Sebab Singapura Berani Berimpian Besar

Sedutan rencana ‘The Philippine Star’ 11 Ogos lalu.

BAGI rakyat Singapura, tidak salah mempunyai ‘impian besar’ bagi diri mereka sendiri dan juga negara, malah mereka digalak berbuat demikian oleh para pegawai pemerintah.

Selepas 43 tahun merdeka, Singapura meraikan Hari Kebangsaannya dengan rancangan besar sedang adanya kelembapan ekonomi global.

Mengetuai mereka untuk mencapai impian besar itu adalah Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Hsien Loong, yang menggalak mereka agar mempunyai aspirasi lebih tinggi dalam hidup.

Pada perayaan Hari Kebangsaan hujung minggu lalu, pemimpin berusia 56 tahun itu menegaskan aspirasi Singapura dengan menyatakan:

‘Kami berani bermimpi besar… Kami akan berusaha sebaik-baiknya untuk memastikan impian ini berubah menjadi kenyataan.’

Sehari sebelum perayaan Hari Kebangsaan itu, Encik Lee bertemu sekumpulan wartawan Asean di pejabatnya di Istana.

Beliau menekankan bahawa ‘Singapura mempunyai peluang terbaik untuk mencapai kejayaan’ walaupun dengan krisis harga makanan dan minyak sedunia.

Ia bukan satu kenyataan kosong memandangkan Singapura mempunyai kawalan baik untuk mengimbangi kesan kesukaran ekonomi global ke atas rakyatnya.

Dengan 27,000 orang memenuhi stadium di Marina Bay – warga Singapura mendakwanya sebagai pentas terapung-apung pertama di dunia – saya begitu cemburu melihat bagaimana bersatu dan nasionalistiknya mereka.

Ramai yang datang bersama keluarga, membawa anak-anak kecil, untuk meraikan hari istimewa negara mereka tanpa perlu dibawa khusus oleh pemerintah.

Menunjukkan contoh, Encik Lee dan ayahnya, Menteri Pembimbing Lee Kuan Yew, tetap berada di kawasan terbuka di Marina Bay, dibasahi hujan.

Mereka disertai mantan perdana menteri, Encik Goh Chok Tong, para pegawai pemerintah lain dan para anggota parlimen yang memakai baju putih.

Walaupun hujan, Presiden S R Nathan tidak membenarkan sebarang payung melindunginya apabila beliau melakukan pemeriksaan pasukan tentera, sebagai pemimpin negara, dengan tindakannya menerima sorakan rakyat.

Pasukan tentera udara Singapura turut mengagumkan penonton dengan pertunjukan sekumpulan jet pejuang F-16 yang dipanggil Black Knights.

Sebuah helikopter Chinook, diiringi empat helikopter, membawa bendera raksasa Singapura di udara.

Dengan penduduk tidak melebihi empat juta orang, anda menjangka sekitar separuh rakyat Singapura berada di sana kerana ramainya orang di kawasan tersebut.

Namun, anda pasti kagum dengan disiplin rakyat Singapura.

Mereka beratur dengan sabar, bak satu amalan harian bagi setiap orang dan semuanya berlaku secara teratur.

Di Singapura sekitar setengah juta penduduk merupakan pekerja asing. Daripada jumlah ini, 110,000, mengikut anggaran Kedutaan Filipina di Singapura, adalah pekerja Filipina, sebilangannya sebagai amah.

Singapura mengenal pasti peranan penting yang dimainkan pekerja asing ini untuk mencapai matlamat negara itu kerana mereka juga mengongsi impian negara itu untuk mencapai kehidupan yang lebih baik.

Bercakap tentang impian besar ini, wawasan Perdana Menteri Lee juga dikongsi pegawai muda pemerintah seperti Encik Teo Ser Luck, 40 tahun, Setiausaha Parlimen Kanan bagi Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan (MCYS).

Encik Teo begitu bangga memaklumkan kami bahawa Singapura kini sibuk dalam persiapan sebagai hos pertama Olimpik Belia pada 2010.

‘Kami mungkin pulau kecil, (tetapi) Singapura bermimpi besar. Malah, kami menggalakkan rakyat muda Singapura bermimpi besar,’ kata Encik Teo.

Oleh itu, walaupun Singapura tidak mempunyai pengalaman menjadi hos ‘acara sukan bersaiz Olimpik’, ini tidak mematahkan niat mereka untuk memohon kepada Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (OIC) tentang tawaran mereka untuk menganjurkan Sukan Olimpik Belia yang pertama.

Singapura memenangi pemilihan yang diadakan IOC pada Februari lalu dan menewaskan bandar-bandar yang jauh lebih besar seperti Moscow, Athens dan Rome.

Bagaimana mereka menang, kata Encik Teo, adalah hampir satu keajaiban.

Walaupun hasrat memenangi sebarang pingat di Olimpik Beijing yang berlangsung sekarang adalah satu cita-cita agak tinggi, Encik Teo menjelaskan bahawa ia bukan satu-satunya matlamat.

Ini kerana menyertai acara sukan itu adalah cara mendapatkan sahabat, rasa hormat dan muhibah bagi kedua-dua negara besar dan kecil seperti negara kita dan Singapura.

Dan untuk masa terdekat, Singapura sedang bersiap menganjurkan acara Formula Satu (F1) bulan depan.

Jika penganjuran acara perlumbaan kereta berprestij itu mempunyai sebarang mesej yang ingin dinyatakan Singapura kepada masyarakat global, mesejnya adalah jelas.

Singapura berada dalam pertandingan utama dan besar untuk mengejar dan mencapai impiannya.

Cyberita

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: