Konflik Kejohanan Terbesar Dunia

Oleh ADHAM SHADAN

Sejak kejohanan Olimpik Athens, Greece berakhir empat tahun lalu, desiran angin ‘kurang senang’ telah mula berdesis apabila Beijing, China menjadi tuan rumah seterusnya. Bahkan, ada pihak yang mendakwa Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) telah salah membuat pilihan ketika mengumumkan Beijing menjadi hos Olimpik 2008 seawal tahun 2001 lagi.

Segalanya banyak berakar umbi daripada rekod buruk negara itu terhadap hak asasi manusia. Pihak-pihak tersebut tidak mahu lambang perpaduan manusia sejagat yang menjadi ‘cermin’ kejohanan sukan dunia itu dicalarkan. Lantas mereka merasakan China tidak layak untuk menjadi tuan rumah temasya sukan ini.


sukan Olimpik sewajarnya dilihat satu medan untuk menyatukan dunia.

Paling hangat tentunya isu layanan China ke atas wilayahnya, Tibet. Krisis Tibet yang telah menjalari dunia sejak tahun 1959 itu, semakin mencapai kemuncak apabila beberapa penunjuk perasaan di Lhasa, Tibet dikasari pihak pemerintah pada Mac lalu. Para pemimpin Tibet yang berada dalam buangan mendakwa kira-kira 100 orang terbunuh dalam tindakan keras Beijing terhadap para pembantah itu dan mendesak supaya dilakukan siasatan antarabangsa.

Lain-lain isu antaranya ialah China dikatakan gagal menghentikan pertumpahan darah di Darfur, Sudan, isu Taiwan dan layanan kejam mereka kepada penganut agama Falungong.

Kerana itu, terdapat usaha untuk memboikot Olimpik Beijing. Larian obor Olimpik di London, Britain dan Paris, Perancis cuba diganggu oleh satu kumpulan yang dinamakan Free Tibet. Di Paris, usaha untuk merampas obor turut berlaku.

Beberapa pihak turut menyuarakan hasrat menimbang untuk memulaukan Olimpik Beijing jika keadaan di Tibet berlarutan. Antara yang lantang bersuara ialah Kesatuan Eropah dan Perancis. Taiwan juga menyatakan mahu memulau Olimpik Beijing jika China menamakan wilayah asal China itu dengan China-Taipei, bukan Chinese-Taipei ketika perbarisan pembukaan Olimpik.

Bagaimanapun, sama ada ia benar-benar dipulau hanya akan terjawab malam ini apabila kejohanan sukan dunia edisi ke-29 itu dibuka secara rasmi di Stadium Kebangsaan Beijing.

warga Tibet menuntut keadilan dan pembebasan daripada China.

Sebenarnya, apabila bercakap tentang bantahan atau polemik dalam Olimpik, ia bukanlah satu perkara baru. Unsur hubungan antarabangsa dan ketidakpuasan hati sering melingkari kejohanan sukan terbesar dunia ini.

Pemulauan Jerman ke atas Olimpik 1920, 1924 dan 1948 adalah bermotifkan politik biarpun sesetengah pihak cuba menjustifikasinya dengan alasan yang lain. Penganjuran Olimpik di Berlin, Jerman pada tahun 1936 dilihat sebagai satu alat propaganda bagi Nazi Jerman.

Olimpik Melbourne, Australia 1956 dikatakan menjadi mangsa boikot pertama dalam sejarah. Belanda, Sepanyol dan Switzerland enggan menyertai kejohanan itu kerana tekanan Hungary oleh Soviet Union (Rusia). Kemboja, Mesir, Iraq dan Lebanon pula memboikot kejohanan yang sama berikutan krisis terusan Suez.

Pada tahun 1972, atlet-atlet Amerika Syarikat (AS) mengugut untuk memboikot acara trek dan padang di Munich, Jerman sebagai tanda protes atas polisi diskriminasi kaum Rhodesia.

POLIS menenangkan lautan manusia yang menjadi kecoh apabila 11 atlet Israel dibunuh dalam satu serangan di Olimpik Munich, Jerman pada 1972.

Dua puluh lapan pasukan dari negara-negara Afrika pula bertindak meninggalkan Olimpik Montreal 1976 begitu sahaja berhubung isu warna kulit.

Olimpik Moscow, Rusia 1980 menerima nasib buruk apabila 62 buah negara termasuk Amerika Syarikat, Jerman Barat dan Jepun memulaukannya sebagai bantahan terhadap pencerobohan Rusia ke atas Afghanistan.

Cuba pula menyertai Korea Utara memboikot Olimpik Seoul, Korea Selatan pada tahun 1988.

Tetapi konflik tidak hanya berlegar pada isu pulau memulau, malahan turut membawa kepada implikasi lebih dahsyat seperti pertumpahan darah.

5 Disember 1972 menjadi hari paling hitam dalam sejarah Olimpik apabila 11 orang atlet Israel mati dalam satu serangan yang dikatakan dilancarkan oleh warga Palestin. Turut terbunuh ialah lima pengganas dan seorang anggota polis. Peristiwa tragis itu terus menghantui penganjuran Olimpik sehingga kini.

Terlebih dahulu, seramai 300 pelajar Mexico terbunuh dalam satu tunjuk perasaan, 10 hari sebelum temasya itu berlangsung di Mexico City pada 1968.

Persoalannya, wajarkah kejohanan sukan terbesar ini yang seharusnya menjadi arena untuk para atlet seluruh dunia bersaing di peringkat tertinggi dicampur adukkan dengan perihal politik dan hubungan antarabangsa? Patutkah kekeruhan hubungan politik terbawa-bawa hingga ke kamar sukan?

POLIS menangkap seorang pemprotes ketika acara larian obor Olimpik Beijing di London, Britain baru-baru ini.

Pakar sejarah dan penganalisis sukan Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim menyifatkan ia sebagai satu perkara yang tidak wajar dan mencemar semangat Sukan Olimpik sebenar.

“Apabila Sukan Olimpik era moden bermula pada tahun 1896, cogan kata yang dilaungkan ialah ‘penyertaan lebih penting daripada kemenangan’. Tetapi, semangat itu tidak dihayati apabila sejarah menunjukkan terdapat beberapa siri pemulauan dalam Olimpik.

“Boikot bermakna menggunakan pendekatan konfrontasi dan konfrontasi bukanlah satu solusi yang baik untuk menyelesaikan masalah,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

Tetapi, kata Kay Kim, ia semacam satu perkara yang sukar untuk dielakkan.

“Sejarah menunjukkan boikot banyak dicetuskan oleh negara-negara besar. Realiti dunia ialah kuasa besar menguasai negara-negara kecil. Malaysia juga tergolong dalam 62 buah negara yang tidak menyertai Olimpik Moscow 1980 kerana mengikut AS memboikot temasya sukan itu berhubung isu pencerobohan Rusia ke atas Afghanistan. Sebagai negara kecil yang ekonominya banyak bergantung kepada negara besar pada masa itu, kita terpaksa mengikut rentak kuasa besar,” katanya.

Tindakan boikot bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah bahkan tidak membawa keuntungan yang sebenar.

Buktinya, selepas Olimpik Moscow 1980, Olimpik Los Angeles, Amerika Syarikat 1984 pula menerima nasib diboikot apabila 15 buah negara diketuai Rusia membalas dendam dengan memulaukannya.

Kenyataan Perancis untuk cuba memboikot Olimpik Beijing mencetuskan sentimen anti-Perancis di China dan mangsanya ialah pasar raya Carrefour.

“Kerana tidak menyertai Olimpik 1980 berikutan masalah yang tidak dapat dielakkan itu, pasukan bola sepak Malaysia terlepas peluang untuk beraksi dalam pusingan akhir Olimpik, yang mana peluang tersebut tidak lagi datang sehingga kini,” ujarnya.

Berhubung isu Tibet, Presiden IOC, Dr. Jacques Rogge telah menyeru negara-negara agar tidak memboikot Olimpik Beijing 2008.

“Kami percaya boikot tidak menyelesaikan apa-apa. Sebaliknya, ia hanya akan ‘melumpuhkan’ atlet yang tidak bersalah dan menghentikan sesuatu yang sebenarnya amat berbaloi untuk dianjurkan,” katanya.

Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: