Sukan Olimpik: Lee Tidak Mahu Terjebak Lagi


Chong Wei

Isu ‘mematahkan kaki’ buat Chong Wei lebih hati-hati jumpa Lin Dan

MENYEDARI China akan melakukan apa saja untuk memastikan bintang badminton mereka, Lin Dan memenangi pingat emas perseorangan lelaki Sukan Olimpik ini, pemain utama negara, Lee Chong Wei tetap bersedia berdepan segala taktik ‘kotor’ lawan.

Malah, Chong Wei, 26, tidak rela lagi terperangkap dengan permainan psikologi lawan termasuk dari tepi gelanggang, sebaliknya hanya fokus kepada aksi sendiri.

Igauan di suku akhir Kejohanan Dunia di Madrid pada September 2006, di mana dia ‘terperangkap’ dengan keceluparan mulut ketua jurulatih China, Li Yongbo yang mengganggu tumpuannya selepas sengaja mengarahkan Bao Chunlai ‘mematahkan kaki’ lawannya itu, cukup memberi pengajaran buatnya.

“Sekarang saya tidak akan ambil peduli apa yang berlaku di luar gelanggang. Tumpuan saya tetap akan diberikan kepada aksi sendiri.

“Saya tahu China mahu Lin Dan memenangi emas perseorangan lelaki dan akan melakukan apa saja. Tapi, saya sudah bersedia menghadapinya.

“Tekanan kini adalah pada Lin Dan kerana saya hadir sebagai ‘underdog’ dalam perlawanan ini,” kata Chong Wei yang juga pilihan kedua kejohanan.


Lin Dan

Berbanding Chong Wei yang menerima tentangan hebat Lee Hyun-il di separuh akhir sebelum menang 21-18, 13-21, 21-13, pemain nombor satu dunia dari China itu melalui separuh akhir yang agak mudah apabila ‘dihadiahkan’ kemenangan oleh Chen Jin dengan 21-12, 21-18.

Sepanjang laluannya ke final, Lin Dan masih belum mencicirkan sebarang set dan kelihatan cukup mantap manakala Chong Wei hanya tewas satu set iaitu kepada Hyun-il di separuh akhir.

Lin Dan juga memegang rekod pertemuan antaranya dan Chong Wei dengan 9-5 tetapi pemain utama negara itu menang dua daripada tiga perlawanan terakhir mereka termasuk di Piala Thomas, Mei lalu.

Namun, kejutan awal sudah diterima Lin Dan apabila teman wanitanya, Xie Xingfang tewas mengejutkan kepada pemain veteran China, Zhang Ning 21-12, 10-21, 21-18.

Ia sekali gus mengakhiri impian dirinya serta rakyat China untuk menyamai pencapaian pasangan sejoli dari Indonesia, Alan Budi Kusuma dan Susi Susanti yang menjuarai acara perseorangan lelaki dan wanita Sukan Olimpik 1992.

Sementara itu, jurulatih Chong Wei, Misbun Sidek berkata fokus anak buahnya masih utuh dalam memenuhi misinya memburu emas buat dirinya.

“Setakat ini, Chong Wei nampak begitu bersungguh-sungguh dalam persiapannya dan langsung tidak mahu memikirkan perkara lain.

“Selepas melepasi halangan sukar di separuh akhir untuk menjamin pingat, saya percaya Chong Wei tidak perlukan lagi motivasi lain kerana pertarungan terakhir menjanjikan emas yang diimpikannya,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: