Ganjaran Bukan Penentu Kejayaan

SAYA antara jutaan penonton yang menonton perlumbaan 100 meter akhir di Sukan Olimpik, Beijing 2008 dan terpegun dengan kehebatan jaguh pecut Jamaica, Usain Bolt yang mencatat masa 9.69 saat.

Pada saat melihat barisan jaguh pecut dunia di garisan permulaan, saya berasakan betapa hebatnya jaguh pecut itu dengan bentuk fizikal mantap.

Sukan Olimpik Beijing 2008 menyaksikan kehebatan atlit Jamaica yang menguasai padang trek dan sememangnya kehebatan Jamaica dalam olahraga khususnya dalam acara pecut memang tidak dapat disangkal lagi.

Dulu Amerika Syarikat yang menguasai sukan olahraga dengan jaguh pecut mereka yang ternama seperti Carl Lewis, Ben Johnson dan kini digantikan dengan jaguh hebat Jamaica seperti Bolt dan Asafa Powell.

Keupayaan Bolt berlari dengan bergaya menampakkan betapa dunia berada dalam genggamannya dalam masa kurang 10 saat. Kejayaan atlit Jamaica ini boleh menjadi satu rangsangan kepada atlit kita untuk mencapai taraf bintang dunia.

Walaupun agak sukar untuk atlit Asia khususnya Malaysia menjadi juara terhebat dunia dalam larian pecut, tetapi tiada yang mustahil. Semuanya boleh jika yakin boleh tetapi soalnya bagaimana?

Adakah wang menjadi persoalannya? Pada saya bukan setakat wang untuk latihan dan ganjaran yang menjadi pokok persoalannya, kerana dunia membuktikan kejayaan Jamaica, sebuah negara yang dalam kategori negara membangun, sudah bangun dan bangkit untuk meletakkan negara mereka di peta dunia melalui sukan.

Ethiopia yang suatu masa dulu dilanda kebuluran dan kemiskinan tercatat dalam sejarah sukan dunia dan Olimpik dalam acara larian 10,000 meter dengan juara mereka mampu berlari dengan penuh kehebatan walaupun tanpa kasut sukan termahal dan tercanggih seperti atlit Barat dan Asia.

Mengapa mereka berjaya? Tidak ada formula khusus untuk menceritakan kejayaan mereka, tetapi saya percaya kejayaan atlit dari Jamaica dan Ethiopia adalah semangat juang yang tinggi dan patriotik dalam diri mereka.

Mereka berlari bukan untuk ganjaran wang saja, malah mereka berlari kerana hanya dengan kejayaan dan kecemerlangan dalam sukan dapat mengubah taraf hidup dan masa depan mereka.

Itulah antara semangat yang perlu ada dalam diri atlit kita. Usain Bolt memang paling hebat dan kita tidak boleh pertikaikan tetapi kehebatan Bolt itu boleh menjadi satu landasan kepada atlit olahraga kita untuk belajar bagaimana kejayaan itu sebenarnya boleh menjadi hak milik kita jika kita tahu cara untuk melakukannya.

PROF MADYA DR RUSINAH SIRON,

Kolej Pengurusan Bisnes dan Perakaunan Universiti

<tenaga Nasional (Uniten),
Kajang, Selangor.

Berita Harian

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: