Tugas Berat Jaguh Taekwondo


ELAINE TEO menanam hasrat untuk melakar kejutan pada penampilannya di Beijing bagi memartabatkan sukan teakwondo di negara ini.

TUGAS berat menanti dua jaguh taekwondo negara, Elaine Teo dan Chee Chew Chan pada Sukan Olimpik XXIX di Beijing.

Andai Elaine 27, dan Chew Chan 26, meraih pingat pada temasya paling berprestij itu, ia bakal memberi impak besar kepada sukan taekwondo negara pada masa akan datang.

Lebih menarik, jika kedua-dua jaguh taekwondo negara itu berjaya menyumbang pingat, ia sudah pasti akan meredakan segala kemelut yang membelenggu sukan taekwondo negara selama ini.

Elaine yang akan tampil buat kali kedua pada temasya Olimpik selepas membuat penampilan sulung di Athens empat tahun lalu berharap kejayaan di Beijing mampu mengubah masa depan sukan itu di negara ini.

Pemenang pingat emas Sukan SEA XXIV tahun lalu itu yang akan bertanding bagi kategori 57 kilogram telah meraih pelbagai kejayaan pada kejohanan peringkat antarabangsa.

Antaranya memenangi pingat emas Sukan SEA Korat tahun lalu, memenangi pingat emas pada kejohanan Asian Cities Gold Cup Hong Kong (2007) dan banyak lagi.

Elaine berkata, dia kini dalam keadaan cukup bersedia serta tidak akan mudah menyerah kalah apabila bersaing dengan jaguh dunia yang lebih berpengalaman.

Menurutnya, hanya dengan bekerja keras sahaja akan membantunya mencipta kejayaan pada sukan Olimpik XXIX nanti.

“Bekerja keras dan tidak mudah menyerah kalah akan menjadi pegangan selain memantapkan keyakinan diri untuk mencipta kejayaan,” kata Elaine.

Elaine yang berasal dari Melaka berkata, kecederaan di bahagian pergelangan tangan kanan sebelum ini juga semakin pulih sepenuhnya.

Kedua-dua atlet taekwondo ini layak secara merit menerusi kejayaan yang dilakar pada kejohanan kelayakan Sukan Olimpik peringkat Asia di Vietnam tahun lalu.

Chew Chan yang bertanding bagi kategori 67kg berkata, dia akan melakukan terbaik untuk meraih pingat pada temasya Olimpik meskipun bakal bersaing dengan atlet yang hebat.

Menurutnya, dia mengidam kejayaan untuk meraih sebarang pingat sebagai keutamaan meskipun saingan agak getir.

Katanya, dia berada pada tahap terbaik dan bersedia membawa cabaran negara.

“Saya berlatih seperti biasa dan keutamaan diberikan kepada aspek memantapkan kekuatan mental,” katanya.

Sementara itu Setiausaha Agung MTA, T. Kumar berkata, dua atlet taekwondo itu kini sedang giat menjalani latihan selama tiga sesi sehari di Bukit Jalil sebelum bertolak ke Beijing pada 17 Ogos ini.

“Kami sentiasa membuat pemantauan bagi memastikan mereka tidak mengalami sebarang kecederaan ketika menjalani latihan.

“Saya yakin mereka sudah cukup bersedia serta bebas daripada sebarang kecederaan yang boleh menganggu harapan mereka bertanding ke Olimpik Beijing,” ujarnya.

Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: