8 Emas Bagi Phelps

Jaguh Amerika atasi rekod tujuh emas Mark Spitz
36 tahun lalu

BEIJING: Michael Phelps memastikan namanya terus terpahat dalam buku rekod Sukan Olimpik semalam selepas menjadi atlit pertama dalam sejarah memenangi lapan pingat emas dalam satu Olimpik.

Jaguh Amerika Syarikat itu menyempurnakan persembahan sensasi sepanjang minggu apabila beliau membantu skuad negara merangkul emas perlumbaan 4×100 meter kuak rampai – pencapaian yang menyaksikan Phelps mengatasi rekod tujuh emas dalam satu Olimpik yang dicipta oleh legenda senegaranya, Mark Spitz, di Olimpik Munich 36 tahun lalu.

Sepanjang minggu ini juga telah menyaksikan jaguh berusia 23 tahun itu memecahkan tujuh rekod dunia, di samping menjadi atlit paling berjaya dalam sejarah Olimpik dengan 14 pingat emas keseluruhannya.

‘Sukar bagi saya mengatakan perasaan saya saya sekarang,’ ujar Phelps.

‘Segala-galanya, setiap perlumbaan daripada kemenangan sengit kepada kejayaan mencatatkan rekod dunia…segalanya ibarat satu pengalaman yang menakjubkan,’ tambahnya sambil mengiktiraf peranan yang dimainkan rakan-rakannya dalam skuad berganti-ganti yang membantunya mencapai sasaran lapan emas.

Phelps, yang berenang bagi acara kuak kupu-kupu dalam perlumbaan 4×100 meter rampaian semalam, membuktikan kegagahannya apabila memecut dari tempat ketiga ke tempat pertama untuk memberikan kelebihan kepada perenang terakhir Amerika, Jason Lezak.

Namun, jaguh yang mendapat pelbagai julukan penuh hebat itu turut menunjukkan dirinya sebagai seorang manusia biasa.

‘Apa yang ingin saya lakukan sekarang ialah pertama sekali saya mahu memeluk ibu saya. Saya jarang menemuinya dan hanya mempunyai peluang 30 saat untuk melakukanya tadi,’ tambah Phelps.

Dengan pingat emasnya masih tergantung di leher, Phelps memanjat ke tempat duduk media untuk mencium ibu dan adiknya.

‘Beliau (ibu) mengucapkan tahniah. Beliau mula menangis, kemudian adik saya juga menangis dan saya mula menangis sama. Kami jarang bertemu,’ kata Phelps.

Kejayaan Phelps dalam sembilan hari di ‘Water Cube’ Beijing membolehkannya memungut AS$1juta ($1.4 juta) sebagai bonus daripada penaja dan namanya bakal diukir di Dewan Ahli Sukan Terhebat Amerika.

Bagaimanapun, Phelps, yang dibesarkan oleh ibunya, seorang ibu tunggal,mengakui beliau masih merupakan ‘anak emak’.

‘Ibu sempat memberitahu saya supaya terus berusaha melayakan diri ke Kejohanan Dunia (yang akan berlangsung di Rome tahun depan) kerana beliau ingin melawat Italy,’ kata Phelps.

Kemenangannya memungut pingat emas ke-14, melebihi lima emas daripada sebarang atlit dalam sejarah 112 tahun Sukan Olimpik.

Kejayaan Phelps turut membuat warga China teruja kerana mereka menganggap lapan adalah angka yang membawa tuah.

Ini merupakan penyertaan Phelps yang ketiga di temasya Olimpik.

Para anggota skuad Amerika yang terdiri daripada Aaron Peirsol, Brendan Hansen, Phelps dan Lezak memenangi perlumbaan itu dengan masa tiga minit 29.34 saat.

Lezak terpaksa bersaing hebat untuk menangkis cabaran sengit pemegang rekod dunia dari Australia, Eamon Sullivan.

Australia terpaksa berpuas hati dengan perak dengan catatan 3:30.04 minit manakala Jepun di tempat ketiga dengan 3:31.18 minit.

‘Segalanya cukup menarik. Kami tidak melakukan semua ini untuk Michael, tetapi adalah suatu penghormatan buat kami untuk menjadi sebahagian daripada pasukan hebat ini,’ kata Peirsol pula. — Agensi.

Cyberita

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: