Sukan Olimpik: Mew Choo, Choong Hann Gegar


REAKSI Mew Choo dan Choon Han ketika menentang lawan masing-masing.

Wanita pertama Malaysia ke suku akhir; Taufik kecundang

WONG Mew Choo mencatat rekod tersendiri dengan menjadi pemain wanita pertama negara mara ke suku akhir badminton Sukan Olimpik, namun semalam jelas milik Wong Choong Hann yang menyingkirkan juara bertahan, Taufik Hidayat di Universiti Teknologi Beijing.

Kemenangan Choong Hann 21-19, 21-16 pada pusingan kedua sememangnya di luar jangkaan, namun taktik mengasak Taufik tanpa membenarkan bintang Indonesia itu mengawal rentak membuahkan hasil yang baik apabila mendahului dari awal di set kedua.

“Saya cukup gembira dengan kemenangan ini. Persiapan yang lama untuk menghadapi Sukan Olimpik, jelas berbaloi dan saya juga dapat bermain lebih baik daripadanya pada detik penting.

“Pertemuan kami sering sengit dengan tidak banyak mata memisahkan kami. Saya tidak tahu sama ada dia terjejas selepas demam denggi sebelum ini tapi yang pasti, dia tetap memberi saingan hebat,” katanya Choong Hann, 31, yang kini memegang rekod pertemuan mereka dengan 4-3.

Selepas mata kerap terikat di set pertama pada 9-9, 16-16, 17-17 dan 19-19, Choong Hann jelas selesa mendahului pada set kedua dengan mendahului 10-4 sebelum Taufik buat seketika memintas 13-12.

Mengenai laluannya yang dianggap mudah untuk ke suku akhir di mana pemain China, Chen Jin mungkin menunggunya, Choong Hann enggan memikir terlalu jauh kerana perlu berdepan Hsieh Yu Hsing dari Taiwan di pusingan ketiga, hari ini.

“Olimpik sering mencatat kejutan. Malam ini (semalam) saya melakukan kejutan tapi apa-apa boleh berlaku selepas ini,” katanya yang akan menyambut kelahiran anak keduanya bulan depan.

Taufik pula mengakui tewas kepada lawan yang lebih baik, semalam dan berkata selepas ini dia mahu mensasarkan ke arah kejohanan Seluruh England yang masih belum dimilikinya.

Mew Choo, pemain perseorangan wanita kedua negara mara ke Olimpik selepas Chan Chia Fong pada 1996, layak ke suku akhir selepas menewaskan Petva Nedelcheva dari Bulgaria 21-16, 21-8 tetapi perlu tampil lebih mantap apabila menunggunya di peringkat itu adalah pemain ranking kedua dunia, Lu Lan.

Terdahulu, semuanya kelihatan berjalan lancar buat Lee Chong Wei apabila laluannya ke suku akhir nampak sudah dalam genggaman selepas melepasi menewaskan Ronald Susilo 21-13, 21-14 pada pusingan kedua, semalam.

Biarpun perlu melalui pusingan ketiga hari ini namun lawannya, Kestutis Navickas dari Lithuania dianggap halangan mudah – sekali gus menjanjikan tempat di suku akhir di mana Sony Dwi Kuncoro dari Indonesia, bakal menantinya.

“Masih ada halangan pada pusingan ketiga dan saya tidak boleh memandang mudah kepada lawan, biarpun di atas kertas segalanya nampak mudah.

“Ada kesilapan mudah yang saya lakukan dan tidak boleh mengulanginya,” katanya yang menjadi sandaran utama negara untuk mengakhiri kemarau pingat sejak dua temasya lalu.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: