Ratu Pecut Iraq Nyaris Jadi Mangsa Penembak Curi

Dana Hussein terpaksa hadapi pelbagai bahaya untuk ke Beijing

BAGHDAD (Iraq): Selaku pelari pecut wanita dari Iraq, Dana Hussein memerlukan lebih daripada azam yang kuat untuk berada di Sukan Olimpik Beijing.

Dana terpaksa menghindarkan diri daripada serangan bom, mengelakan diri daripada pertikaian antara puak, malah harus memastikan dirinya tidak menjadi sasaran tembakan curi.

Beliau ialah antara tiga atlit wanita Iraq yang akan hadir dalam Sukan Olimpik Beijing selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) menarik semula penggantungan ke atas negara itu bagi memberi laluan kepadanya bersama empat lagi rakan senegara hadir di ibu kota China itu.

‘Sukan Olimpik cukup indah dan ini kali pertama saya turut serta,’ kata Dana, 21 tahun, yang gugup tetapi gembira.

Menceritakan detik- detik berbahaya yang terpaksa ditempuhinya sewaktu menjalani latihan di tanah air sendiri, Dana berkata beliau nyaris terbunuh gara-gara tembakan curi ketika berada di padang Universiti Baghdad.

‘Saya menjadi sasaran tembakan curi sewaktu berada dalam stadium. Alhamdulillah saya tidak menjadi mangsa, mungkin kerana saya sedang berlari ketika ini,’ katanya ketika berada di balapan yang penuh lubang dengan kawasan padang yang boleh membuat seseorang terseliuh.

Namun, itulah tempat latihan Dana sejak empat tahun lalu untuk ke Beijing.

Jurulatih Dana, Yousif Abdel-Rahman, 46 tahun, bekas juara 400 meter nasional, turut menyingkap bagaimana anak didiknya mengelakkan diri daripada kekacauan yang menghantui Iraq sejak serangan Amerika Syarikat pada 2003.

Malah, ia cukup sukar untuk dihadapi oleh jurulatih itu sendiri.

‘Terdapat usaha-usaha membunuh kami ketika kami dalam perjalanan pulang, antaranya letupan bom ke atas kereta kami dan beberapa siri letupan lain,’ kata Yousif, yang sering menemani Dana ke kejiranan kelas pertengahan Al-Saydiyah di Baghdad setiap kali selepas latihan.

‘Banyak kali terjadi sewaktu kami sedang memandu pulang, kami diekori oleh penembak yang melepaskan tembakan ke arah kami. Hanya desakan Dana yang mendorong saya untuk terus membimbingnya. Beliau benar-benar seorang wanita yang berani.’

Keganasan di Iraq sudah menjadi sebahagian daripada hidup, dengan beribu-ribu nyawa terkorban dalam pemberontakan dan konflik antara penganut Syiah dan Sunni sejak tentera Amerika menyerang negara itu dan menumbangkan Presiden Saddam Hussein lima tahun lalu.

Ia juga menjadi dilema bagi Dana, seorang pelajar berfahaman Syiah, dan Yousif, seorang pengikut Sunni, yang cuba disatukan menerusi sukan.

‘Penyertaan dalam Sukan Olimpik memberi pengertian yang besar buat saya kerana ia adalah atas dasar mewakili seluruh negara, bukan hanya untuk saya,’ kata Dana.

Walaupun setiap atlit perlu menghadapi pelbagai rintangan, cabaran yang dihadapi Dana lebih berbahaya kerana ia berkait soal keganasan.

Ia nyaris melenyapkan bukan sahaja impian, malah nyawanya, untuk tampil dalam Sukan Olimpik. — AFP.

Cyberita

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: