Perjuangan Mew Choo Berakhir

Oleh ASAN AHMAD asan@kosmo.com.my


KIEN KEAT (atas), boon Heong (kiri) dan Mew Choo Tewas di pusingan suku akhir.

TERKANDAS pada peringkat suku akhir bermakna berakhirnya perjuangan ratu badminton negara, Wong Mew Choo pada Sukan Olimpik XXIX.

Dia tewas kepada pemain tuan rumah, Lu Lan dalam satu pertarungan yang cukup hebat, sengit dan mendebarkan semalam.

Pada set pertama, Mew Choo tewas mudah 7-21 sebelum kembali memberi tentangan pada set kedua walaupun tewas 27-29.

Ia satu perlawanan yang cukup membanggakan walaupun wakil tunggal pemain wanita negara itu gagal meneruskan kemaraan.

Kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku pada set pertama telah memusnahkan impian Mew Choo untuk mengulangi kecemerlangannya di bumi China seperti mana yang dibuktikannya pada China Super Series sebelum ini yang menyaksikannya muncul juara. Ketika itu, satu persatu jaguh China ditumbangkannya.

Pada temasya Olimpik ini, ramai yang meramalkan dia mampu mengulangi kecemerlangan itu tetapi kali ini Lu Lan tidak membenarkannya.

Selepas mendapat teguran daripada jurulatihnya, Misbun Sidek, Mew Choo dilihat lebih berkeyakinan pada set kedua, malah memiliki peluang untuk memenangi perlawanan tersebut tetapi perasaan gementar menghalangnya untuk mengheret perlawanan ke aksi penentuan.

Dia memegang servis mata akhir sebanyak sembilan kali tetapi tidak mampu menamatkannya kerana tekanan yang terlalu tinggi sehingga memaksa dia banyak melakukan kesilapan.

Lu Lan pula lebih tenang dan bersemangat kerana mendapat sokongan padu daripada penyokong sendiri.

Namun, ramai yang berbangga dengan aksi yang dipamerkan Mew Choo atas kesungguhannya yang tidak mahu menyerah mudah kepada pemain tuan rumah itu.

Setiap pukulan smash mahupun drop shot daripada Lu Lan mudah dibacanya tetapi nasib ternyata tidak menyebelahi pemain kelahiran Perak itu.


LU LAN buktikan kehebatan di gelanggang sendiri.

Semangat juang yang dipamerkan oleh Mew Choo pada perlawanan itu mengingatkan peminat badminton tempatan dengan kelibat Foo Kok Keong satu ketika dulu yang tidak pernah mengenal erti menyerah.

Begitupun, kejayaan Mew Choo melangkah ke pusingan suku akhir boleh dibanggakan kerana ia dilihat pencapaian terbaik pemain wanita di pentas Olimpik.

“Lu Lan memang sudah bersedia sepenuhnya dan saya tidak dapat mencari kelemahannya sewaktu set pertama. Saya cuba menyerang ke kiri dan kanan tetapi asakan saya mudah dibacanya.

“Lu Lan bertambah yakin apabila saya buat banyak buat kesilapan,” kata Mew Choo.

Pemain berusia 25 tahun itu merupakan pemain wanita negara pertama yang beraksi pada Sukan Olimpik dan sebelum ini dia pernah menewaskan Lu Lan dua kali daripada lima pertemuan.

Begitupun, apa yang dipamerkan olehnya seharusnya mencetuskan semangat baru kepada pemain muda negara bagi memperkemaskan diri menghadapi temasya di London empat tahun dari sekarang.

Sebelum ke Beijing, persediaan Mew Choo agak terganggu. Dia terlepas beberapa kejohanan utama akibat kecederaan, namun masalah itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berusaha agar dia betul-betul bersedia menghadapi ancaman di bumi Beijing.

Dia tampil cemerlang tetapi sayang, hajat untuk menempatkan diri di separuh akhir tidak kesampaian gara-gara kehebatan Lu Lan.

Mungkin, pengalaman beraksi buat kali pertama pada Sukan Olimpik turut menjadi faktor kekalahannya.


PERJUANGAN Mew Choo terkandas di suku akhir.

Pada temasya 2012 pula, Mew Choo yang semakin dimamah usia tidak mungkin dapat mengekalkan rentak cemerlangnya, namun pencapaian yang dibuktikan oleh Mew Choo itu seharusnya diteruskan oleh pemain muda wanita negara bagi meneruskan kecemerlangan di pentas antarabangsa.

Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: