Anak Petani China Pertahan Emas


CHEN buktikan kehebatan selaku jaguh angkat berat bagi kategori 58kg.

BEIJING – Atlet China, Chen Yanqing meneruskan penguasaan China dalam acara angkat berat pada Sukan Olimpik XXIX apabila berjaya mempertahankan gelarannya dalam kategori wanita 58 kilogram semalam.

Chen yang kembali daripada persaraannya semata-mata untuk mewakili China pada temasya di Beijing kali ini turut muncul atlet wanita pertama yang berjaya memenangi dua pingat emas dalam acara angkat berat Sukan Olimpik.

Anak kepada petani miskin itu yang bercita-cita menjadi guru berjaya melakukan angkatan seberat 106kg dalam acara snatch dan 138kg (clean & jerk) untuk keseluruhan 244kg, sekali gus menghadiahkan emas keempat buat China dari acara angkat berat.

Angkatan seberat 244kg itu merupakan rekod baru Olimpik mengatasi rekod lamanya di Athens dengan perbezaan 7kg. Dia juga mencipta rekod baru Olimpik untuk acara clean and jerk.

“Saya fikir karier saya sebagai atlet telah berakhir dan saya tidak pernah terfikir akan beraksi di pentas Olimpik dan memenangi pingat emas,” jelas Chen yang terpaksa berehat hampir lima bulan bagi menumpukan kepada pengajiannya di peringkat master dalam bidang psikologi selepas memenangi emas Sukan Olimpik Doha dua tahun lalu.

“Begitupun, saya menerima sokongan padu daripada banyak pihak termasuk keluarga saya sendiri dan mereka benar-benar menyokong karier saya.

“Inilah sebenarnya rahsia di sebalik kejayaan saya dalam sukan.”

Sementara itu, peserta Rusia, Marina Shainova memenangi pingat perak dengan angkatan keseluruhan 227kg sambil gangsa menjadi milik O Jong Ae dari Korea Utara dengan bebanan seberat 226kg.

Sebelum ini, China berjaya memenangi tiga emas masing-masing menerusi Zhang Xiangxiang (62kg), Chen Xiexia (48kg) dan Qingquan Long (56kg). – Reuters

Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: