Powell Yakin Atasi Bolt Dan Gay Jika Dahului Awal

BEIJING: Bekas pemegang rekod dunia, Asafa Powell, berkata rakan senegaranya dari Jamaica, Usain Bolt, dan pelari Amerika Syarikat, Tyson Gay, tidak akan dapat mengatasinya jika beliau mendahului dalam final 100 meter Olimpik yang ditunggu-tunggu.

‘Ramai orang berkata Usain dan Tyson kuat dekat penghujung perlumbaan tetapi jika saya dapat berlepas dahulu daripada mereka, tidak kiralah bagaimana mereka menamatkan perlumbaan, mereka tidak akan dapat menghampiri saya,’ kata Powell kelmarin.

Persaingan bagi acara 100 meter bermula esok dengan peringkat akhir pada Sabtu ini.

‘Saya telah melakukan beberapa perkara hebat semasa latihan sepanjang dua minggu lalu,’ ujar Powell.

‘Inilah kali pertama saya melihat jurulatih saya begitu ghairah sekali. Jadi, apa yang saya perlu lakukan ialah pergi ke sana dan lakukan seperti yang telah saya lakukan dalam dua perlumbaan lalu.’

Powell mengalahkan Bolt dalam pertemuan terakhir mereka menjelang Olimpik dalam satu perlumbaan di Stockholm sebelum mencatatkan masa terpantas musim ini – 9.82 saat – untuk memenangi perlumbaan di Grand Prix Monaco.

Masa yang dicatat itu menjadikan Powell pelari pecut ketiga terpantas tahun ini di belakang rekod dunia ciptaan Bolt, iaitu 9.72 saat, dan 9.77 saat yang dicatatkan Gay.

Powell berkata, satu- satunya kekecewaan yang dirasakannya dalam persiapan menghadapi Olimpik ini ialah jumlah ujian dadah yang terpaksa diambilnya.

‘Kira-kira dua hari lalu, saya agak marah sedikit kerana sejak saya berada di sini, mereka telah menguji saya sebanyak empat kali dan mengambil darah saya – jumlah darah yang banyak,’ kata Powell.

‘Mereka mengambil terlalu banyak darah sehingga kami akan menjadi lemah sebelum final 100 meter,’ tambahnya. ‘Dan saya hampir pasti saya akan diuji lagi esok.

‘Saya tidak tahu orang lain tetapi mereka memberi tumpuan kepada kes saya, rakan sepasukan saya, Michael Frater, dan Usain.’

Powell menambah bahawa beliau menerima pentingnya ujian tersebut dan berharap para pegawai dapat menangkap semua yang mengambil dadah perangsang persembahan agar Sukan ini bersih.

Meskipun banyak tekanan kini diletak di bahu Bolt, Powell berkata rakyat negaranya masih menaruh harapan yang lebih besar terhadapnya.

‘Dengan saya dan Usain di sana, ia sesuatu yang besar bagi Jamaica,’ katanya.

‘Mereka menjangkakan kami menduduki tempat pertama dan kedua, rekod dunia dan sebagainya.’

Powell berkata matlamat masa depannya ialah merampas semula rekod dunia tetapi keutamaannya di Beijing ialah memenangi emas tanpa menghiraukan masa yang dicatat.

Pelari berusia 25 tahun itu belum pernah memenangi kejuaraan dunia, menduduki tempat kelima dalam acara 100 meter Sukan Olimpik 2004 dan tempat ketiga di kejohanan dunia 2007. — Reuters.

Cyberita

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: