Kitajima Rampas Perhatian

Jaguh Jepun menangi acara kuak dada kedua
untuk bayangi
kejayaan Michael Phelps

BEIJING: Perenang terunggul Asia, Kosuke Kitajima, mengalihkan perhatian daripada Michael Phelps semalam dengan mengulangi kejayaan merebut kedua-dua acara kuak dada Olimpik.

Kitajima, yang memenangi pingat emas 100 meter Isnin lalu dengan mencatat rekod baru dunia, melengkapkan kejayaannya dengan memenangi 200 meter – pencapaian serupa di Athens empat tahun lalu.

‘Ini kehidupan saya,’ katanya mengenai renang dan temasya Olimpik ini.

Kitajima menang dengan masa dua minit 07.64 saat, hanya 0.11 saat di luar rekod dunia 2:07.53 saat yang dicatatkannya di Tokyo Jun lalu.

Beliau berjaya mengatasi cabaran sengit perenang Australia, Brenton Rickard, yang menduduki tempat kedua dengan masa 2:08.88 saat dan Hugues Duboscq di tempat ketiga dengan 2:08.94.

‘Saya sungguh lega memenangi pingat emas ini,’ kata Kitajima.

Jaguh Jepun itu, perenang tunggal berjaya mengatasi masa 2:08 minit dalam acara ini, tidak begitu kecewa gagal mencatat rekod baru.

‘Saya berenang dengan baik sehingga 50 meter terakhir apabila saya mula berasa letih. Tetapi secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan masa yang saya catatkan,’ jelas Kitajima.

Rickard dan Duboscq menyertai sekumpulan kecil perenang yang mencatatkan masa bawah 2:09 saat.

Alain Bernard menebus kekecewaannya sepanjang minggu ini apabila memenangi acara 100 meter gaya bebas.

Perlumbaan itu menyaksikan saingan hebat antara Bernard dengan perenang Australia, Eamon Sullivan, dengan kedua-duanya bertarung memecahkan rekod dunia tiga kali.

Pada jarak separuh pertama, Sullivan mendahului 0.05 saat tetapi setibanya di tembok penamat, Bernard lebih dahulu mencecahnya dengan kepantasan 0.11 saat.

Bagaimanapun, Bernard gagal memecahkan rekod baru dunia yang dicatatkan oleh Sullivan di separuh akhir.

Phelps, yang telah pun memenangi lima pingat emas dalam Olimpik Beijing, sekadar bersaing di peringkat separuh akhir 200 meter rampaian individu.

Beliau memenangi perlumbaannya dengan mencatat masa 1:57.70 saat.

Pencabar utamanya untuk merebut pingat emas keenam ialah rakan senegara dari Amerika Syarikat, Ryan Lochte, yang mencatat masa 1:57.69 saat bagi memenangi perlumbaannya.

Para penonton boleh menjangka persaingan sengit antara kedua-dua perenang Amerika Syarikat itu dalam perlumbaan akhir hari ini.

‘Saya dalam keadaan sungguh baik,’ jelas Phelps yakin. ‘Ini membantu saya dalam usaha mengatasi pencapaian Mark Spitz, yang memegang rekod menang tujuh emas dalam Sukan Olimpik.

‘Saya fikir dalam masa beberapa hari ini satu perkara besar akan berlaku.’

Sementara itu, Grant Hackett mungkin mencatat sejarah sebagai perenang lelaki pertama memenangi emas tiga kali berturut-turut dalam acara 1,500 meter.

Perenang Australia berusia 28 tahun yang memenangi enam pingat emas Olimpik itu mencatat masa terbaik dalam pusingan kelayakan semalam. — Reuters, AFP.

Cyberita

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: