Chong Wei Terhutang Budi Pada Misbun

20/08/2008 9:31pm

BUKIT MERTAJAM 20 Ogos – Jaguh badminton negara, Lee Chong Wei terhutang budi kepada jurulatihnya, Misbun Sidek yang bukan sahaja mengorbankan masa dan tenaga malah keluarga semata-mata untuk memberi perhatian sepenuhnya bagi memastikan kejayaannya di Sukan Olimpik Beijing.

“Saya berterima kasih kepada jurulatih saya (Misbun) yang bekerja keras menjaga saya biarpun isterinya masuk hospital semasa berlangsungnya Sukan Olimpik,” katanya kepada pemberita semasa majlis ramah mesra di Dewan Badminton Berapit di sini hari ini.

Chong Wei, 26, yang bakal dianugerahi gelaran “Datuk” berkata jurulatihnya itu sentiasa berada di sisinya untuk menyokongnya tanpa mengira penat lelah.

Atlet yang dibesarkan di Bukit Mertajam itu menyertai majlis ramah mesra di dewan tempatnya berlatih semasa awal zaman persekolahan untuk berkongsi kejayaan bersama penduduk kampungnya.

Beliau menerima insentif RM300,000 daripada kerajaan Pusat malam ini dan pencen RM3,000 bermula 1 September selepas berjaya membawa pingat perak pertama negara bagi acara perseorangan lelaki.

Biarpun Chong Wei tumpas di tangan pemain nombor satu dunia, Lin Dan pada perlawanan Ahad lepas, Chong Wei mencipta sejarah dengan menjadi pemain perseorangan pertama negara yang memasuki perlawanan akhir pada Sukan Olimpik.

Pada perlawanan yang mengambil masa 39 minit itu, Chong Wei tumpas 12-21, 8-21.

Sementara itu Menteri Belia dan Sukan Datuk Ismail Sabri percaya pangkat dan wang ringgit yang diterima Chong Wei tidak akan menyebabkan pemain itu hilang fokus pada badminton.

“Saya mengenali Chong Wei, beliau seorang yang patuh dan bersemangat tinggi. Saya percaya dia tidak akan ‘rosak’ seperti juga ratu skuasy negara kita, Nicol David selama ini,” katanya.

Mengenai dakwaan ada pihak ‘melarikan’ Chong Wei daripada disambut oleh kerajaan negeri di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas hari ini, beliau menjelaskan pihaknya tidak dimaklumkan langsung mengenai sambutan itu.

“Kami tidak tahu menahu adanya sambutan itu di lapangan terbang dan kenapa pihak tersebut tidak memaklumkan kepada kami tentang sambutan itu? Sebenarnya kami sudah sampai lebih awal dan yang penting Chong Wei telah selamat sampai ke sini untuk bertemu penduduk kampungnya,” katanya.

Beliau berkata Chong Wei adalah milik semua orang kerana beliau bertanding mewakili negara.- BERNAMA

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: