Sukan Olimpik: Ismail Sabri Masih Mengharap

MENGAKUI agak kecewa dengan persembahan kontinjen negara yang masih gagal menjelmakan sebarang pingat di Sukan Olimpik Beijing setakat ini, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob masih mengharapkan pemain badminton negara mampu memberi sumbangan.

Katanya, perseorangan utama negara, Lee Chong Wei dan pasangan, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong sememangnya menjadi sandaran utama untuk menamatkan kemarau pingat yang kali terakhir dimenangi di Atlanta apabila skuad badminton membawa pulang satu perak dan satu gangsa, masing-masing menerusi gandingan Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock dan Rashid Sidek.

“Memang agak mengecewakan persembahan atlit lain setakat ini tapi kita juga perlu adil kepada atlit negara yang rankingnya lebih rendah tetapi harus menentang lawan yang lebih handal di Olimpik.

“Sebab itu, kita dari awal menyandarkan harapan kepada badminton, basikal dan memanah yang agak malang apabila tersingkir seawal peringkat suku akhir acara berpasukan yang menjadi sasaran utama,” katanya.

Daripada 11 atlit yang yang sudah mengakhiri aksi dalam acara masing-masing, hanya empat rekod kebangsaan dapat dicipta menerusi Amirul Hamizan Ibrahim (angkat berat 56 kilogram), Daniel Bego (renang 200 meter gaya bebas) dan trio memanah – Wan Khalmizam Wan Abd Aziz, Cheng Chu Sian dan Muhammad Marbawi Sulaiman (70m recurve berpasukan). Wan Khalmizan juga mencipta rekod baru individu kebangsaan.

Namun, Ismail Sabri berkata, dia tidak menyalahkan kegagalan skuad memanah yang tampil kali pertama di Olimpik dan terpaksa bersaing dalam ‘situasi asing’ di mana tempat duduk penonton diadakan di sebelah kiri kanan berbanding di belakang mereka seperti kebiasaannya.

Ditanya bagaimana jika kontinjen kali ini gagal mendapatkan pingat, Ismail Sabri berkata, seandainya itu berlaku, semua pihak wajar menerima kegagalan berkenaan.

“Gagal tetap gagal, tidak ada kegagalan bergaya. Dari situ, kita perlu melihat kelemahan dan kekurangan diri tanpa perlu cuba memberikan sebarang alasan,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata pihaknya bercadang mengadakan Sukan Mini Olimpik peringkat kebangsaan yang mempertandingkan acara yang tersenarai dalam temasya sukan terbesar dunia itu.

“Kita perlu menyiapkan diri untuk temasya Olimpik 2012 dan sebagai permulaan, kita akan adakan Sukan Mini Olimpik sebagai pendedahan dan mencari bakat baru.

“Atlit muda ini juga perlukan pendedahan dan ini tentunya membabitkan peruntukan yang banyak. Sebab itu kerajaan mengharapkan adanya badan korporat yang sanggup tampil mengambil sukan sebagai anak angkat mereka seperti Rakan Sukan dulu.

“Dari situ, kita boleh mendapatkan jurulatih yang baik untuk membimbing bakat muda negara,” katanya yang mengakui pergeseran dalaman persatuan boleh mengakibatkan penaja bimbang untuk menghulur bantuan.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: