Teladani Semangat Olimpik China

OlehRamli Puteh

SEWAKTU menaip e-mel ini, saya berada di Beijing dan akan berangkat ke Shanghai pada keesokan hari. Ini gara-gara menaiki pesawat tambang murah, Air China, dari Amerika Syarikat.

Kenalah putar satu dunia untuk tiba esok di Melbourne. Memang letih, tetapi suatu pengalaman berharga.

Di Beijing, agak susah hendak mencari Internet. Makalah ini diketik sesudah menemui sebuah kafe Starbucks di kawasan niaga, Wong-fu Jieng.

Beijing, ibu kota China, bak ‘terhenti’ menyaksikan kombinasi moden dan tradisi dalam acara Majlis Perasmian Olimpik 2008 pada Jumaat lalu.

Lebih 92,000 penonton membanjiri stadium ‘sarang burung’ dan hampir empat bilion penonton seluruh dunia dikatakan menyaksikan acara kreatif ‘gulungan sejarah’ dan penyalaan obor Olimpik ala filem lompat-lompatan kung fu. Mempesonakan.

Sungguh saya mengagumi azam nasionalisme China. Tayangan Olimpik terpampang di skrin televisyen di beberapa bahagian kota ini untuk tatapan rakyat dan pelancong.

Azam itu bermula lama.

Ia menjadi kenyataan sekitar lapan tahun lalu, apabila China berjaya dalam bida menjadi hos Olimpik ke-29.

Namun, banyak syarat yang perlu dipatuhinya termasuk prasarana bertaraf dunia, sekitaran bersih dan kebebasan bersuara.

Beijing berbelanja AS$40 bilion ($57 bilion) iaitu yang terbesar dalam sejarah Olimpik demi sekali gus membaharui wajah usangnya. Maka tersergamlah Perkampungan Media, Pusat Sidang Kebangsaan, Perkampungan Olimpik dan Taman Hutan Olimpik.

Kini, Stadium ‘Sarang Burung’ menjadi ikon terbaru Beijing.

Sistem tren bawah tanahnya, Beijing Subway System, memang mudah, murah dan selesa. Dapatlah saya menjenguk banyak lokasi sukan dan tempat bersejarah. Tambangnya jauh lebih murah berbanding khidmat tren di Melbourne, Boston dan New York yang telah saya teroka.

Tambang ‘subway’ Beijing ialah 2 yuan (25 sen) bagi setiap perjalanan. Dari apartmen saya di daerah Baobaoshan, pinggiran Beijing, saya dapat berulang-alik ke pusat bandar (jaraknya dari Suntec City ke Punggol) dengan membayar tambang 25 sen saja.

China menyambut ulang tahun ke-30 dasar keterbukaan ekonomi yang diasaskan mendiang Deng Xiaopeng, pemimpin agungnya.

Kunjungan ke Beijing mengingatkan saya pada sebuah hadis terkenal (walaupun dianggap daif) iaitu ‘Tuntutlah ilmu walau ke negeri China’.

Selama ribuan tahun China menjadi tamadun dunia. Lelayang, meriam, paracut, kertas, sutera, payung dan sebagainya berasal dari China.

Dek kehebatannya, orang China memikirkan watan mereka berada di pusat dunia. Dalam zaman Dinasti Ming, pelayaran Laksamana Cheng Ho (Zheng He) meletakkan China sebagai adikuasa kelautan.

Sayangnya, sesudah Ming, China menjadi tertutup sehingga dijajah bangsa Manchuria, Jepun dan Barat.

China bangkit semula melalui Sun Yat Sen, tetapi rasuah dan silap tadbir berleluasa sehingga komunis mengambil alih. Namun, pemerintahan komunis amat perit sehinggalah Deng Xiaopeng merubah keadaan secara pragmatik.

Kini China dianggap ‘kilang jagat’ kerana sumber tenaga buruh yang murah, gigih dan boleh dipercayai untuk menghasilkan barang bagi gedung jenama seperti Harrods di London.

Sesungguhnya, kunjungan ke China menyentak saya akan ‘lompatan jauh’ bangsa seperlima umat manusia itu.

Menuntut ilmu di mana jua kini menjadi genderang azam China.

Hal ini mengingatkan saya pada buku, The World Is Flat (‘Dunia Ini Leper’), karya Thomas L. Friedman, wartawan New York Times berbangsa Amerika berdarah Yahudi yang pernah belajar di Mesir.

Penerima tiga Anugerah Pulitzer (hadiah terbaik persuratan Amerika Syarikat) itu menegaskan tekad besar China, termasuk menjadikan Dalian bandar teknologi maklumat setanding Bangalore (India) atau Lembah Silikon, California.

Gergasi teknoloji seperti GE, Microsoft, Dell, SAP, HP, Sony dan Accenture mekar di Dalian (dulu dipanggil Port Arthur) yang berbangga dengan rangkaian 22 maktab dan universiti. Sekitar suku juta pelajar menuntut di Dalian.

Kehausan ilmu menjadi perutusan Al-Quran. Wahyu pertama ‘iqra’ menyuruh kita membaca iaitu gerak tindak pertama dalam mencari ilmu.

Apakah kesan semua mesej ini bagi diri kita?

Kita mesti bangkit macam China – lapar ilmu, lapar peluang tetapi tetap memelihara akhlak.

Di sebalik sambutan Hari Kebangsaan ke-43 Singapura (sehari selepas Sukan Olimpik di Beijing), terpapar suasana kelembapan ekonomi Amerika dan dunia, kos hidup yang terus meningkat di Singapura.

Ia mengingatkan bahawa perlunya kita mempunyai matlamat dan perancangan awal, menabung cukup untuk zaman sukar.

Ada kisah seorang gembala, anak lelakinya dan keldai dalam perjalanan ke pasar. Kisah ini juga macam diceritakan Luqman Al-Hakim (antara surah Al-Quran).

Semasa berjalan, mereka ditegur oleh orang kampung:

‘Alangkai bodohnya anda! Apa gunanya keldai kalau bukan untuk ditunggang?.’

Oleh itu, si gembala tadi pun menaikkan anaknya untuk menunggang keldai itu.

Tidak lama kemudian, mereka menemui sekumpulan lelaki. Seorang lelaki menegur:

‘Tengok tu anak lelaki yang pemalas! Sanggup dia biarkan bapanya yang tua penat berjalan sedangkan dia enak-enak duduk diatas keldai.’

Mendengar kutukan tadi, si lelaki tersebut mengarahkan anaknya turun. Beliau pula mengambil tempat anaknya dengan menunggang keldai tersebut.

Tidak lama kemudian, muncul dua wanita. Seorang wanita berkata:

‘Memalukan betul orang tua ini! Tidak berhati perut! Bagaimana beliau tergamak biarkan anaknya terkial-kial berjalan sendirian.’

Lelaki itu tidak tahu apa yang harus dilakukan. Kemudian beliau mengajak anaknya bersama menunggang keldai tersebut.

Apabila tiba di bandar, di sana orang ramai mula mentertawakan beliau. Si lelaki tersebut berhenti dan bertanya kenapa mereka diketawakan.

Jawapan yang diberikan:

‘Tidakkah anda dan anak anda berasa malu kerana memberatkan keldai tersebut?’

Lelaki dan anaknya turun dan kebingungan. Mereka cuba memikirkan langkah selanjutnya.

Kesudahan cerita ini mengingatkan kita bahawa kita perlu menentukan matlamat dan tahu ‘kompas diri’.

Ilmulah yang akan menjadi pedoman hidup kita untuk membina masa depan bermakna.

Cyberita

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: