Malaysia Mula Palu Gendang Perang

Daripada MEOR HARMAN MEOR SHAKRI

BEIJING – Palu gendang perang – kesemua kontinjen atlet negara yang berkampung di sini sejak Ahad lalu telah bersedia sepenuhnya untuk menyahut perjuangan apabila Sukan Olimpik Beijing membuka tirainya di Stadium Nasional, malam ini.

Seramai 33 atlet negara akan mengambil bahagian dalam sembilan daripada 28 jenis sukan yang akan dipertandingkan di Sukan Olimpik Beijing selepas layak secara merit sama ada dalam kategori A dan B.

Dengan matlamat memperbaiki pencapaian di Sydney 2000 dan Athens 2004, mereka akan mengambil bahagian dalam acara akuatik (renang dan terjun), angkat berat, badminton, berbasikal, memanah, menembak, olahraga, pelayaran dan taekwondo.

Jumlah 33 atlet ini dibantu oleh 14 jurulatih dan 15 pegawai dengan kontinjen negara akan menyertai 29 daripada 302 acara yang akan dipertandingkan.

Berdasarkan penyertaan sebelum ini, jumlah 33 atlet dan 29 acara yang disertai adalah lebih baik berbanding temasya di Athens 2004 yang menyaksikan jumlah penyertaan atlet Malaysia seramai 26 atlet dalam 26 acara.

Berdasarkan prestasi dan perkembangan semasa atlet sepanjang tahun ini dan kebelakangan, Malaysia menyasarkan pencapaian kali ini lebih baik selepas kali terakhir meraih pingat perak dalam acara badminton di Atlanta 1996 menerusi gandingan Yap Kim Hock-Cheah Soon Kit dan gangsa menerusi bekas pemain perseorangan, Rashid Sidek.

Walaupun badminton masih menjadi sandaran utama, kontinjen Malaysia turut meletakkan harapan tinggi kepada pasukan berbasikal trek negara untuk sekurang-kurangnya menghadirkan kilauan emas dalam acara keirin menerusi bintang sedang meningkat naik, Muhammad Azizulhasni Awang – anak kelahiran Terengganu yang banyak mencipta kejutan.

Sandaran warna pingat turut diletakkan di bahu pasukan memanah negara yang pada ketika ini berada dalam kelompok saingan di tangga keempat dunia.

”Semuanya berjalan dengan lancar. Saya tidak menerima sebarang laporan negatif setakat ini daripada atlet kita,” kata Ketua Kontinjen Negara ke Sukan Olimpik Beijing, Datuk Ho Koh Chye ketika diminta mengulas persiapan terakhir skuad negara.

Meskipun indeks cuaca yang berjerebu semakin membimbangkan, namun kata Koh Chye, itu bukan halangan kerana semua atlet dari negara lain turut bertanding dalam situasi yang sama.

Tambah beliau lagi, Majlis Olimpik Antarabangsa (IOC) akan memantau perkembangan cuaca berjerebu dan panas di sini dari semasa ke semasa.

”Kita akan ikut apa-apa bentuk cadangan IOC jika keadaan (berjerebu) bertambah teruk,” jelas bekas pemain dan jurulatih skuad hoki kebangsaan itu.

Menyentuh mengenai pingat, beliau menegaskan, kontinjen negara tidak meletakkan sasaran membawa pulang pingat emas walaupun rakyat Malaysia meletakkan seribu harapan tinggi dalam acara tertentu seperti badminton untuk memberikan kilauan emas pertama.

Menurut Koh Chye, atlet sebaliknya perlu memberikan seluruh tumpuan untuk melakukan yang terbaik seperti mana yang mereka dan rakyat Malaysia impikan sebelum ini.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong berkata, beliau tidak menerima sebarang laporan tentang kecederaan atlet negara.

Katanya, persiapan atlet negara seperti yang dirancang sebelum ini dan mereka hanya menunggu masa pertandingan untuk mempamerkan aksi pda tahap terbaik.

”Saya menasihati mereka (atlet) agar sentiasa menitikberatkan kesihatan dalam keadaan cuaca berjerebu ketika ini. Elak daripada berada di luar bangunan terlalu lama dan minum banyak air.

Menyentuh perkembangan terakhir ketika ini, Zolkples berkata, beliau melihat atlet negara begitu bersemangat dan sempat menasihati mereka agar tidak lari daripada fokus dan mengekalkan konsentrasi sehingga pada hari pertandingan.

”Mereka perlu relaks (bertenang) dan jangan terlampau tertekan. Tumpukan perhatian dan apa jua pingat yang diperoleh adalah satu kejayaan,” ujarnya.

Kerajaan Malaysia menawarkan ganjaran lumayan RM1 juta bagi mana-mana atlet yang memenangi pingat emas buat negara di samping elaun persaraan bulanan RM5,000.

– Utusan

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: