Peserta Tunisia Kejutkan Pemegang Rekod Dunia Dari Australia

BEIJING: Beliau berasal dari Tunisia, negara yang jarang-jarang menguasai acara renang.

Bagaimanapun, kehadiran Oussama Mellouli cukup untuk meranapkan impian Grant Hackett dari Australia untuk merebut pingat emas perlumbaan 1,500 meter gaya bebas Sukan Olimpik buat kali ketiga berturut-turut.

Mellouli, 24 tahun, menjadi peserta Tunisia pertama dalam sejarah Olimpik memenangi pingat emas dalam acara renang.

Beliau tampil di Beijing hanya selepas menamatkan hukuman gantung 18 bulan dalam Mei kerana didapati kesan positif menggunakan dadah.

Bagaimanapun, perenang Tunisia itu sudah bersiap dengan rancangan yang rapi untuk memberikan saingan sengit kepada Hackett, pemegang rekod dunia dan mengejutkan juara Australia itu apabila menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 14 minit 40.84 saat.

Kegagalan tersebut merupakan detik mengecewakan bagi Hackett, bukan sahaja kerana beliau adalah juara dunia empat kali, malah matlamatnya menjadi perenang pertama memenangi acara 1,500 meter di tiga Olimpik berturut-turut selepas kejayaan di Sydney 2000 dan Athens 2004 berkecai.

Peserta berusia 28 tahun itu terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dengan catatan 14:41.53 saat – dipisahkan 0.69 saat daripada masa Mellouli selepas bertarung 30 pusingan di kolam renang ‘Water Cube’ di Beijing.

Peserta Canada, Ryan Cochrane, yang mendahului lain-lain perenang hingga jarak 1,000 meter, menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan 14:42.53 minit.

Dua hari sebelum tampil dalam final semalam, Hackett mencatatkan masa kedua terpantas dalam sejarah 1,500 meter di peringkat saringan.

Andainya Hackett menyifatkan penampilan di Beijing mungkin buat terakhir baginya di persada Olimpik, Mellouli pula boleh menyifatkan kejayaan semalam sebagai penebus keaiban yang lalu.

Perenang Tunisia itu baru selesai menjalani hukuman gantung selepas kejayaan dalam 800 meter di Kejohanan Dunia di Melbourne tahun lalu dicemari ujian dadah positif bagi dadah terlarang ‘amphetamines’.

‘Ini merupakan tahun yang sukar buat saya kerana pengantungan tetapi saya bersyukur kepada Tuhan yang telah memberikan saya semangat. Di Sukan Olimpik, segala-galanya boleh berlaku. Ia merupakan suatu keajaiban dan keajaiban tersebut memihak kepada saya,’ katanya. — AFP.

Cyberita

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: