Olimpik Beijing Natijah ‘Kerakusan’ Manusia

Oleh Dr Zaini Ujang
zaini@utm.my

Pencemaran di China bukti perancangan, pelestarian perlu disepadu

ETIKA pesawat hampir mendarat di lapangan terbang Beijing, China saya dapat melihat dengan jelas ruang udara berubah daripada cerah menjadi kelam. Semakin hampir mendarat semakin ketara bahawa perubahan itu disebabkan jerebu akibat pencemaran udara yang menyelubungi kota raya Beijing.

Demikian pengalaman saya pada September 2006 ketika menghadiri Kongres Air Sedunia. Secara kebetulan tapak kongres itu berhampiran stadium ‘sangkar burung’ Olimpik. Ketika itu aktiviti pembinaan berjalan rancak menyebabkan ruang udara bukan saja kelam, bahkan kesan debu dan bahan yang boleh mewujudkan pencemaran udara dapat dirasakan ketika bernafas sehingga menjejaskan kesihatan saya sepanjang 10 hari di Beijing.

Pengalaman sedemikian turut dialami ramai peserta kongres lain. Demikian fenomena ekosistem Beijing sehingga apa saja aktiviti bertaraf antarabangsa yang dianjurkan di Beijing sejak beberapa tahun kebelakangan ini akan dikaitkan dengan risiko kesihatan peserta dan pengunjung luar negara. Terkini, temasya Sukan Olimpik bermula hari ini pada tarikh 8.8.08, iaitu satu deretan angka yang diharap membawa tuah menurut kepercayaan numberologis Cina.

Sukan Olimpik Beijing adalah penganjuran temasya terbesar dalam sejarah moden China pada peringkat antarabangsa. Itu sebabnya persediaan dan pemaparan imej diberi keutamaan pemerintah China. Sukan Olimpik bukan saja dijangka dapat memperagakan kehebatan ahli sukan China malah direncana supaya menjadi pentas menyaksikan kemajuan negara itu dalam banyak bidang.

Memang dimaklumi bahawa China mencatatkan kadar pertumbuhan ekonomi konsisten melebihi 10 peratus sejak awal 1990-an. Pertumbuhan sedemikian pesat juga menunjukkan bahawa China dapat menangani kepelbagaian isu sosioekonomi dalam kerangka baru dengan mengadunkan kapitalisme untuk memacu pembangunan ekonomi dengan status quo sistem politik komunisme.

Banyak pihak akur bahawa China berjaya memacu kemajuan dengan peningkatan menakjubkan. Kadar pembangunan yang dicatat adalah rekod terpantas setakat ini. Hal ini, menjadikan China pesaing utama negara maju khususnya dari segi pengeluaran pelbagai produk, di samping memanfaatkan saiz pasaran dalam negeri melebihi satu bilion pengguna.

Sebagai pesaing, banyak negara maju cuba mencari kelemahan China untuk sekurang-kurangnya menjustifikasikan bahawa kemajuan China dicapai dengan mengorbankan ciri, nilai dan piawai sejagat. Dalam hal ini, ciri paling ketara dianggap kelemahan China ialah pelestarian alam sekitar.

Sejak memenangi hak penganjuran Sukan Olimpik pada 2001, China merancang sesuatu yang luar biasa dari segi kemudahan sukan, pelancongan dan kemudahan awam. Malah, sebahagian besar pembangunan fizikal Beijing dirancang semula untuk memenuhi keperluan penganjuran Sukan Olimpik.

Ia membabitkan kemudahan pengangkutan, penginapan, perdagangan dan pelancongan. Malah, masyarakat tempatan turut mendapat pelbagai kemudahan dan prasarana moden selari dengan imej baru China.

Namun, aspek pelestarian alam sekitar agak ketinggalan. Pencemaran udara dan sumber air semakin meningkat seiring dengan peningkatan kadar pertumbuhan ekonomi. Pengurusan sisa juga menjadi kian mencabar. Sehingga kini, China tidak banyak pilihan kecuali menangani pencemaran alam sekitar secara reaktif.

Menyedari dilema itu, China mengambil pelbagai langkah mengurangkan impak alam sekitar dengan tegas dan biaya besar. Strateginya ialah mengurangkan bahan cemar pada peringkat sumber dan memantapkan ekosistem untuk menyerap muatan pencemaran yang dibebaskan.

Selain itu, Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) juga memberi khidmat kepakaran. Beberapa negara maju turut ‘membantu’. Sejak beberapa bulan lalu, kira-kira 100 saintis alam sekitar dari 20 institusi antarabangsa memantau tahap pencemaran udara di Beijing dan kawasan sekitarnya. Semua institusi itu – termasuk dari Amerika Syarikat, Jepun dan Jerman – menggunakan pelbagai teknologi canggih, termasuk remote sensing menerusi cerapan satelit.

Selain itu, sampel rawak dipilih di kalangan penduduk Beijing untuk menilai sejauh mana kesan pencemaran udara dan air terhadap pelbagai inisiatif dilakukan kerajaan.

Biarpun banyak inisiatif dilakukan, namun jerebu dan pencemaran udara masih berlaku, terutama ketika cuaca panas dengan kelajuan angin minimum. Kerajaan China memang peka dengan masalah itu lantas memperkenalkan pelbagai inisiatif yang sesetengahnya dianggap radikal seperti penutupan operasi 267 kilang di sekitar Beijing yang dikenal pasti mencemarkan udara.

Selain itu, penggunaan kenderaan persendirian juga dikurangkan sebanyak sejuta unit sejak minggu ketiga Julai lalu. Bilangan penutupan kilang dan pengurangan kenderaan di jalan raya dijangka ditingkatkan jika tahap pencemaran udara masih tidak dapat dikurangkan.

Dari segi peruntukan, sejumlah $17 bilion dolar dibelanjakan untuk mengawal pencemaran alam sekitar. Hampir 90 peratus kumbahan dirawat dengan sempurna, keluasan kawasan hijau menjadi 50 peratus dan penggunaan gas asli membekalkan 60 peratus tenaga elektrik di Beijing.

Sementara itu, 50,000 teksi dan 10,000 bas baru digunakan untuk menggantikan yang sudah uzur supaya pelepasan asap dapat dikawal. Jaringan kereta api bandar pula ditambah 200 kilometer lagi.

Pelaburan itu tidak termasuk kos melepas menerusi pelbagai inisiatif yang menjejaskan keuntungan syarikat dan individu menerusi penutupan sementara kilang, pengurangan kenderaan persendirian di jalan raya dan sebagainya. Standard pelepasan bahan cemar air dan udara juga diperketatkan setanding kebanyakan negara Eropah.

Ternyata China memahami bahawa pelestarian alam sekitar bukan lagi suatu trend, kerenah atau kegilaan rakyat negara maju semata-mata. Pelestarian alam sekitar penting untuk semua pihak. Tanpa alam sekitar yang bersih, bebas daripada pencemaran dan seimbang, maka kesihatan dan kesejahteraan manusia terancam. Pelancong, atlit dan peminat sukan berasa tidak selamat, malah implikasi ekonomi begitu ketara.

Pengalaman China menganjurkan Sukan Olimpik ini menunjukkan bahawa isu alam sekitar juga boleh dieksploit sehingga menjejaskan imej dan nama baik sesebuah negara. Foto atlit memakai topeng muka (mask) ketika berlatih dibesar-besarkan media antarabangsa seolah-olah tahap pencemaran udara di Beijing akan menjejaskan prestasi mereka pada temasya itu sehingga mendapat bantahan Majlis Olimpik Antarabangsa.

Selain itu, penganjuran Sukan Olimpik Beijing juga menunjukkan bahawa perancangan projek pembangunan – apatah lagi berskala mega – perlu disepadukan dengan inisiatif pelestarian alam sekitar sejak awal lagi.

Perancangan awal bersifat pencegahan dan jauh lebih murah. Mencegah juga lebih efektif berbanding mengawal limpahan pencemaran yang terjana menerusi urbanisasi dan industrialisasi.

Prof Datuk Dr Zaini Ujang ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia dan Pengurus Air dan Alam Sekitar bertauliah (CWEM)

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: