Ronald Ketuai Skuad Badminton Berlepas Penuh Yakin

OlehMohd Sani Ali

SKUAD badminton negara yang diketuai pemain perseorangan, Ronald Susilo, akan berlepas ke Sukan Olimpik Beijing pagi ini dengan dibekalkan keyakinan tinggi.

Pengalaman yang ditimba dalam Sukan Olimpik Athens empat tahun lalu membuat Ronald lebih matang dan sedar apa cabaran yang bakal dihadapi apabila menjejakkan kaki di ibu kota China itu hari ini.

Inilah pandangan pengurus pasukan Jacqueline Lim ketika mengulas mengenai persiapan lima pemain negara yang terdiri daripada Ronald, Xing Aiying, Jiang Yanmei, Li Yujia dan Hendri Saputra untuk mengharungi saingan sengit dalam sukan berprestij yang akan dibuka secara rasmi pada Jumaat ini.

‘Dalam penampilan pertama Ronald di Athens, Greece, empat tahun lalu, ketika diumumkan keputusan undian perlawanan yang menemukan beliau dengan pemain handalan China, Lin Dan, Ronald amat terkejut kerana akan berdepan dengan pilihan utama yang disebut-sebut bakal muncul juara di Athens,’ kata Jacqueline, yang juga ketua pembangunan dan persembahan tinggi Persatuan Badminton Singapura (SBA).

Menurut beliau, apabila Ronald mencatat kejutan dengan mengalahkan Lin Dan dan mara ke suku akhir, undian pemain pilihan menjadi ‘huru-hara’.

Jacqueline turut berasa kecewa apabila langkah Ronald tersekat di situ.

‘Kini apabila Ronald mendapat tahu beliau akan berdepan pula dengan Lee Chong Wei, pemain Malaysia yang turut disebut-sebut bakal merebut pingat emas dalam Olimpik Beijing, reaksi beliau agak tenang.

‘Beliau hanya mengangguk sebagai tanda mengesahkan siapa bakal lawannya,’ kata Jacqueline.

‘Saya tahu ini bukan tugas yang mudah tetapi saya juga tahu bahawa Ronald sedar tidak ada sesuatu yang tidak mungkin dapat dilakukan dalam Sukan Olimpik dan kejutan boleh terjadi pada bila-bila masa.’

Jacqueline menambah bahawa persiapan para pemain ke Beijing kini lebih menyeluruh dan mereka turut berpeluang mengadakan latihan pusat dua minggu di Jeju, Korea Selatan.

‘Kami amat bertuah kerana ini kali pertama kami diterima oleh Persatuan Badminton Korea Selatan untuk mengadakan latihan dan sparring bersama-sama skuad elit mereka di sana,’ ujar beliau lagi.

‘Ini membuktikan para pemain kami turut mendapat perhatian para pemain Korea Selatan.

‘Hasil daripada latihan tersebut mendedahkan para pemain daripada kedua-dua pasukan dengan pengalaman yang berbeza.’

Pendedahan tersebut turut membuat Jacqueline lebih yakin akan peluang pasukan negara walaupun beliau sedar tentangan hebat yang bakal dipikul di Beijing.

Cyberita

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: