Phelps Atlit Olimpik Terunggul

Kutip 11 emas, termasuk 6
di Athens, sejauh ini

BEIJING: Michael Phelps menjadi atlit terunggul dalam sejarah Olimpik semalam dengan memenangi pingat emas ke-10 dan ke-11 sepanjang kerjaya cemerlangnya – termasuk enam yang diraih di Sukan Olimpik Athens empat tahun lalu.

Perenang Amerika Syarikat itu melengkapi keunggulannya itu dengan mencatatkan rekod baru dunia.

Phelps mencapai kemuncak kejayaan Olimpik ini dengan mencatatkan rekod dunia acara 200 meter kuak kupu-kupu bagi meraih pingat emas Olimpiknya yang ke-10.

Satu jam kemudian, beliau mengetuai pasukan Amerika mencatatkan satu lagi rekod baru dalam acara 4×200 meter gaya bebas selepas persaingan hebat.

Keempat-empat final semalam menghasilkan rekod dunia, sedang rekod acara 100 meter gaya bebas dipecahkan dua kali di peringkat separuh akhir.

Sejauh ini, 16 rekod baru dunia telah dicatatkan meskipun acara renang ini baru separuh jalan dengan Phelps memainkan peranan dan menjadi perhatian utama.

‘Ketika ini, saya terkelu,’ ujar Phelps. ‘Saya hanya menyatakan kepada diri saya ‘atlit Olimpik terunggul’ berulang kali.

‘Ia belum lagi luput tetapi yang lebih hebat ialah mendengar orang ramai menyatakannya.’

Masa yang dicatat Phelps dalam acara 200 meter ialah satu minit 52.03 saat bagi memecahkan rekod lamanya 1:52.09 saat yang dicatat di Kejohanan Dunia di Melbourne tahun lalu.

Laszlo Cseh dari Hungary menduduki tempat kedua dan perenang Jepun, Takeshi Matsuda, di tempat ketiga.

Pencapaian semalam merupakan pingat emas keempat dan rekod dunia keempat di sini.

Jaguh Amerika berusia 23 tahun itu mengatasi ikon-ikon Olimpik – Paavo Nurmi, Carl Lewis, Mark Spitz dan Larysa Latynina – yang memenangi sembilan pingat emas Olimpik sepanjang kerjaya mereka.

Sejurus menaiki podium bagi menerima pingatnya, Phelps bergegas ke kolam dan mengetuai pasukan berganti-ganti negaranya mencatatkan masa 6:58.56 saat – memecahkan rekod lama 7:03.24 saat yang juga dicatatkan oleh skuad Amerika dalam Kejohanan Dunia tahun lalu.

Russia menduduki tempat kedua dengan mencatatkan rekod baru Eropah 7:03.70 saat dan Australia di tempat ketiga dengan masa 7:04.98 saat.

Dengan lima emas dan lima rekod dunia, Phepls kini mempunyai satu lagi misi bagi mencatatkan rekod Olimpik.

Jika beliau memenangi kesemua lapan pingat emas di sini, Phelps akan mengatasi rekod tujuh emas dalam satu Olimpik yang dicatatkan Mark Spitz di Munich pada 1972. — AFP.

Cyberita

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: