Minda: Merealisasi Impian Emas

Oleh Sufian Thauri Muhammed
sufianthauri@hmetro.com.my

SELEPAS tujuh tahun menanti sejak Beijing diumumkan sebagai tuan rumah Sukan Olimpik 2008, detik yang ditunggu akhirnya tiba apabila temasya berprestij tinggi itu dibuka dengan rasminya oleh Presiden China, Hu Jintao, di Stadium Nasional, hari ini.

Beijing dipilih menjadi tuan rumah Sukan Olimpik musim panas selepas bidaannya mengatasi empat bandaraya – Toronto, Paris, Istanbul dan Osaka – pada pemilihan 13 Julai 2001.

Selama tiga minggu, tumpuan seluruh dunia terhala kepada 10,500 atlit yang bertanding dalam 28 jenis sukan membabitkan 302 acara sehingga api obor temasya itu dipadamkan 24 Ogos ini.

Menyingkap pemilihan Beijing sebagai tuan rumah, tidak dinafikan pemilihannya dipertikaikan sesetengah pihak yang tidak berpuas hati dengan dasar China dan rekod hak asasinya yang dikaitkan antara punca kegagalan bandar raya itu menjadi tuan rumah Olimpik 2000.

Namun, proses pemilihan tuan rumah Sukan Olimpik 2008 yang dijalankan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mendapati China mendahului selesa dalam kedua-dua sesi undian mengatasi empat bandar raya lain.

Naib Presiden China ketika itu, Li Lianqing menyifatkan pemilihan Beijing sebagai tanda pengiktirafan dunia terhadap kestabilan sosial, kemajuan ekonomi dan gaya hidup sihat rakyat negaranya.

Dua tokoh utama IOC turut memberikan sokongan dengan presidennya, Jacques Rogge menyifatkan mereka tidak menyesal memilih Beijing manakala bekas presiden, Antonio Samaranch yakin bandar raya itu akan menjadi penganjur terbaik dalam sejarah Sukan Olimpik.

Di saat akhir menjelang penganjurannya, masih ada segelintir penentang menunjukkan ketidakpuasan mereka, terutama berkaitan hak asasi dan campur tangan dalam isu Tibet serta Taiwan hingga sanggup mengganggu larian obor di beberapa tempat, termasuk di London dan Paris.

Namun, hakikat yang tidak boleh dinafikan majoriti pencinta sukan menerima Beijing dengan hati terbuka sebagai tuan rumah Olimpik.

Ia selaras dengan slogan temasya kali ini, One World, One Dream (Satu Dunia, Satu Impian) yang mengajak manusia sejagat biarpun mempunyai latar belakang dan pendirian politik, sosial serta agama berbeza bersatu di bawah nama sukan.

Masalah politik pernah membuatkan Sukan Olimpik diboikot dengan kali pertama di Melbourne pada 1956 apabila Belanda, Sepanyol dan Switzerland menarik diri gara-gara membantah tindakan Soviet Union menceroboh Hungary manakala Mesir, Iraq serta Lebanon memboikotnya kerana isu Krisis Suez.

Malaysia dan beberapa negara lain memboikot Sukan Olimpik Moscow 1980 sebagai tanda membantah tindakan negara penganjur, Soviet Union, menceroboh Afghanistan setahun sebelum itu.

Malah, keganasan turut mencemari temasya Olimpik Munich 1972 apabila kumpulan pengganas menculik dan membunuh beberapa atlit Israel.

Bagi memastikan keharmonian Sukan Olimpik Beijing, Hu Jintao dalam pertemuan dengan 25 wartawan asing, minggu lalu, menggesa dunia supaya tidak mencampur adukkan serta tidak keliru antara politik dan sukan sepanjang temasya berlangsung.

Menurut bekas pegawai Jawatankuasa Olimpik China, Wei Jizhong, Sukan Olimpik memiliki impak amat besar sebagai lambang perpaduan.

“Sukan Olimpik bukan pertandingan sukan semata-mata, sebaliknya memiliki makna yang melangkaui batas kesukanan,” katanya.

Pada temasya seperti inilah, atlit dan pegawai sukan berlainan ideologi berkumpul dengan matlamat sama menjayakan Olimpik dalam semangat kesukanan yang boleh menjadi langkah pertama kepada hubungan lebih baik membabitkan aspek lain pada masa depan.

Penganjuran Olimpik di Beijing juga memberikan peluang kepada China untuk menunjukkan kepada dunia mengenai visi mereka dan apa yang mampu ditawarkan, terutama dalam aspek ekonomi.

China dilaporkan membelanjakan RM128 bilion untuk keseluruhan penganjuran, termasuk pembinaan gelanggang, keselamatan dan pembaikan kemudahan pengangkutan.

Tetapi apa yang pasti, penganjuran Olimpik bakal memberikan impak positif kepada ekonomi China yang diakui memiliki potensi besar.

Bagi Malaysia pula, majoriti daripada 33 atlitnya yang bertanding di Olimpik sudah berada di Beijing.

Meskipun pelumba basikal negara dikatakan mampu memenangi pingat, namun realitinya pemain badminton memiliki peluang lebih baik, termasuk merangkul emas buat kali pertama dalam sejarah penyertaan Malaysia di Olimpik.

Peluang realistik untuk memenangi emas terletak pada perseorangan lelaki, Lee Chong Wei; beregu lelaki, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan perseorangan wanita, Wong Mew Choo.

Halangan utama Chong Wei pastinya jaguh China, Lin Dan yang memegang ranking nombor satu dunia.

Rekod pertemuan mereka memihak kepada Lin Dan tetapi Chong Wei memenangi pertembungan terakhir di separuh akhir Piala Thomas, Mei lalu.

Namun, sebelum berangan melangkah ke final, dia terlebih dahulu perlu melepasi cabaran pemain Singapura, Ronald Susilo di pusingan pertama.

Susilo mempunyai reputasi ‘pembunuh gergasi’ apabila melakar kejutan di Sukan Olimpik Athens 2004 dengan menyingkirkan Lin Dan di pusingan awal.

Kien Keat-Boon Heong sudah disebut-sebut sebagai harapan terbaik negara untuk merangkul emas Olimpik apabila memenangi acara beregu Sukan Asia Doha, Disember 2006.

Malangnya persembahan mereka tidak konsisten tahun ini, tetapi tanpa menyertai sebarang kejohanan sejak dua bulan lalu bagi memberikan tumpuan kepada persiapan di Olimpik, tidak mustahil kedua-duanya mampu kembali ke prestasi terbaik.

Mew Choo pula mencatat kejutan dengan menjuarai Terbuka China tahun lalu dengan mengenepikan dua pemain utama negara Tembok Besar itu, Xie Xingfang dan Zhang Ning. Jika semangatnya tinggi, memiliki strategi tepat dan bebas daripada kecederaan, tidak mustahil dia mampu mengulangi kejayaan itu.

Persembahan atlit negara di Beijing pasti menarik untuk diikuti, terutama bagi melihat siapa di kalangan mereka bakal bergelar jutawan segera berikutan ganjaran RM1 juta menanti atlit yang meraih emas.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: