Inilah Masa Terbaik


CHONG WEI adalah pemain perseorangan terbaik pernah dilahirkan oleh negara.

DALAM sejarah sukan Malaysia, inilah peluang terbaik untuk merangkul pingat emas pertama Sukan Olimpik.

Katakanlah apa saja tentang jenis sukan yang disertai atlet negara tetapi bagi Malaysia sekurang-kurangnya bagi tempoh beberapa tahun akan datang, negara hanya boleh menaruh harapan untuk memenangi pingat Olimpik dalam satu jenis sukan sahaja iaitu badminton.

Walaupun ratu skuasy, Datuk Nicol David merupakan pemain No. 1 dunia ketika ini, tetapi sukan itu tidak dipertandingkan pada Sukan Olimpik dan oleh itu badminton terus merupakan satu-satunya acara yang sentiasa meletakkan Malaysia dalam kelompok negara paling kuat di dunia.

Berdasarkan sejarah badminton sejak beberapa tahun lalu (bukan untuk memperkecilkan kemampuan jaguh perseorangan yang telah mencipta nama sebelum ini), pemain perseorangan lelaki, Lee Chong Wei adalah pemain terbaik yang pernah dilahirkan oleh Malaysia.

Dinobatkan sebagai pemain No. 1 dunia tahun lepas dan No. 2 tahun ini, Chong Wei memiliki kelebihan yang jarang terdapat pada pemain Malaysia lain iaitu sebagai pemain yang memanfaatkan daya fikir atau dalam kata lainnya pemain yang bijak mengubah corak permainannya, sesuai dengan lawan yang dihadapi.

Satu lagi sifat yang dimiliki pemain ini ialah dia akan bermain bermati-matian dan tidak mudah memberi kemenangan kepada lawan walau dalam keadaan apa sekali pun.

Sebelum ini, peminat tempatan kerap melihat sesetengah pemain badminton negara mempersia-siakan peluang untuk menjuarai kejohanan penting kerana tidak mempamerkan prestasi terbaik.

Terbaru, pada perlawanan pusingan akhir Piala Thomas di Jakarta Mei lepas, Malaysia hampir mengecewakan China dan mara ke perlawanan akhir, tetapi kecundang kerana ada pemain tidak memiliki naluri ‘pembunuh’ yang amat diperlukan pada saat-saat yang begitu penting.

Chong Wei ternyata memiliki naluri itu apabila dia mengalahkan pemain No. 1 dunia, Lin Dan pada perlawanan separuh akhir antara Malaysia dengan China itu.

Jauh bezanya apabila pemain perseorangan wanita No. 1 negara, Wong Mew Choo gagal memanfaatkan sembilan peluang menamatkan saingan set kedua perlawanan suku akhir menentang Lu Lan bagi memaksa pemain China itu bermain dalam set ketiga pada Olimpik Beijing Rabu lepas.

Sudah tiba masanya bagi atlet negara, terutama dalam sukan badminton iaitu sukan yang menempatkan Malaysia dalam kelompok negara teratas di dunia keluar daripada kepompong jaguh kampung.

Ternyata, Chong Wei berjaya membebaskan dirinya daripada kepompong ini hingga dinobatkan sebagai pemain No. 2 dunia.

Pada Olimpik Beijing, pemain ini menggalas harapan negara untuk mencipta sejarah unggul dengan memenangi pingat emas pertama untuk Malaysia.

Kini, Chong Wei semakin hampir ke arah pencapaian terbaik itu dengan layak ke perlawanan akhir setelah mengalahkan pemain Korea Selatan, Lee Hyun-Il pada separuh akhir.

Ketua jurulatih badminton China, Li Yong Bo pernah berkata Chong Wei merupakan satu-satunya pemain perseorangan yang mampu memusnahkan harapan negara itu untuk memenangi pingat emas Olimpik.

Kemampuan Chong Wei berbuat demikian memang tidak dapat disekat jika dia berada pada tahap terbaik pada hari perlawanan.

“Semua atlet menaruh harapan untuk memenangi pingat emas Olimpik. Saya juga begitu, tapi amat sukar meramalkan siapakah yang akan menjadi juara di Beijing.

“Banyak faktor yang perlu diambil kira seperti prestasi, persiapan yang dibuat dan bagaimana seseorang itu menangani keadaan pada hari perlawanan,” kata Chong Wei.

Apa yang membezakan Chong Wei dengan pemain Malaysia sebelum ini ialah ketangkasan dan kecanggihan permainannya.

Keyakinan yang dipamerkan pemain ini semasa berada di gelanggang memang mengagumkan.

Kini, sebagai satu-satunya pemain badminton Malaysia yang masih meneruskan perjuangan di Beijing, Chong Wei sedar beban yang dipikulnya memang berat dan dia tidak boleh membiarkan tekanan yang ada menghalang tumpuannya untuk meraih kemenangan.

“Saya tahu rakan-rakan sepasukan mengharapkan saya menang dan pada waktu yang sama, saya juga sedar tentang harapan tinggi rakyat Malaysia di tanah air,” katanya.

Seluruh rakyat Malaysia semalam menyaksikan dengan penuh debaran ketika dia berhadapan dengan cabaran sengit daripada pemain Korea Selatan itu sebelum menang bergaya dalam tiga set.

Semalam, dia berehat untuk menonton perlawanan suku akhir antara Hyun-Il dan pemain China, Bao Chunlai melalui televisyen.

Satu insentif besar menunggu Chong Wei dan dia akan menjadi pemain pertama Malaysia menjadi jutawan segera jika memenangi pingat emas.

Inilah yang ditawarkan oleh kerajaan bagi pencapaian itu, di samping RM300,000 bagi pemenang pingat perak dan RM100,000 (gangsa).

Inilah peluang terbaik Chong Wei dan Malaysia meraih pingat emas Olimpik, bak judul lagu Elvis Presley: ‘It’s Now or Never’. – Bernama

Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: