Usaha Lebih Hadapi Olimpik 2012


ABDULLAH (kanan) memerhati pingat perak yang dimenangi Chong Wei sambil diperhatikan oleh ISmail Sabri.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menggesa pemenang pingat perak acara badminton perseorangan lelaki Sukan Olimpik Beijing, Lee Chong Wei untuk berusaha dengan lebih gigih bagi memenangi pingat emas pada Sukan Olimpik London 2012.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata Perdana Menteri turut melahirkan rasa gembira dan bangga dengan kejayaan yang dicapai Chong Wei walaupun pemain No. 2 dunia itu gagal memenangi pingat emas Olimpik pertama negara seperti yang diharapkan.

Katanya, Abdullah berkata demikian semasa Chong Wei dan rombongan skuad badminton negara mengunjungi beliau di pejabatnya di Bangunan Parlimen semalam.

Selepas 12 tahun, Malaysia gagal memenangi sebarang pingat tetapi kemarau itu berakhir dengan Chong Wei memenangi pingat perak.

“Ini merupakan satu kejayaan kepada negara,” katanya.

Mengenai Sukan Olimpik London, Ismail Sabri berkata kementeriannya akan memulakan projek Sukan Olimpik London 2012 sejurus tamat Sukan Olimpik Beijing.

“Walaupun, sukan badminton telah membuktikan kemampuan menghadiahkan pingat pada Sukan Olimpik kali ini, namun untuk projek ini, kita akan memberi fokus kepada semua sukan. Kita tidak mahu sukan badminton sahaja yang menyumbang pingat kepada negara,” katanya.

Sementara itu, Chong Wei, 26, berkata perjumpaan dengan Perdana Menteri telah memberi suntikan semangat kepadanya untuk terus berlatih dengan lebih keras.

“Walaupun Sukan Olimpik 2012 di London akan berlangsung empat tahun lagi, saya akan memulakan latihan bermula dari tahun ini,” katanya.

Chong Wei, yang bakal memperoleh ganjaran wang tunai berjumlah RM300,000 dan pencen seumur hidup sebanyak RM3,000 sebulan daripada kerajaan, akan menerima hadiah itu daripada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di negeri kelahirannya, Pulau Pinang malam ini.

Menurut Chong Wei dia akan menggunakan wang tersebut untuk membeli sebuah rumah untuk ibu bapanya.

Selepas perjumpaan dengan Perdana Menteri, Chong Wei yang diiringi Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Mohd. Nadzmi Salleh, Setiausaha BAM, Ganga Rao dan skuad badminton negara ke Sukan Olimpik, turut mengadakan pertemuan dengan Najib, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Pembangunan Sukan, di pejabatnya di bangunan Parlimen. – Bernama

Kosmo

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: