merisaukan saya ialah nasib selalunya tidak memihak kepada pemain pilihan pada temasya besar seperti ini,” kata Chong Wei.

Menyedari dia menjadi harapan jutaan peminat Malaysia yang selama ini menantikan kilauan emas Olimpik, Chong Wei hanya dapat menjanjikan penampilan terbaik di Beijing.

“Jadi, saya tidak akan memandang mudah pada setiap pertemuan dan berazam memberi persembahan terbaik dalam setiap perlawanan tanpa mengira siapa lawan saya,” jelas pemain berusia 26 tahun itu.

Berdasarkan prestasi terkini, Chong Wei yang diletakkan sebagai pilihan kedua di belakang musuh ketatnya, Lin Dan dijangka mampu sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir.

Dia mendapat bye pada pusingan pertama sebelum dijadualkan bertemu pemain Singapura, Ronald Susilo pada pusingan kedua.

Jika menang, Chong Wei akan bertemu seorang pemain tidak ternama pada pusingan ketiga sebelum dijadual menentang pilihan keenam, Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia pada aksi suku akhir.

Andai menang, Chong Wei dijangka berdepan sama ada Bao Chunlai, pemain Denmark, Kenneth Jonassen atau pemain Korea Selatan, Lee Hyun Il.

“Misi saya di Beijing akan bermula pada pusingan kedua ketika menentang Ronald Susilo.

“Saya harap dapat meraih kemenangan pada perlawanan pembukaan bagi membakar semangat untuk menghadapi perlawanan seterusnya,” tambah Chong Wei.

Dalam pada itu, undian acara badminton Sukan Olimpik XXIX baru-baru ini seakan-akan tidak memihak kepada seorang lagi perseorangan lelaki negara, Choong Hann.


ROSMAH (kanan) memberi kata-kata semangat kepada pemain badminton negara di Bukit Kiara baru-baru ini.

Juara Sukan Komanwel 1998 itu terpaksa memulakan saingan di Beijing dengan menentang juara bertahan, Taufik Hidayat dari Indonesia pada pusingan kedua.

Sekalipun prestasi Taufik sejak kebelakangan ini dilihat semakin merudum, Choong Hann perlu lebih berwaspada kerana lawannya itu pasti mahu mengekalkan kejuaraannya.

“Ia memang saingan yang sengit. Bagi saya, saya sudah melakukan persediaan terbaik dan saya bersedia untuk berdepan dengan Taufik,” kata Choong Hann yang kini berada pada ranking ke-12 dunia.

“Fokus saya sekarang ialah untuk menang pingat pada Sukan Olimpik. Walaupun persaingan sememangnya sengit tetapi saya tetap berazam untuk meraih pingat di Beijing.”

Sementara itu, ratu badminton negara, Mew Choo yang juga teman wanita kepada Chong Wei, dijangka mudah melepasi pusingan awal.

Cabaran sebenar Mew Choo yang mencipta kejutan menjuarai Terbuka China 2007 ialah apabila dia dijadualkan menentang pemain pilihan ketiga, Lu Lan dari China pada saingan suku akhir.

Jika menang, Mew Choo akan membuat perhitungan dengan pilihan pertama yang juga pemain No. 1 dunia, Xie Xingfang dari China pada aksi separuh akhir.

Bagi acara beregu lelaki, Kien Keat/Boon Heong turut menjadi taruhan terbaik kontinjen Malaysia memburu emas di Beijing.

Kejayaan gemilang yang dilakar dengan muncul juara Seluruh England 2007, pemenang pingat emas Sukan Asia 2006, juara Sukan Komanwel 2006 selain himpunan koleksi gelaran yang lain, beregu emas ini tampak mampu menghadirkan kejutan.

Mereka diramal bertemu beregu No. 1 dunia, Markis Kido/Hendra Setiawan dari Indonesia pada peringkat suku akhir.

Sebelum itu, Kien Keat/Boon Heong perlu mengetepikan cabaran pasangan Jepun, Shiuchi Sakamoto/Shintaro Ikeda.


TEKUN…. Jurulatih beregu negara, Rexy Mainaky (depan) memberi arahan kepada anak buahnya pada sesi latihan baru-baru ini.

Kemampuan beregu veteran negara, Tan Fook/Wan Wah yang juga pilihan keempat juga tidak boleh diperkecilkan.

Mereka akan memulakan saingan menentang gandingan Korea Selatan, Lee Jae Jin/Hwang Ji Man dan jika menang akan bertemu Luluk Hadiyanto/Alven Yulianto Chandra dari Indonesia atau pasangan Jepun, Tadashi Ohtuska dan Keita Masuda untuk merebut slot ke separuh akhir.

Satu-satunya beregu wanita negara, Pei Tty/Ee Hui bakal menerima cabaran sukar sejak pusingan awal kerana terpaksa berhadapan pilihan keempat, Lee Kyung Won dan Lee Hyo Jung dari Korea Selatan.

Dalam pada itu, selaku tuan rumah, China pasti tidak mahu berputih mata dan mahu menyapu bersih lima pingat emas yang ditawarkan dalam acara badminton pada temasya kali ini.

Untuk rekod, belum ada negara yang mampu berbuat demikian sejak acara badminton diperkenalkan pada Olimpik 1992 di Barcelona.

Selaku juara Piala Thomas dan Piala Uber 2008, barisan China semenangnya bakal menjadi igauan buat pemain lawan.

Selepas hanya meraih tiga emas di Athens empat tahun lalu, China berhasrat memperbaiki pencapaian mereka itu dengan menampilkan barisan pemain terbaik dunia.

Sebagai pertaruhan, China meletakkan harapan kepada Lin Dan untuk meraih emas perseorangan lelaki sementara Xie Xingfang menjadi sandaran dalam acara perseorangan wanita.

Emas dalam acara beregu lelaki pula disandarkan kepada Cai Yun/ Fu Haifeng (No. 3 dunia) manakala beregu wanita, Yang Wei/Zhang Jiewen (No. 1 dunia) serta beregu campuran, Zheng Bo/ Gao Lin (No. 2 dunia) memburu emas dalam acara masing-masing.

“Kali ini, China memiliki barisan yang seimbang untuk meraih emas dalam setiap acara,” kata ketua jurulatih badminton China, Li Yongbo.

Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: