Malaysia Menanti Pingat Kedua

BEIJING – Kontinjen Malaysia terus menaruh harapan untuk menambah jumlah kutipan pingat menerusi empat wakilnya yang masih bertarung di Sukan Olimpik Beijing, di sini.

Selepas berakhirnya acara badminton yang menyaksikan Malaysia memperoleh pingat perak pertamanya menerusi pemain perseorangan, Lee Chong Wei, kem negara terus sunyi daripada aksi hebat di temasya berprestij ini.

Cuma, apa yang boleh dibanggakan ialah kejayaan atlet berbasikal, Mohd. Azizulhasni Awang yang menempatkan dirinya dalam kelompok lapan terbaik dunia bagi acara 200 meter pecut individu di Velodrome Laoshan, kelmarin.

Kejayaan anak muda berusia 20 tahun dari Terengganu itu cukup memberangsangkan baginya yang pertama kali menyertai Sukan Olimpik walaupun sasarannya pada 2012.

Harapan kontinjen negara sekarang untuk melihat empat wakil – satu daripada olahraga dan akuatik (terjun) serta dua atlet taekwondo sekurang-kurangnya dapat menyumbang pingat kedua negara sebelum temasya Beijing menutup tirai secara rasminya, Ahad ini.

Yuan Yu Fang akan berentap dalam acara olahraga, jalan kaki 20 kilometer hari ini, berbekalkan kemenangan pingat emas yang diraih dalam satu kejohanan di Hungary pada 2007.

Catatan terbaiknya ialah 1:32.48 saat di Nomi, Jepun 2008 beberapa bulan sebelum layak secara merit ke temasya ini.

Yu Fang yang juga pemenang emas di Sukan SEA Korat 2007 satu-satunya atlet olahraga yang layak ke Olimpik dalam kategori A berbanding dua lagi wakil negara, Roslinda Samsu (lompat bergalah) dan Lee Hup Wei (lompat tinggi) yang bertandang ke sukan berprestij ini atas tiket kategori B.

Akuatik turut menanti aksi hebat atlet cilik, Bryan Nickson Lomas yang akan turun dalam terjun 10 meter platform, Sabtu ini selepas Pandalela Rinong menamatkan saingan wanita, semalam.

Pandalela gagal menempatkan diri dalam saingan separuh akhir apabila sekadar menduduki tangga ke-27, semalam.

Dia hanya mencatat markah terkumpul 249.20 mata selepas lima terjunan untuk menduduki tangga 27 daripada 29 peserta yang mengambil bahagian di Pusat Akuatik Nasional.

Kedudukan keseluruhan yang dicatatnya semalam jauh ketinggalan jika dibandingkan tempat ke-6 ketika mengambil bahagian dalam acara yang sama di Kejohanan Akuatik Dunia FINA 2008 di Melbourne.

Manakala, catatan terbaik Bryan, pemenang emas di Sukan SEA Korat, 2007 ialah menduduki ranking ketujuh pada Kejohanan Akuatik Dunia FINA 2008 yang diadakan di Melbourne, beberapa bulan lalu.

Seperti mana yang pernah dikatakannya sebelum ini, anak muda berjiwa besar ini mensasarkan untuk berada dalam kelompok suku akhir selepas gagal berbuat demikian di temasya Athens 2004.

Taekwondo turut meletakkan sasaran besar pada temasya Beijing dengan menurunkan dua wakilnya, Elaine Teo dalam kategori 57 kilogram dan Che Chew Chan yang akan berentap dalam 67kg.

– Utusan

Utusan Malaysia

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s


%d bloggers like this: