Ganjaran, Pencen Tidak Hanya Bidang Sukan Sahaja

SELURUH rakyat negara ini, apatah lagi para atlet yang terlibat dalam sukan badminton pasti tumpang gembira dengan penghargaan negara yang diterima oleh pemain badminton, Lee Chong Wei yang memenangi pingat perak dalam acara perseorangan pada Sukan Olimpik Beijing yang menerima ganjaran RM300,000 dan pencen seumur hidup RM3,000 sebulan.

Chong Wei memang layak menerima ganjaran dan pencen itu kerana pencapaian beliau yang telah mengharumkan nama negara di mata dunia. Kejayaan itu tidak mungkin dicapai kalau tidak ada kesungguhan dan semangat juang demi negara kerana sebelum sampai ke peringkat itu, pemain berkenaan terpaksa berdepan dengan lawan yang merupakan jagoan-jagoan bertaraf dunia belaka.

Saya yakin bersandarkan kepada apa yang diraih dan dinikmati oleh Chong Wei itu, sukan badminton akan menjadi pilihan ramai untuk diceburi secara profesional di negara ini pada masa akan kerana ia ada jaminan masa depan.

Hendaknya dalam menghargai kejayaan Chong Wei, pihak-pihak lain yang turut menyumbang kepada kejayaannya, terutama jurulatih tidak akan hanya sekadar menelan air liur melihat penghargaan yang diberikan kepada pemain.

Sukan-sukan lain juga sama ada bola sepak, angkat berat, menembak, skuasy, renang, boling, menembak, memanah, lumba basikal, lumba lari, lompat jauh dan lain-lain tentunya akan diceburi secara profesional dan sepenuh masa jika ada jaminan masa depan untuk mereka.

Sukan bola sepak negara umpamanya menjadi malap kerana para pemain tidak begitu memberi tumpuan kepada permainan. Antara faktornya pemain bola sepak juga perlu memikirkan tentang masa depan selepas tidak mampu lagi bermain kerana mengalami kecederaan atau faktor usia.

Bagi saya sudah sampai masanya, selain dari imbuhan bulanan yang patut diberikan kepada pemain bola sepak dan atlet-altet dalam pelbagai bidang pada jumlah yang membolehkan mereka hidup selesa, pemberian pencen dengan jumlahnya berdasarkan kepada statusnya sama ada atas nama kelab, pemain negeri atau pemain negara, juga patut dipertimbangkan.

Maknanya sudah sampai masanya untuk para atlet melibatkan diri sepenuh masa dan menjadikannya sebagai bidang pekerjaan, bukannya lagi atas nama seorang pemain bola sepak, penembak, pemain skuasy yang kemungkinan juga dia seorang guru atau kakitangan sektor awam, swasta ataupun peniaga kecil.

Demikian juga dengan para budayawan dan karyawan, termasuk para penulis/sasterawan sepenuh masa yang peranan mereka adalah mengembangkan ilmu dan memaklumatkan rakyat melalui kerja yang menuntut kebolehan, bakat, ketekunan dan pengorbanan masa dan tenaga yang luar biasa.

Ganjaran dan pencen untuk para penulis/sasterawan sepenuh masa misalnya hendaklah disandarkan kepada kualiti di samping kuantiti karya yang dihasilkan. Misalnya untuk layak menerima gaji dan pencen, seseorang penulis/sasterawan sepenuh masa penulis perlu menghasilkan sejumlah karya.

Jika cara sedemikian dilakukan, maka tentulah akan lebih ramai rakyat negara ini yang ada bakat akan menjadikan bidang penulisan/kesasterawanan sebagai pekerjaan profesional dan bukan lagi kerja sampingan atau hanya bertujuan memenuhi tuntutan hobi seperti sekarang.

Demikian halnya dengan penggiat bidang kebudayaan dan kesenian sepenuh masa.

Sesungguhnya sebagaimana tidak mudahnya untuk menjadi atlet, untuk bergelar penulis/sasterawan juga bukannya mudah, malah karya-karya agung tidak akan mampu dihasilkan oleh para penulis/sasterawan yang menjadi kerja menulis sebagai kerja sambilan atau memenuhi tuntutan hobi.

Keadaan hidup penulis/sasterawan, penggiat kebudayaan, kesenian dan pelukis yang belum terjamin masa depannya menjadikan hampir tidak ada golongan muda, termasuk para siswazah yang tertarik dan berminat untuk menceburi bidang-bidang berkenaan sepenuh masa dan dijadikan suatu bidang pekerjaan.

Walhal, andainya orang politik boleh menerima imbuhan bulanan dengan jumlah agak besar tanpa mengira kelulusan yang dimiliki, malah layak pula menerima pencen penuh dengan hanya menjadi wakil rakyat satu penggal, kenapa para atlet, penulis/sasterawan, budayawan, penyanyi dan pelakon tidak boleh dipertimbangkan untuk layak menerima imbuhan bulanan dan pencen?

– RAMLI ABDUL HALIM,

Kota Bharu, Kelantan.

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: