Datuk Chong Wei

Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi
am@hmetro.com.my

JAGUH badminton negara Lee Chong Wei akan dianugerahkan Darjah Setia Pangkuan yang membawa gelaran Datuk oleh kerajaan negeri selepas berjaya meraih pingat perak di Sukan Olimpik Beijing, Ahad lalu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkata majlis penganugerahan kepada anak kelahiran Bukit Mertajam itu akan berlangsung pada 30 Ogos ini.

Katanya, beliau amat bangga dengan kejayaan dikecapi oleh Chong Wei yang berjaya mengharumkan nama negara dengan meraih pingat perak di Sukan Olimpik Beijing baru-baru ini.

“Saya bangga dengan kejayaan Chong Wei yang berjaya menjadi orang pertama di negeri ini meraih pingat perak pada kejohanan dunia dengan mengharumkan nama Malaysia dan juga Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabatnya di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), di sini, semalam.

Kelmarin, Guan Eng berjumpa dengan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas bagi mendapatkan restu daripada beliau supaya memberkati tujuan baik itu.

Guan Eng berkata, kerajaan negeri amat berharap Chong Wei akan lebih berusaha dengan keras untuk mencapai lebih banyak kejayaan dalam sukan badminton selepas ini.

Sementara itu, Chong Wei ketika dihubungi melalui sidang video di Kuala Lumpur semalam berkata kepada pemberita, beliau amat terharu dengan segala usaha yang dilakukan oleh kerajaan atas kejayaan dikecapinya itu.

Katanya, apa yang lebih menggembirakannya pada ketika ini ialah apabila berjaya memperoleh pingat perak pada Sukan Olimpik Beijing baru-baru ini.

Namun katanya, perkara yang lebih bermakna lagi selepas berjaya mengharumkan nama negara dengan satu-satunya pingat itu adalah apabila diberi gelaran Datuk oleh kerajaan negeri.

“Secara jujurnya saya memang terkejut sangat. Saya diberitahu mengenai perkara ini oleh abang saya, Lee Choong Hoon dan pada mulanya saya sangkakan dia main-main,” katanya yang jelas gembira dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberikan gelaran itu.

Chong Wei berkata, beliau berjanji akan terus berusaha untuk mengharumkan nama negara bagi sukan badminton dalam setiap kejohanan yang disertainya nanti.

Chong Wei menerima ganjaran sebanyak RM300,000 daripada kerajaan semalam kerana meraih satu-satunya pingat perak pada Sukan Olimpik seterusnya menamatkan kemarau pingat untuk negara dalam temasya berkenaan sejak 1996.

Harian Metro

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: