Jankovic Mahu Kedua-Dua No 1 Dan Emas Olimpik

BEIJING: Isnin ini, Jelena Jankovic dari Serbia akan menjadi pemain utama dunia dan serentak dengan itu, beliau juga mahu menggondol pingat emas Sukan Olimpik Beijing.

Tetapi sebelum Jankovic, 23 tahun, berpeluang berada di sini, penyertaannya menjadi tanda tanya kerana beliau masih diganggu kecederaan pada lututnya.

Selepas mengalami kekalahan mengejut di tangan Tamarine Tanasugarn dari Thailand dalam pusingan keempat pertandingan Wimbledon, beliau dimaklumkan bahawa kecederaan lututnya itu mungkin memaksanya berehat sekurang-kurangnya selama dua bulan.

Tetapi tiga minggu kemudian, beliau kembali melangkah ke medan pertempuran dan berjaya melangkah sehingga ke peringkat separuh akhir pertandingan di Los Angeles.

Kejayaannya mara ke peringkat suku akhir pertandingan di Montreal minggu lalu membolehkan beliau mengambil alih tempat rakan senegaranya, Ana Ivanovic, sebagai pemain utama dunia.

‘Saya bangga menjadi pemain utama dunia pada Isnin ini sekalipun saya berdepan masalah kecederaan dan sakit,’ jelas Jankovic.

‘Memang impian saya sejak kanak-kanak menjadi pemain utama dunia. Akhirnya saya kini tergolong dalam kumpulan pemain terkemuka.’

Sejauh ini, hanya terdapat 18 pemain yang menjadi pemain utama dunia dan tidak ramai pemain wanita dapat melakukannya.

Walaupun berada di tangga utama dunia, Jankovic tidak pernah melayakkan diri dalam sebarang final pertandingan Grand Slam setelah empat kali tersekat di separuh akhir.

‘Saya lebih berminat memenangi Terbuka Amerika Syarikat daripada pingat emas Olimpik. Tetapi kalau boleh, saya ingin menjadi juara dalam kedua-dua kejohanan,’ ujarnya\. \– Reuters.

Cyberita

Leave a comment