Chong Wei Tidak Berani Memandang Terlalu Jauh

PINGAT emas Sukan Olimpik sudah terlepas daripada jangkauannya dan itu juga mungkin satu-satunya peluang buat Lee Chong Wei berbuat demikian.

Biarpun mengakui seleranya masih ada, Chong Wei tetap realistik memandangkan umurnya akan mencapai 30 tahun apabila Sukan Olimpik 2012 diadakan di London.

“Saya tidak berani memandang terlalu jauh kerana mungkin usia tidak lagi berpihak kepada saya ketika itu.

“Empat tahun bukan satu jangka masa yang singkat kerana macam-macam boleh berlaku pada masa itu,” katanya ketika ditanya sama ada akan cuba melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2012.

Sungguhpun bintang Denmark, Poul Erik Hoyer-Larsen menjuarai Sukan Olimpik 1996 di Atlanta ketika berusia 31 tahun manakala Zhang Ning muncul juara perseorangan wanita ketika berusia 33 tahun, Chong Wei tidak mahu terlalu memikirkannya.

Sebaliknya, Chong Wei meletakkan sasaran terdekat di Sukan Asia Guangzhou 2010 sebagai matlamat seterusnya.

“Dua tahun lagi, mungkin saya masih dapat bertahan. Sebab itu, biarlah saya memikirkannya setakat itu dulu dan dari situ kita lihat apa yang boleh dilakukan seterusnya,” katanya.

Chong Wei baru sekali menyertai Sukan Asia di Doha pada 2006 dan setakat mengutip pingat gangsa selepas tewas kepada Taufik Hidayat 21-16, 21-18 di separuh akhir.

Pingat emas Sukan Asia kini dianggap lebih berprestij daripada gelaran di Kejohanan Dunia yang diadakan setiap tahun kecuali tahun berlangsungnya Sukan Olimpik, sekali gus menjatuhkan sendiri nilai kejuaraannya.

Malah, juara dunia dan Olimpik, Lin Dan turut meletakkan sasaran pingat emas Sukan Asia bagi melengkapkan koleksi gelaran di kejohanan utama.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: