Bryan Semakin Matang


MASIH ingat Bryan Nickson Lomas?

Penerjun acara 10 meter platform itu pernah menjadi tumpuan ramai sebagai atlit paling muda dan kecil selain menjadi pembawa bendera negara di upacara pembukaan Sukan Olimpik Athens, empat tahun lalu.

Masa berlalu dan kini berusia 18 tahun, Bryan hadir buat kali kedua di Olimpik dengan penampilan berbeza di Beijing – penuh dengan kematangan dan keyakinan – sekali gus menyaksikannya inginkan tumpuan diberikan kepadanya kerana persembahan dan bukan disebabkan faktor lain.

Justeru, Bryan mahu menjadi penerjun pertama Malaysia mara ke separuh akhir membabitkan 18 peserta selepas hampir melakukannya dengan menduduki tempat ke-19 di Greece.

“Pencapaian saya di Athens ketika itu boleh diibaratkan begitu hampir tapi masih jauh. Apapun, pengalaman di Olimpik itu membuatkan saya kini lebih matang dan yakin untuk mengharungi cabaran kali ini.

“Lebih meyakinkan saya ialah ketika beraksi di Athens saya layak sebagai wild-card. Tapi, kali ini saya layak berdasarkan merit.

“Walaupun sasaran saya untuk ke separuh akhir itu sukar, saya percaya mampu melakukannya. Tambahan pula, saya sudah acap kali beraksi di China sebagai sebahagian daripada program latihan saya,” katanya ketika ditemui di Perkampungan Sukan, semalam.

Pengalaman yang diperolehinya ketika beraksi di Athens itu kemudian membantu dalam menyediakannya untuk menjadi lebih bersedia sehingga muncul penerjun remaja pertama Malaysia mengungguli takhta dunia acara 3m papan anjal di Kejohanan Remaja Dunia di Brazil.

Lebih membanggakan Bryan turut muncul atlit pertama negara layak ke Sukan Olimpik Beijing selepas memberikan persembahan bertenaga di Kejohanan Dunia di Melbourne, tahun lalu.

Di Beijing ini, Bryan yang menjadi penerjun lelaki tunggal mewakili negara akan turun beraksi, 22 Ogos ini. Tiga lagi adalah penerjun wanita yang membabitkan Pandelela Rinong dalam acara 10m platform, Leong Mun Yee dan Elizabeth Jimie, 3m papan anjal.

Kesemua mereka layak beraksi dalam Kategori A.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: