Minda Pengarang : Perak Olimpik Chong Wei Biar Bakar Semangat

SEKALUNG tahniah kepada pemain badminton nombor satu negara, Lee Chong Wei. Walaupun tewas kepada jaguh China, Lin Dan, beliau berjaya membawa pulang pingat perak Olimpik untuk negara. Ini pencapaian terbaik pemain perseorangan negara dalam sukan badminton pada Sukan Olimpik, sekali gus memperbaiki pencapaian Rashid Sidek yang sekadar memungut gangsa di Atlanta 1996 dan menyemai rekod pasangan Cheah Soon Kit-Yap Kim Hock pada temasya yang sama. Seluruh rakyat Malaysia yang terpaku di depan televisyen malam kelmarin dengan harapan untuk melihat Jalur Gemilang dikibarkan sambil lagu Negaraku berkumandang di gelanggang, jelas kecewa kerana inilah peluang terbaik negara merangkul pingat emas pertama. Namun, kita akui kehandalan pemain nombor satu dunia, Lin Dan. Ini juga bermakna penantian emas Olimpik terus berlarutan sejak Malaysia kali pertama menyertai temasya sukan paling besar di dunia di Melbourne pada 1956. Begitu pun, perak yang disumbangkan Chong Wei, 26, tetap pingat yang pertama buat negara dalam tempoh 12 tahun dengan badminton kekal satu-satunya sukan yang menyumbang setakat ini. Pencapaian itu membolehkan Chong Wei mendapat ganjaran RM300,000 daripada kerajaan serta pencen RM3,000 sebulan. Kita juga mengucapkan tahniah kepada Misbun Sidek yang sejak awal lagi menghidu bakat pemain berasal dari Bukit Mertajam itu dengan mengasuh dan mendidiknya.

Awal tahun ini, Misbun pernah mengeluh mengenai kerenah pemain tetapi memuji Chong Wei yang berdisiplin dan datang awal untuk sesi latihan. Ternyata disiplin juga menjadi pendorong kepada kejayaan seseorang. Kita berharap Chong Wei terus diberi didikan sempurna tanpa diberi ganjaran berlebihan dan memadai ganjaran RM300,000 daripada kerajaan selain menikmati pencen. Wang sememangnya satu keperluan tetapi kerana wang juga seseorang atlit boleh binasa seperti terbukti dalam kes rasuah bola sepak dalam liga tempatan pada sekitar 1994 yang menyaksikan ramai pemain terpaksa menamatkan karier mereka. Mungkin disebabkan ini juga bola sepak kita tidak ke mana hari ini selain saban tahun kita disaji berita mengenai perebutan jawatan tertinggi dalam persatuan sama ada bola sepak, badminton, sepak takraw, hoki atau bina badan. Hakikatnya, cuma badminton, sejak diperkenalkan pada Olimpik Barcelona 1992, menjadi sandaran utama kontinjen negara untuk meraih pingat buat melakar kegemilangan di pentas tertinggi. Dua temasya terdahulu, Sydney 2000 dan Athens 2004, kita hanya berputih mata apabila pulang tanpa sebarang pingat. Di negara kuasa sukan termasuk China, amat jarang kita mendengar pegawai berebut jawatan dan sebagainya tetapi di Malaysia, jawatan dalam persatuan sukan dilihat amat penting sehingga tidak ada badan yang benar-benar bebas daripada politik. Sudah tiba masanya semua pihak memberi keutamaan kepada pemain dalam segala segi, kerana mereka ini yang masuk ke gelanggang bertanding mewakili negara, bukan pegawai yang cuma menjalankan pentadbiran dan mahu mendapat kedudukan.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: