Sukan Olimpik Di Tabir Kebangkitan China

OlehMohd Raman Daud

ESOK Beijing, ibu kota China, akan menarik sorotan jagat kerana menganjurkan Sukan Olimpik, acara ulung adu kecepatan, ketinggian dan kekuatan yang amat gah di dunia.

Sesudah dua negara Asia iaitu Jepun pada 1964 dan Korea Selatan pada 1988, kini giliran China yang menonjolkan kematangannya untuk memasuki liga Dunia Pertama.

Untuk mengadakan sukan besar ini pada tarikh yang dianggap ‘bertuah’ kerana banyak nombor delapan, China memang bertungkus lumus.

Ia bertekad memaparkan kebolehannya dari segi prasarana, biaya, keselamatan dengan mengerahkan ratusan ribu polis dan tentulah budi bahasa selaku hos.

Ketika makalah ini ditulis, persoalan pencemaran udara di kota Beijing masih menimbulkan tanda tanya.

Seminggu dua sebelum ini, laporan BBC mendapati mutu udaranya tidak menepati piawai Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Padahal, pihak berkuasa Beijing telah mengarahkan kilang dan apa jua kegiatan yang mengeluarkan pencemaran udara dihentikan.

Bahkan, kereta dikurangi di jalan raya Beijing dengan mengadakan skim pergerakan menurut giliran hari bagi plat angka genap dan ganjil.

Kawasan utara Beijing kian digondolkan angin sehingga meluas daerah gurun.

Namun, demi Olimpik, ia mulai ditanami pokok dan dipasang adangan demi menghentikan ribut pasir.

Tidak syak negara 1.34 bilion penduduk itu, iaitu hampir seperlima umat manusia, cuba bangkit kembali sebagai tamadun dan kuasa dunia.

Menurut sejarawan, boleh dikatakan sekian lama China menjadi peradaban penting dunia.

Bagaimanapun, dalam abad ke-17 sehingga ke-20, ia terbelakang kerana dasar dinasti-dinastinya yang menutup pintu dan merasakan cukup gah sebagai negara di pusat dunia.

Kali terakhir China menjadi kuasa kelautan ialah dalam abad ke-15 ketika diperintah Dinasti Ming.

Laksamana Zheng He (Cheng Ho) telah ditugaskan mengitari dunia sehingga dikatakan menemui jalan laut ke Amerika Utara iaitu lama sebelum para ahli pelayaran Barat. Demikian dakwa ahli ilmu alam, Dr Gavin Menzies.

Itulah sebabnya China menggunakan Zheng He sebagai ikon kebangkitannya termasuk dari segi pemerolehan jumlah kapal (swasta dan tentera) dan kapal selam yang bakal mengatasi Amerika Syarikat.

Para pakar ekonomi menjangkakan keluaran kasar dalam negeri (GDP) China bakal mengatasi Amerika pada tahun 2025.

Kini saja kapitalisme China (masih komunis corak politiknya) berjaya mendorong pertumbuhan dua angka iaitu yang tertinggi di dunia.

Di Barat, China dianggap ‘kilang jagat’ kerana jutaan buruhnya yang murah, banyak dan gigih menimba ilmu sehingga sanggup menghasilkan apa saja – daripada mainan sehingga kereta.

China memang khuatir ledakan penduduknya sehingga ia mengamalkan dasar sepasang seorang anak.

Namun, di sebalik dasar ini, menanti masalah besar iaitu penuaan penduduk yang terpantas di dunia.

Ini disebabkan kesuburan wanita China terus merosot daripada 5.8 bayi pada 1970-an kepada 1.8 bayi hari ini. Padahal, kadar penggantian penduduk ialah 2.1 bayi.

Jangkaan hidup pula meningkat daripada 35 tahun pada 1949 kepada 73 tahun kini.

Para pakar kependudukan China seperti Encik Li Jianmin dari Universiti Nankai menjangkakan bilangan golongan tua watannya meningkat daripada 100 juta kini (usia 60 tahun ke atas) kepada 334 juta pada tahun 2050, termasuk sekitar 100 juta yang berusia 80 tahun ke atas.

Sistem persaraan China kini terbatas kepada sekadar 30 peratus penduduk kota.

Memanglah China seluas Amerika Syarikat, tetapi ia mempunyai penduduk empat kali ganda adikuasa itu.

Oleh itu, menyediakan pekerjaan mencukupi merupakan cabaran besar China dalam jangka panjang.

Kini 60 peratus eksport China dihasilkan oleh syarikat bukan milik China. Oleh itu, keuntungan China diraih oleh banyak firma asing.

Tidak hairanlah banyak syarikat China cuba membeli syarikat asing seperti Lenovo yang membeli seluruh hak cipta komputer peribadi IBM dari Amerika.

Pemodenan China yang dimulakan pada 1976 oleh pemimpin agungnya yang pragmatik, Encik Deng Xiaoping, kurang mengambil kira kesan sekitaran.

Akibatnya, China kini mengatasi Amerika sebagai pencemar terbesar jagat. Dikatakan 16 daripada 30 kota paling tercemar terdapat di China.

Walaupun sering banjir di lembangan Yangtze, China sebenarnya kekurangan air bersih.

Ia sedang membina empangan tiga gaung iaitu yang terbesar dunia untuk menjana elektrik dan menampung bekalan air bersih untuk mendorong pertumbuhan pesatnya.

Apakah dengan Sukan Olimpik, China akan kian terbuka dan lebih prihatin mengenai rekod hak asasinya?

Ini persoalan cepumas yang sering dibahaskan oleh media Barat, termasuk Amnesty International yang mendakwa bahawa pencabulan hak asasi China kian buruk menjelang Olimpik.

China kini menghadapi gerakan pemberontak di wilayah majoriti penganut Buddha di Tibet dan wilayah majoriti Muslim di Xinjiang.

Menurut perangkaan rasmi China, negara itu berfahaman ateis.

Hanya 3 hingga 4 peratus penduduknya menganut Kristian dan Buddha. Muslim pula sekitar 1 hingga 2 peratus daripada seluruh penduduknya.

Namun, saya teringat pendapat Dr Ahmed Sakr, pemikir dan penganjur kegiatan Islam dari Amerika, yang pernah meninjau keadaan umat Islam di China. Menurutnya, terdapat 150 hingga 200 juta umat Islam di China.

Jika benar taksiran beliau, bererti umat Islam boleh menjadi minoriti terbesar di China. Dengan gerakan radikal seperti Gerakan Turkestan Timur yang dikatakan dikaitkan dengan Al-Qaeda, China tentu menghadapi kesulitan untuk memelihara keamanan, apatah lagi sepanjang dua minggu acara Olimpik.

Oleh itu, China perlu berjaya dalam mengacarakan Olimpik ke-29 dari segi menyajikan tempat acara, penginapan sehinggalah memperolehi pingat terbanyak mengatasi Amerika.

Menilai kejituan para ahli sukannya, peluang China tampak cerah. Namun, apa jua boleh terjadi dalam sekelip mata seperti ancaman pemberontak atau gempa di Sichuan.

Dunia akan menyoroti apakah China sudah mencapai takat yang dibanggakannya untuk memasuki liga negara maju.

Cyberita

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: